Mitos & Realiti Ilmu kebal

Gambar sekadar hiasan
Suatu masa dulu, Ahmad Nasaruddin Mansor, 46, gemar berguru pelbagai ilmu-ilmu persilatan termasuklah ilmu kebatinan. Dia yang mesra dengan panggilan Abot, memberitahu, hobinya di waktu muda adalah mempelajari pelbagai ilmu termasuklah perihal kebal ini. Bermacam guru telah ditemuinya dan pelbagai petua telah diperolehnya tapi semua itu tidak pernah jadi amalannya.

Jelas Abot, sebenarnya ilmu kebal ini tidak wujud. Kebal itu sendiri bukanlah satu kehebatan tetapi ia hanya satu myth iaitu cerita orang zaman dulu-dulu tentang kelebihan kulit mereka tidak luka. Ini kerana di zaman itu, manusia hidup berpegang pada pendirian dan bukannya ada undang-undang seperti hari ini. Jadi mereka perlulah ada kelebihan untuk melindungi diri mereka daripada kekejaman.
Gambar sekadar hiasan

Di zaman moden ini, kita sudah tidak sebegitu lagi. Corak hidup kita juga berbeza. Ancaman keselamatan itu sudah tidak berisiko lagi. Jadi kebal itu sudah jadi elemen untuk menunjukkan seseorang itu tidak lasi.

Sebenarnya manusia kebal itu tidak wujud kerana istilah kebal itu membawa maksud tidak musnah dan kekal abadi. Manusia ini bersifat musnah dan kita bukanlah abadi. Sebab itulah manusia tidak akan dapat makam ‘kekal abadi’ itu. Mungkin dengan pertolongan jin atau syaitan perkara kebal ini boleh berlaku pada seseorang namun itu tidak akan terus menjadi begitu. Mereka perlu lakukan pelbagai ritual untuk memenuhi kehendak syaitan itu. Ini semua memang syirik sebab menyekutukan Allah s.w.t.
Nasaruddin Mansor


Kekebalan pada manusia ini sebenarnya berkait rapat dengan unsur pernafasan. Kata Abot, latihan pernafasan yang berterusan melalui senaman akan meningkatkan kadar metabolisme dalam badan. Ini secara langsung membawa oksigen yang cukup banyak ke seluruh anggota badan dan menjadikan organ badan kita segar kerana mendapat oksigen yang cukup banyak. Di sinilah wujud kekuatan semula jadi untuk melindungi diri daripada bahaya.

Jadi sekiranya manusia kebal itu tidak wujud, apakah elemen yang menyebabkan sesetengah orang mampu menunjukkan kepada umum diri mereka kebal? Apakah mereka sedang melakukan silap mata? Bagaimana pula dengan dakwaan sesetengah orang kononnya hanya dengan membawa azimat tertentu diri mereka tidak lut?

Abdullah Mohamed


Bagi Penasihat Gerak Silat Lian Malaysia, Abdullah Mohamed, 63, semua itu di panggil sebagai ilmu mistik. Ia adalah salah satu daripada unsur-unsur syaitan yang akan menyesatkan manusia. Kesesatan ini muncul apabila seseorang individu itu terpesona dengan ilusi yang boleh membuatkan diri mereka kelihatan kebal. Tapi hakikatnya, mereka tidak kebal pun. Kelebihan itu hanya satu ilusi saja.

Kalau dilihat pada sejarah rasulullah s.a.w. Ilmu kebal ini tidak wujud pun dan tidak ada siapa pun yang kebal di waktu itu. Rasulullah sendiri luka ketika berperang. Begitu juga dengan para sahabatnya. Malah ada yang mati kena bunuh dan tidak kurang juga cedera parah di medan tempur. Ini menunjukkan mereka tidak kebal pun.

Secara saintifiknya, tidak pernah ada kajian ilmiah mengenainya. Apa yang wujud hanya cerita-cerita mulut daripada satu generasi ke generasi lain. Malah tidak ada kronologi yang benar-benar tepat dapat membuktikan badan manusia ini kebal yang boleh diukur melalui ilmu sains.

Zaman dahulu, kehebatan wira atau pahlawan itu disebut sebagai gagah perkasa. Ia tidak dipanggil kebal. Ini kerana di sebalik kegagahan itu berdiri satu semangat berani dengan satu kelebihan iaitu kulit mereka tidak luka apabila bertembung dengan besi tajam.


Gambar sekadar hiasan
Keistimewaan inilah yang di mengertikan sebagai kebal. Bagaimanapun ia bukanlah satu perkara yang kekal abadi. Mengikut amalan tradisi di Nusantara, terdapat dua sifat kebal. Pertama sementara dan kedua selamanya.

Perlu diingat, kebal yang dimaksudkan ini bukan seperti ilmu kebal yang dikategorikan sebagai ilmu mistik. Ia hanya satu kelebihan tidak lut pada besi saja. Seseorang itu tetap luka, cedera dan mati apabila di serang dengan benda-benda yang bukan besi.

Mengikut sejarah lisan, proses kebal ini berlandaskan zikir dan amalan-amalan yang tidak bercanggah dengan tauhid Islam. Pengamal hanya percaya dirinya dilindungi oleh Allah s.w.t. dan bukannya anasir-anasir sihir atau jin dan syaitan. Pengamal juga percaya dirinya akan musnah jika takbur, bongkak dan melakukan kekejaman serta kezaliman.

