Berjanji dengan buaya

Di Sungai Kinabatangan, Sabah, terdapat satu legenda yang berlegar di kalangan penduduk setempat perihal sebuah kisah perjanjian lama. Dikatakan, perjanjian tersebut yang dikenali berjanji dengan buaya atau dalam bahasa masyarakat etnik Orang Sungai disebut sebagai ‘Gegejanji Gunai Boya’.

Kandungan dalam perjanjian itu cukup ringkas. Sesiapa yang berketurunan daripada masyarakat etnik Orang Sungai tinggal di sepanjang sungai Kinabatangan atau di lain-lain tempat tidak boleh diganggu apatah lagi dibaham oleh sang bedal.

Sama ada kisah ini hanya sekadar suatu mitos atau sebaliknya, tidak dapat dipastikan kebenarannya. Meskipun kisah perjanjian ini tidak seratus peratus dipegang sebagai kepercayaan pada hari ini, ia tetap menjadi satu khazanah bernilai kisah nenek moyang Orang Sungai yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi lain.

Berdasarkan bukti lisan daripada beberapa orang warga emas tempatan, ‘Gegejanji Gunai Boya’ atau perjanjian dengan sang bedal merupakan sebuah peristiwa yang benar-benar berlaku di dalam budaya masyarakat etnik Orang Sungai, terutama bagi mereka yang sudah lanjut usia.

Menurut seorang warga emas yang bernama Mak Andam Bahima Sapiudin,65, perjanjian ini dipercayai bermula di antara seekor raja buaya yang digelar Aki Turonggari dengan seorang wanita tua yang lebih dikenali sebagai dukun Aduk Sibulig-buliq. Mengikut inti pati perjanjian itu, selagi pantang larang seperti mandi, membasuh pakaian atau mencari rezeki sekitar sungai dipatuhi oleh anak cucu Aduk Sibulig-buliq, maka selagi itulah keturunan Aki Turonggari akan mematuhi perjanjian itu.

Bukan mitos dan bukan juga legenda, kata Bahima, walaupun ‘Gegejanji Gunai Boya’ sekadar cerita yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain, ia tetap memberi kesan dalam kehidupan masyarakat etnik Orang Sungai. Tidak hairanlah jika cerita itu ada yang diyakini  mereka walaupun tidak kurang juga yang menganggapnya sekadar cerita khayalan.

Tidak dinafikan sama sekali ketentuan nasib insan yang sememangnya adalah hak Allah SWT, ‘gegejanji ganai boya’ seolah-olah terpakai pada kehidupan masyarakat etnik Orang Sungai. Ketika mereka masih berpegang kukuh kepada pantang larang yang dipersetujui antara Aduk Sibulig-bulig dengan Aki Turonggari, seingat anggota masyarakat generasi tua di sepanjang Sungai Kinabatangan, belum ada antara mereka atau anak cucu mereka dibaham buaya.

Selain Bahima, kisah perjanjian tersebut turut dikongsi oleh lima orang nelayan dari kampung Sukau iaitu Sumanto Selamat, 52, Aris Mail, 38, Kamsa Ahmad, 29, Riduan Takasi, 45, dan Ramli Juair, 41. Meskipun belum pernah di antara mereka diganggu sang bedal, langkah berjaga-jaga tetap diutamakan setiap kali mereka turun ke sungai untuk menangkap ikan.
Memang tidak dinafikan, kelima-lima orang nelayan ini mendakwa pernah terserempak dengan keturunan sang raja buaya. Peristiwa menakutkan itu dialami sendiri oleh Riduan yang berseorangan sedang asyik menarik bubu udang galah yang dipasangnya.

Bagaimanapun, keasyikannya itu dikejutkan dengan kemunculan seekor buaya sepanjang 15 kaki di hujung perahunya. Dia yang terperanjat dengan situasi yang mencemaskan itu, tidak mampu berbuat apa-apa melainkan mulutnya terkumat-kamit membaca doa. Pun begitu, nasib masih menyebelahinya kerana buaya tersebut perlahan-lahan tenggelam dan menghilang ke dasar sungai.

Namun demikian, bukan tidak pernah sang bedal menyambar manusia di tebing sungai sebagai santapannya. Kira-kira empat bulan lalu, difahamkan seorang pekerja ladang di sebuah syarikat perladangan kelapa sawit menjadi habuan sang bedal. Pekerja lelaki warga Indonesia yang berusia awal 20-an itu dikatakan sedang menjala ikan di hulu Sungai Kinabatangan hingga lewat petang.

Tanpa mengendahkan papan tanda yang melarang kegiatan memancing atau menjala di kawasan berkenaan, pekerja terbabit dan rakannya tidak menghiraukan dan melangkah masuk ke dalam sungai hingga ke paras pinggang. Malang tidak berbau, kelekaan mereka yang terlalu asyik menjala ikan berakhir dengan satu tragedi yang mengerikan. Kehadiran mereka di kawasan itu rupa-rupanya telah dihidu oleh seekor sang bedal yang membaham salah seorang daripada mereka dalam sekelip mata.

Antara realiti dan cerita ‘Gegejanji Gunai Boya mungkin ada kebenarannya. Ketika masyarakat etnik Orang Sungai anak cucu Aduk Sibulig-bulig masih berpegang teguh kepada pantang larang ketika mencuci pakaian atau mandi atau mencari rezeki di sungai, anak cucu Aki Turonggari pula tidak pernah lupa akan syarat yang dikenakan oleh raja mereka.

Yang pasti, masyarakat etnik Orang Sungai di Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama atau di mana saja di Sabah tetap tabah meneruskan kehidupan di tebing sungai. Meskipun masih teguh berpegang pada janji itu, mereka cukup pasti sang bedal bukanlah penghuni sungai yang boleh diberikan kepercayaan sebagai teman.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit