Dibayar untuk melihat api


Jika bercakap perihal api dan kerjaya, semua orang pasti sependapat bahawa ia adalah tugas seorang anggota bomba. Sebenarnya, anggapan tersebut sama sekali meleset kerana wujud satu kerjaya lain yang berkaitan dengan api. Cuma apa yang membezakannya dengan tugas bomba, kerjaya ini hanya dibayar untuk melihat api.  

Mungkin bunyinya seperti sesuatu yang kelakar dan janggal, tapi ia adalah pekerjaan yang benar-benar wujud dan ditawarkan kepada sesiapa yang layak. Jadi, bagi sesiapa yang pernah beberapa kali mencuba memohon untuk menjadi seorang anggota bomba akan tetapi masih gagal, anda mungkin boleh mencuba kerjaya ini pula.  

Setakat ini, jawatan tersebut yang dikenali Fire Lookout  atau peninjau kebakaran ini hanya ditawarkan di 16 buah negara sahaja. Antara negara yang menawarkan pekerjaan ini adalah Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Uruguay, Brazil, Australia, New Zealand, Indonesia, Perancis, Itali, Portugal, Sepanyol, Jerman, Latvia, Israel dan Afrika Selatan. Ia diwujudkan atas dasar keselamatan terutamanya meninjau kebakaran hutan.  

Untuk pemahaman lebih mudah, seseorang yang berkerjaya sebagai peninjau kebakaran akan menjadi orang pertama bertanggungjawab sekiranya berlaku kes kebakaran hutan. Justeru, dalam tempoh 24 jam sehari penjawat jawatan ini mesti melaksanakan rutin hariannya meninjau keseluruhan kawasan hutan yang diselia.

Sekiranya didapati wujud tanda-tanda kebakaran hutan, peninjau kebakaran ini mestilah bertindak pantas dan segera melaporkan kepada pasukan bomba atau penyelamat untuk tindakan selanjutnya.

Tidak ada syarat wajib yang perlu dipatuhi oleh calon-calon yang berhasrat untuk mengisi jawatan tersebut dan ia terbuka kepada sesiapa sahaja sama ada lelaki ataupun wanita. Apa yang penting, calon-calon mestilah seorang yang peka dan cekap terutamanya mengesan tanda-tanda awal kebakaran hutan agar dapat dikawal dengan segera.

Pasti ramai yang tidak menyangka bahawa kerja semudah ini sebenarnya dibayar dengan upah yang sangat lumayan. Berdasarkan sebuah laman sesawang pencarian kerja Indeed.com.my, gaji yang ditawarkan bagi kerjaya ini dikatakan mampu mencecah sehingga lima angka. Cuba anda bayangkan betapa untungnya kita jika dipilih menjadi sebagai salah seorang peninjau kebakaran.  
  
Sekalipun kerjaya ini nampak remeh dan aneh, tapi harus diingat bahawa ia memainkan peranan penting terutamanya mengawal isu kebakaran hutan di dunia. Seperti yang kita ketahui, kes kebakaran hutan merupakan satu isu global yang hangat diperdebatkan pada hari ini.

Merujuk fakta kes yang berlaku pada tahun 2009, masyarakat dunia pernah dikejutkan dengan satu peristiwa kebakaran hutan yang terburuk dalam sejarah dunia. Tragedi kebakaran hutan yang dikenali sebagai Black Saturday itu, telah menyebabkan sebuah pekan Marysville, Australia dijilat api dan memusnahkan kira-kira 2,000 buah kediaman.  Dianggarkan, kejadian sama juga turut mengorbankan 173 orang penduduk di situ.

Pada bulan Mei baru-baru ini, kejadaian yang sama turut dilaporkan berlaku di sebuah kawasan hutan yang terletak di New Mexico, Amerika Syarikat. Difahamkan, kebakaran hutan tersebut telah memusnahkan kawasan seluas 520 kilometer persegi. Dalam kejadian tersebut, seramai 580 anggota bomba termasuk sukarelawan bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan berkenaan.

Bagi menjalankan tugas sebagai peninjau kebakaran, seseorang individu itu akan ditempatkan di sebuah menara khas  yang dibina dalam  hutan. Kebiasaannya, tugas ini dilakukan mengikut sistem giliran di mana seseorang peninjau kebakaran akan berada di menara tersebut mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Di menara tersebut, selalunya akan  dilengkapi dengan dua peralatan khas untuk kegunaan peninjau kebakaran. Pertama, sejenis alat pengesan kebakaran atau popularnya digelar sebagai Osborne Fire finder. Secara teknikalnya, alat ini berfungsi secara automatik mengesan koordinat sesebuah lokasi yang dikenal pasti berlakunya kebakaran. Dengan adanya alat ini, ia sekali gus dapat mengawal sesuatu kes kebakaran dengan lebih cepat.

Selain pengesan kebakaran, menara berkenaan turut dilengkapi dengan alat bantuan perhubungan komunikasi. Oleh sebab jarak di antara menara peninjau dengan pusat kawalan agak jauh, penggunaan alat ini penting bagi memastikan kes kebakaran dilaporkan secepat yang mungkin. Pada masa yang sama, menara peninjau ini juga mempunyai sebuah bilik tidur, bilik air dan dapur mini untuk kegunaan petugas di situ. 





Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit