Serangan hujan cacing
Pada tahun 2007, dua orang pegawai polis dari Jennings,
Florida Amerika Syarikat telah berhadapan dengan satu situasi mencemaskan. Pada
hari kejadian, kedua-dua pegawai tersebut iaitu Eleanor Beal dan Martha Amie dikejutkan
dengan satu fenomena hujan cacing sewaktu mereka sedang melakukan rondaan di
sebatang jalan.
Menurut saksi pertama, Beal, gara-gara kemunculan
hujan aneh itu dia terpaksa menghentikan kenderaan yang dipandunya secara
mengejut sekali gus menimbulkan rasa
panik seketika. Ingin melihat apa sebenarnya berlaku, dia dan rakannya bertindak
keluar daripada kenderaan yang mereka naiki.
Sebaik keluar, dua orang pegawai polis berkenaan
cuba mendongak ke arah langit. Didapati, terdapat beribu-ribu ekor cacing sedang
jatuh dari arah langit. Begitu juga di kawasan sekitar, ia turut dipenuhi dengan
hidupan tersebut.
Menurut saksi kedua, Amie, kesemua cacing
berkenaan kelihatan masih hidup. Ia menunjukkan reaksi seperti terkejut, tetapi
kembali normal selepas beberapa ketika. Ada juga yang telah mati, malah
sesetengahnya masih bergumpal antara satu sama lain.
Soalannya, bagaimana fenomena aneh ini boleh
terjadi?
Mengikut laporan sebuah portal berita online, WAFB,
sehingga hari ini misteri kewujudan hujan tersebut masih belum terungkai
sepenuhnya kerana tiada kajian lanjut dilakukan oleh penyelidik-penyelidik
tempatan mahupun antarabangsa.
Ekoran itu, sesetengah penduduk tempatan
mengemukakan beberapa tanggapan mengenai kewujudan fenomena tersebut. Kebanyakan
daripada mereka mendakwa kemunculan hujan pelik itu mempunyai kaitan dengan
sebuah lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian. Lokasi
yang dimaksudkan adalah Lacassine Bayou yang mana dilaporkan beribu-ribu ekor
cacing turut dijumpai.
Infiniti cuba mendapatkan pandangan mengenai
perkara ini daripada pakar-pakar meterologi dan alam sekitar. Rata-rata
daripada mereka yang ditanya sukar untuk memberikan jawapan kerana belum kes
seumpama ini dilaporkan berlaku, lebih-lebih lagi di Malaysia.
Setakat ini, di Malaysia hanya direkodkan kejadian
hujan ketulan ais yang disebut sebagai hujan batu. Pada hari Isnin, 28
September 2009, hujan batu sebesar sebiji cawan telah berlaku di Jerantut,
Pahang. Hujan pada jam 7.00 malam itu menyebabkan banyak bumbung rumah
berlubang serta mengakibatkan beberapa pohon pokok dan tiang elektrik tumbang.
Jabatan Meteorologi Pahang mengaitkan peristiwa tersebut dengan Taufan Katrena
yang berlaku di Filipina.
Sementara itu, seorang saintis Perancis yang
bernama Andre-Marie Ampere pernah mengemukakan satu hipotesis mengenai perkara
ini. Beliau mengeluarkan teori bahawa faktor pukulan angin ribut yang kuat mungkin
menyebabkan fenomena ini berlaku.
Selain pukulan angin ribut, fenomena hujan ini
turut dikaitkan pusaran angin yang membentuk waterspout (sengkayan). Teori ini
menjelaskan, pusaran angin yang membentuk waterspout mampu mengangkat
haiwan-haiwan dalam ketinggian yang relatif, dan membawa ia ke tempat yang
jauh. Pusaran tersebut juga membolehkan objek-objek di dalamnya jatuh dalam
mode yang tertumpu di sesuatu kawasan sahaja.
Hipotesis ini disokong oleh jenis haiwan yang
biasanya terlibat dalam fenomena ini – kecil dan ringan. Perkara tersebut
dikukuhkan lagi dengan fakta bahawa, angin kencang akan berlaku terlebih dahulu
sebelum fenomena hujan ini terjadi.
Serangan hujan aneh di seluruh dunia
- · Pada 1881, ribut petir di Worcester, England telah membawa turun bertan-tan ketam!
- · Pada 1877, beberapa ekor buaya jatuh dari langit di kawasan ladang milik J. L Smith’s di Selatan Carolina. Buaya tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan, malah merangkak menuju ke sungai berhampiran.
- · Jika mengikut rekod, Singapura juga pernah mengalami hujan ikan pada 22 Januari 1861. Tetapi kejadian tersebut berlaku di kawasan yang agak hampir dengan kawasan pantai dan disusuli dengan kejadian gempa bumi. Jadi ada percanggahan pendapat yang mengatakan bahawa peristiwa itu bukanlah hujan ikan, sebaliknya ia adalah amaran daripada haiwan seperti yang berlaku ketika tsunami tahun 2004.
- · Satu peristiwa yang sangat mengejutkan telah berlaku apabila hampir 1,000 keping wang syiling telah jatuh ke wilayah Meschera, Russia pada 1940. Tapi sayang, wang tersebut adalah syiling yang digunakan pada abad ke-16.
- · Pada 7 haribulan Ogos 1994, Oakville, Washingston seramai 445 orang penduduk telah dihujani dengan hujan yang meninggalkan gel misteri berwarna hijau di halaman rumah mereka.
- · Penduduk di Kerala, India, gempar apabila menyangka mereka akan dihujani dengan meteor tetapi ia sebenarnya adalah air yang dipenuhi dengan spora merah (biji benih tumbuhan tak berbunga seperti cendawan, paku-pakis dan sebagainya). Kejadian tersebut berlaku pada Julai 2001.
- · Di Conventry West Midlands pada 16 Disember 2011, sekitar pukul 6:45 petang bukan berupa titisan air seperti kelaziman. Tetapi pada hari kejadian penduduk dikejutkan dengan fenomena hujan tumbuhan berupa buah epal.
Comments
Post a Comment