Mandi bunga boleh sembuhkan penyakit?
Dalam
sejarah peradaban masyarakat Melayu, terdapat pelbagai rahsia perubatan yang
masih diamalkan sehingga hari ini. Salah satu daripadanya adalah amalan mandi
bunga.
Ketika awal
tradisi ini diperkenalkan, ia lebih kepada berbentuk spiritual.
Amalan ini biasanya dilakukan dengan niat membuang bala, mempercepatkan jodoh,
menarik semangat baik, menghindarkan diri daripada semangat jahat, menyucikan
dosa dan lain-lain lagi.
Kini,
tujuan asal amalan ini mulai berubah mengikut peredaran masa dan mula diguna
pakai sebagai salah satu kaedah rawatan alternatif. Meskipun tiada kajian
saintifik terperinci mengenainya
dilakukan, amalan ini dipercayai boleh menghilangkan tekanan, menyegarkan
badan, mencantikkan kulit, menghilangkan bau badan dan menaikkan seri pada
wajah.
Menurut pegawai perubatan dari Cawangan Amalan dan
Pendaftaran, Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian
Kesihatan Malaysia, Dr. Shamsaini Shamsuddin, mandi bunga adalah suatu amalan
yang telah dipraktikkan oleh orang Melayu sejak dari turun-temurun lagi. Dipercayai,
amalan ini amat baik untuk terapi kesihatan seperti menaikkan seri wajah,
menyegarkan fizikal dan mental serta menambahkan tenaga di dalam badan.
Sebelum
upacara mandi bunga dilakukan, kata Dr. Shamsaini, bahan-bahan khusus akan dicampurkan ke dalam air. Antaranya, tujuh jenis bunga wangi, tujuh biji limau purut, tujuh
titik air mawar dan tujuh titik minyak wangi atar.
Jelasnya
lagi, terdapat dua kaedah mandi bunga yang masih dipraktikkan iaitu melalui
cara tradisional dan moden. Lazimnya, mandi bunga mengikut kaedah tradisional
biasanya
dilakukan
oleh pengamal perubatan tradisional.
Kebiasaannya,
ia didahului dengan bacaan ayat-ayat tertentu yang bertujuan membantu mereka
yang mempunyai masalah peribadi seperti lambat mendapat jodoh atau mengalami
masalah rumah tangga. Sebagai contoh, bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah
tangga selalunya di saran melakukan amalan ini bagi mengelakkan anasir-anasir negatif
yang terdapat di dalam badan sebelum memulakan hidup baru.
Bagi kaedah
moden pula, mandi bunga diperbaharui mengikut cita rasa masa kini dan boleh
dilakukan di kebanyakan salun kecantikan atau dilakukan sendiri di rumah. Pada
hari ini,
ramai orang
terikat dengan kerjaya dan urusan seharian dan adalah lebih mudah jika mereka
mendapatkan khidmat mandi bunga di salun kecantikan. Selain ditawarkan pakej
dengan harga berpatutan, pelanggan juga berpeluang memanjakan diri dengan
pelbagai rawatan lain misalnya mandi lulur, mandi susu, sauna dan urutan.
Namun perlu
diingatkan, jika anda ingin melakukan mandi bunga sendiri di rumah, pastikan
anda memilih bunga yang betul. Jangan gunakan bunga yang banyak hama seperti
bunga matahari atau bunga berbau busuk seperti bunga tahi ayam. Pilihlah bunga
berbau wangi dan seelok-eloknya mempunyai warna menarik kerana dari segi
saintifik, aura warna dan bauan bunga mempunyai tenaga sendiri yang akan
bertindak balas dengan tenaga dalam tubuh seperti kuasa magnet.
Persoalannya,
sejauh manakah amalan ini boleh memberi
manfaat khususnya pada aspek kesihatan manusia? Jelas Dr. Shamsaini, air merupakan
satu agen pengantar tenaga yang sangat baik pada tubuh manusia. Apabila ia
bercampur dengan bunga akan berlaku satu tindak balas yang menghasilkan sejenis
aroma wangi. Aroma ini akan memasuki liang-liang roma dan menghasilkan satu rangsangan yang menyegarkan badan. Berdasarkan
kajian perubatan yang dilakukan, mendapati badan manusia akan merasa selesa
sekiranya menghidu bau yang harum.
Jelasnya
lagi, setakat ini belum ada kajian saintifik dilakukan ke atas khasiat
jenis-jenis bunga yang digunakan dalam amalan mandi bunga. Namun begitu,
terdapat amalan moden yang berasaskan khasiat bunga dilakukan pada hari ini
seperti Bach Flower, phytibiophysic dan aromaterapi.
Info: Bunga
dan khasiat
· # Mawar merah- membuatkan seseorang menjadi lebih berani dan berkeyakinan
tinggi.
· #Mawar putih-menyegarkan dan menyucikan badan supaya tampak lebih berseri.
· #Cempaka putih-melembutkan dan mewangikan badan.
· #Cempaka kuning – menyerikan wajah dan mewangikan badan.
· #Melur putih dan kuning – menyucikan dalaman.
· #Bunga kenanga – menaikkan seri dan senang didekati.
· #Limau purut – buang kotoran badan dan membuka pori supaya aura serta seri
bunga dapat bergabung dengan aura badan dengan mudah.
· # Limau susu – melembutkan kulit.
Comments
Post a Comment