Jelas Abdullah lagi, di alam perwira Melayu terdapat beberapa jenis ilmu kebal yang bersifat mistik. Antaranya dikenali sebagai Apong, Penimbul, mandi dan sebagainya. Semua ini mempunyai kelebihan yang tersendiri. Namun semua itu tidak kekal lama. Ia akan musnah juga bersama diri pemiliknya.

Sebab itulah, kebal ini harus dilihat dalam dua konteks. Pertama konteks agama dan kedua konteks mistik. Jadi lebih baiklah kita faham dulu sebelum menuntut benda-benda yang kita tidak tahu hujung pangkalnya. Akhirnya ia akan membawa kepada kebinasaan.

Kelemahan Ilmu kebal

Orang yang mempelajari ilmu ini tidak selamanya akan kebal. Biarpun pengamalnya digeruni dan ditakuti tapi ia tetap mempunyai kelemahannya. Antaranya....

1.Buluh runcing
Senjata ini nampak saja ringkas tapi bahayanya amat ditakuti bagi pengamal ilmu ini. Kononnya, apabila buluh ini dicucuk pada tapak kaki, beberapa saat sahaja ia boleh membawa maut.

2.Pelepah pisang
Lain pula dengan senjata ini. Ia tidak tajam dan sememangnya tidak merbahaya. Tapi ingat! jika pelepah ini dilibas maka buruk padanya bagi orang-orang yang memiliki badan yang kebal.

3.Batang keladi
Sama seperti pelepah pisang, batang keladi juga di antara senjata yang digeruni di kalangan pengamal ilmu kebal. Fungsinya juga sama dengan pelepah pisang iaitu melibas pada bahagian badan orang kebal.

Kebal Anatomi

Dr. Aris Moklas
Menurut Ketua Jabatan Anatomi, Fakulti Kesihatan dan Perubatan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Aris Moklas, menjelaskan tiada istilah kebal daripada sudut sains. Ini kerana kajian anatomi yang dibuat ketika pembedahan menunjukkan lapisan kulit manusia hanya mempunyai tisu yang lembut. Dia menyangkal sama sekali bahawa tubuh manusia mempunyai besi tetapi bersetuju jika badan manusia mempunyai zat besi yang berbentuk terampai.

Pada pendapat Aris, kebal sebenarnya dilihat sebagai badan yang sihat seperti manusia yang mempunyai badan yang sasa dan berotot. Jika badan seseorang itu berotot maka potensi untuk luka adalah kurang berbanding manusia yang tidak mempunyai otot. Ini kerana lengan seseorang yang berotot lebih mantap berbanding seseorang yang tidak mempunyai otot. Sudah menjadi hukum alam yang mengatakan manusia yang memiliki tubuh badan yang besar dilihat lebih kuat daripada manusia yang memiliki tubuh yang kecil.

Mungkin ini yang dikatakan kebal. Manusia yang dilihat gagah akan ternyata lebih sihat. Kesihatan badan ini juga boleh dipraktikkan melalui pernafasan. Jika pengamal tradisional mengatakan bermeditasi atau bertafakur itu boleh membuatkan seseorang itu kebal; ianya adalah benar kerana aktiviti bertafakur atau bermeditasi banyak menyumbang kepada latihan teknik pernafasan yang lebih teratur. Apabila pernafasan dapat dilakukan dengan baik, maka seseorang itu akan mempunyai badan yang sihat dan mungkin ini yang dikatakan kebal.

Ia juga sesuai dikaitkan dengan lemak yang ada pada badan. Jika seseorang itu mempunyai otot maka lemaknya kurang dan ia lebih pejal berbanding seseorang yang mempunyai banyak lemak. Lemak yang wujud di bawah kulit akan membuatkan badan seseorang itu lebih lembut dan potensi untuk luka akan lebih tinggi.

Ia sama seperti berjalan di atas api. adakah perkara ini juga dikatakan kebal? Jika difikirkan logik pasti kulit tapak kaki akan melecur akibat bara yang panas. Tetapi apabila dikaji, kulit tapak kaki manusia adalah lebih tebal berbanding kulit di bahagian anggota lain. Kelebihan ini dapat membantu seseorang untuk tidak melecur kerana deria rasa di bahagian tersebut sangat kurang

Kebal juga perlu dilihat dari pelbagai situasi. Manusia yang boleh berjalan atas kaca pasti akan terluka. Walau bagaimanapun, kepantasan berjalan itu juga akan membantu bagi mengelakkan luka. Jika berjalan di atas kaca dengan kadar yang pantas, maka luka yang parah akan dapat dielak.

Aris juga mengatakan fahaman pengamal tradisional amat berbeza dengan fakta saintifik. Ini kerana kedua-dua bidang ini mempunyai latar belakang yang berbeza malah ia tidak dapat dikait. Pihaknya akan menjawab sesuatu persoalan berdasarkan apa yang dilihat dengan mata kasar dan fakta.

Walau bagaimanapun, Aris tetap menghormati fahaman tradisional yang mengatakan tubuh badan manusia boleh menjadi kebal. Ini kerana setiap persoalan pasti ada rahsia di sebaliknya.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit