Kenapa burung nuri boleh bercakap?
BURUNG kakak tua atau nuri disifatkan antara spesies burung yang paling bijak.
Ia mampu meniru pelbagai bunyi dan berkata-kata seperti manusia. Tambah
mengagumkan, spesies ini seolah-olah tahu bila masa yang sesuai menggunakan
perkataan tertentu, sebelum mengucapkannya. Bagaimana agaknya ‘ia’ melakukan
hal luar biasa itu?
Tanda tanya ini telah lama cuba dikaji oleh para saintis. Apa yang
mengejutkan, jawapan yang ditemui kebanyakannya di luar kotak fikiran manusia.
Bahkan, kajian yang dijalankan oleh Dr. Harvey J. Karten, pakar saraf dari
Universiti California, San Diego, terhadap fisiologi burung nuri menemui sesuatu yang menyimpang daripada kelaziman
haiwan dalam keluarga burung.
Sebenarnya, burung kakak tua tidak mempunyai pita suara. Pita suara atau vocal fold adalah ‘mesin’
penghasil suara yang terletak di antara faring
dan trakea. Untuk menghasilkan suara, pita suara harus bergetar ratusan hingga
ribuan kali per saat. Getaran ini bergantung pada nada atau frekuensi perkataan
yang dituturkan itu. Di sinilah sebenarnya sistem suara manusia dihasilkan. Soalnya,
bagaimana burung yang berbulu berwarna-warni ini tidak memiliki pita suara, sedangkan
ia boleh bertutur dengan begitu jelas?
Keupayaan haiwan ini berbicara seperti manusia sebenarnya didorong oleh
syrinx, iaitu organ vokal burung. Syrinx terletak pada pangkal trakea burung
dan fungsinya adalah mengawal aliran udara melalui tekak. Organ inilah
sebetulnya yang membolehkan spesies burung kakak tua mencipta bunyi-bunyian dan
perkataan seperti bahasa manusia.
Keupayaan burung Nuri tidak hanya dapat mengawal pergerakan otot pada
bahagian tekak, satu hal menakjubkan yang ditemui mengenai burung ini ialah
tentang keunikan lidahnya. Pakar percaya bahawa kemampuan lidah spesies ini
didapati memiliki persamaan dengan lidah manusia.
Manusia secara saintifik menghasilkan bunyi dari larinks atau peti suara
dan dapat diubah mengikut kesesuaian pergerakan lidah dalam mulut. Hal seperti
inilah yang membantu kita mengucapkan huruf vokal dan konsonan dengan mudah, meskipun
ada kalanya huruf tersebut rumit untuk diucapkan.
Gabriel Beckers dan rakan-rakannya dari Universiti Leiden, Belanda,
kemudian tertarik untuk mengkaji apakah kemampuan lidah spesies kakak tua ini juga
sama seperti manusia. Ternyata hasil daripada pengamatan mereka mendapati,
burung nuri dapat menggerakkan lidah ke depan dan ke belakang ketika berbicara.
Pergerakan ini diyakini berperanan menghasilkan kualiti vokal sehingga
menjadikan burung berkenaan pintar meniru cakap manusia.
Lantaran keupayaan luar biasa itu, burung ini dihargai sebagai haiwan
kesayangan sejak zaman purba hinggalah sekarang. Dalam teks tulisan Parsi kuno
sekitar abad ke-13 menjelaskan bahawa, burung kakak tua adalah antara haiwan
peliharaan kesayangan masyarakat Parsi pada ketika itu. Sebagai haiwan
peliharaan, mereka cuba mengajar burung jinak ini bagaimana untuk bercakap.
Kaedah yang sering digunakan adalah dengan meletakkan cermin di antara
jurulatih dan burung kakak tua. Jurulatih akan bercakap di sebalik cermin dan
burung tadi diajar untuk mengajuk serta meniru kata-kata yang diucapkan. Burung
yang melihat wajahnya di cermin dipercayai akan berasa yakin bahawa dirinya
sedang melihat dan bercakap dengan burung lain. Proses pembelajaran ini dikatakan
sangat berkesan kerana burung ini didapati mudah belajar berkomunikasi apabila
bersama dengan spesies yang serupa dengannya.
Begitu pun, bukan semua spesies kakak tua boleh berbicara seperti manusia.
Namun, spesies burung Nuri African Grey adalah baka burung kakak tua yang
begitu popular dan paling diminati kerana sangat bijak berkata-kata.
Berdasarkan kajian saintifik yang pernah dilakukan sebelum ini mendapati,
spesies unik itu mempunyai memori yang sangat baik dan mengingati perbendaharaan
kata lebih 700 patah perkataan.
Ia juga memiliki kemampuan meniru apa saja bunyi yang didengari dan
dianggarkan boleh merekodkan sehingga 2,000 bunyi berbeza. Tidak hanya itu,
burung jenis ini juga tahu membezakan warna, mengumpulkan barang di satu tempat
mengikut jenis warna dan menyelesaikan teka-teki. Kebolehan ini dikatakan tidak
dimiliki oleh burung jenis lain. Tapi
bagaimana ia boleh meniru apa yang didengari dan seolah-olah tahu apa yang
diperkatakan, bahkan mengucapkan perkataan yang diketahui tepat pada situasi
dan masa?
Kajian neuron sains ke atas sel saraf spesies ini sekali lagi menjumpai
sesuatu di luar dugaan. Rupanya, otak burung nuri memiliki fungsi yang sama
dengan otak manusia. Seperti manusia, haiwan ini juga mempunyai otak bahagian
depan yang terlibat dalam pembelajaran dan kawalan vokal.
Kemampuan mentaliti haiwan ini turut didapati memiliki persamaan dengan
pemikiran kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun. Sebab itu mengapa burung
ini suka mengajuk percakapan, melihat dan mendengar dengan penuh minat, bahkan
belajar membentuk perkataan dengan hanya mendengar. Malah ia memerlukan
perhatian dan penjagaan mirip yang mirip seperti seorang kanak-kanak pada usia
sebegitu.
Cuma diingatkan, seperti juga kanak-kanak, anda harus berhati-hati
memperkatakan sesuatu di hadapan si kakak tua. Ucapan kurang enak dan tidak
sopan perlu dielakkan kerana silap langkah burung ini akan mengajuk perkataan
itu semula dengan nada yang kuat dan berulang-ulang. Ini kerana pemikiran
burung yang menyerupai kanak-kanak ini tidak memahami apa yang diucapkannya.
Comments
Post a Comment