Manusia & bunga



Sejak azali lagi, bunga merupakan sejenis spesies tumbuhan yang diakui banyak berkait rapat di dalam kehidupan dan kebudayaan manusia. Bukan itu sahaja, tumbuhan ini dianggap sebagai lambang yang sangat bermakna khususnya bagi seseorang individu, masyarakat dan bangsa.

Menurut Ketua Program Antropologi & Sosiologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Puan Zaidah Mustapha, dalam konteks kehidupan dan kebudayaan manusia mendapati, tumbuhan ini sudah dikenali sejak sekian lama. Ia dianggap sebagai satu hidupan yang berguna dalam kehidupan manusia.

Berdasarkan pemerhatian beliau, penggunaan tumbuhan ini kemungkinan mula digunakan manusia ketika upacara pengebumian. Dalam tamadun manusia, ritual ini sangat penting bagi seseorang individu, institusi kekeluargaan atau satu masyarakat bagi menghargai orang yang sudah mati. Oleh itu, bunga dilihat sebagai salah satu elemen yang sesuai bagi tujuan tersebut sehingga ke hari ini.   

Selepas itu, penggunaan bunga dalam konteks kehidupan dan kebudayaan manusia mula diaplikasikan dalam pelbagai cara. Antaranya, berfungsi sebagai perhiasan, perubatan, lambang atau simbol ritual-ritual perubahan status dalam kehidupan termasuk, kelahiran, peningkatan usia, cinta, perkahwinan, persembahan dan sambutan.

Timbul persoalan, sejak bilakah penggunaan bunga dikaitkan dalam kehidupan dan kebudayaan manusia? Ujar Zaidah, sukar bagi dirinya untuk mengesahkan tarikh sebenar penggunaan tumbuhan tersebut kerana sehingga hari ini sumber rujukan yang ada agak terhad. Pun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan tumbuhan ini mula dikenali sejak tamadun awal manusia lagi.

Dalam konteks penyelidikan antropologi, terdapat pelbagai spesies bunga yang mempengaruhi elemen kehidupan dan kebudayaan manusia. Bagaimanapun, setiap masyarakat di dunia ini mempunyai persepsi berbeza-beza terhadap tumbuhan ini. Ia disebabkan oleh dua faktor utama iaitu keadaan geografi dan pengaruh kawasan persekitaran yang berlainan.

Di United Kingdom, England, masyarakatnya mempercayai bunga popi sebagai simbol kematian dan ketenangan dalam kehidupan. Begitu juga dengan masyarakat di India yang menganggap bunga sebagai elemen penting dalam status dalam kehidupan mereka.

Dalam kehidupan masyarakat Melayu, tumbuhan ini sering kali dikaitkan dengan usaha untuk menaikkan seri muka di kalangan wanita, dipermudahkan jodoh dan perubatan tradisional. Selain itu, ia dipercayai turut digunakan sebagai gelaran nama-nama tuhan bagi masyarakat Yunani kuno.  

Selain menjadi elemen kepercayaan di kalangan masyarakat seluruh dunia, spesies tumbuhan ini turut digunakan sebagai alat untuk menghias diri. Salah satunya adalah dijadikan sebagai pewangi badan. Difahamkan, sejarah penghasilan minyak wangi mula dipelopori oleh dua masyarakat kuno iaitu Mesopotamia dan Mesir sekitar 4,000 tahun Sebelum Masihi.                                                            

Seorang wanita bernama Tapputi dikatakan menjadi orang pertama menghasilkan minyak wangi melalui proses penyulingan secara kimia. Berdasarkan penemuan sebuah batu bersurat milik tamadun Mesopotamia mendapati, wanita tersebut menggunakan bunga-bungaan sebagai bahan utama- termasuk minyak, sejenis tumbuhan yang dikenali Kalamus, dan lain-lain wangian untuk menghasilkan minyak wangi.   

Di Pyrgos, Cyprus, turut ditemui sebuah lokasi yang dipercayai sebuah tempat penghasilan minyak wangi. Beberapa artifak lain berjaya dijumpai seperti alat penyulingan, mangkuk, corong dan botol-botol di sekitar kawasan tersebut.  

Pada abad ke-14 Masihi, penghasilan minyak wangi menjadi satu industri penting di negara Perancis. Pada masa itu, bahan mentah utama iaitu bunga ditanam secara meluas di negara tersebut bagi menampung permintaan tinggi. Difahamkan, industri pengeluaran minyak wangi mula berkembang pesat di negara berkenaan ekoran mampu menghilangkan bau badan yang busuk akibat jarang mandi.

Hal ini turut mendapat perhatian seorang pengamal perubatan Homeopati, Dr. Richard Philips. Jelas beliau, terdapat 38 jenis bunga digunakan dalam rawatan Hemeopati, terutamanya mengubati kesihatan minda. Perubatan Bach Flower atau Perubatan Bunga Bach adalah satu cabang perubatan Homeopati di mana ia  di gunakan untuk merawat penyakit yang berunsur psikologi, seperti mania, simptom tekanan jiwa, kemurungan, brain fatigue (kelesuan fakulti minda) atau gejala fizikal seperti perasaan takut, marah, kesedihan dan sebagainya.

Jelas Philips, kaedah rawatan Bach Flower mula diperkenalkan pada tahun 1930 oleh seorang pakar Hemeopati barat, Edward Bach. Beliau percaya bahawa embun yang terdapat pada bahagian kelopak bunga berpotensi memulihkan penyakit. Jenis bunga yang digunakan adalah seperti Wild Rose bagi simptom fizikal yang timbul dari perasaan kecewa, putus asa, Water Violet - bagi simptom mental pesakit yang mempunyai sifat angkuh dan megah diri, Pine Flower -bagi pesakit yang memiliki perasaan rendah diri yang keterlaluan.

Walaubagaimanapun, kini rawatan Homeopati banyak menggunakan bunga-bunga tempatan seperti bunga raya, bunga melur dan sebagainya. Terdapat rekod pengujian yang sedang digunakan oleh setengah doktor Homeopati serta pengubat tradisional.  Sebagai contoh, ekstrak Bunga Raya (Hibiscus Rosa Sinensis) diuji dan disyorkan kepada pesakit jantung untuk menenangkan degup jantung kencang, darah tinggi dan menguatkan otot jantung serta mengurangkan kolesterol.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit