Air pancut misteri dalam masjid

Kemunculan air pancut di sebuah masjid di Polewali Mandar, Sulawesi Barat, Indonesia, ternyata menggemparkan penduduk di sekitarnya. Di tambah pula, air tersebut dipercayai mempunyai kuasa luar biasa yang mampu mengubati pelbagai jenis penyakit.

Gambar sekadar hiasan
Ekoran dakwaan itu, perkarangan masjid berkenaan mula dipenuhi penduduk berhampiran yang datang berpusu-pusu untuk mendapatkan air tersebut. Menurut penduduk tempatan, air yang keluar di tengah masjid itu mampu menyembuhkan penyakit kulit seperti gatal-gatal, kurap serta banyak lagi jenis penyakit lain. Mereka turut memberitahu, air tersebut selamat untuk diminum dan dipercayai boleh membantu seseorang untuk mencari jodoh.

Berita mengenai kewujudan air tersebut turut di datangi penduduk luar dari kawasan Polewali Mandar. Keadaan itu telah menyebabkan ruang solat yang dilimpahi air pancut berkenaan dikerumuni orang ramai dan menjadi tempat mandi kanak-kanak.

Gambar sekadar hiasan
Mengikut laporan sebuah portal berita tempatan, Kompas.com, kemujaraban air pancut yang wujud di dalam masjid tersebut turut disahkan oleh ketua mukim di daerah itu. Justeru, ia menjadi kebimbangan bagi pihak masjid yang khuatir orang ramai mungkin terpengaruh dengan perkara khurafat.

Ekoran itu, pihak masjid telah melekatkan satu papan tanda sebagai peringatan agar tidak terjebak dengan perkara itu. Malangnya, ia tidak diendahkan dan semakin ramai pengunjung membanjiri perkarangan masjid itu.

Soalnya kini, dari manakah air pancut tersebut muncul? Dan, sejauh manakah air ini boleh dibuktikan mampu menyembuhkan penyakit?

Menurut pensyarah Jabatan Sains  Sekitaran dan Sumber Alam, Profesor Madya Dr. Wan Zuhairi Wan Yaacob, kewujudan air pancut adalah satu fenomena alam yang berlaku secara semula jadi. Mengikut penyelidikan hidrogeologi, fenomena ini terjadi akibat proses tekanan di dalam zon yang dipanggil Akuifer-bahagian bawah tanah yang terdiri daripada kerikil atau batu berliang yang mengandungi air.

Selalunya, zon Akuifer yang mengandungi rongga-rongga besar berpotensi untuk menyimpan kandungan  air dalam jumlah yang banyak. Selain itu, ia turut membuka ruang-ruang aliran air yang masuk ke dalam zon ini. Sebagai contoh, rongga-rongga yang terdapat pada batu pasir, batu granit atau batu kapur.

Jelas Dr. Wan Zuhairi, zon Akuifer boleh dikelaskan kepada dua iaitu Akuifer tak terkekang (Unconfined Aquifer) dan Akuifer Terkekang (Confined Aquifer).  Akuifer tak terkekang merupakan zon yang pertama di bawah tanah. Zon ini biasanya terkandung lapisan tanah yang tepu air. Manakala, bagi Akuifer  terkekang  pula merupakan zon yang kedua di bawah tanah. Berbeza dengan Akuifer  tak terkekang, zon ini dikepung oleh dua lapisan tanah lain iaitu lapisan lempung (tanah liat) atau lapisan batu granit. Justeru, keadaan ini telah menyebabkan aliran air di dalam zon ini terhalang, sekali gus berlakunya tekanan yang tinggi pada lapisan ini.

Apabila tekanan tinggi berlaku pada lapisan ini, aliran air secara automatik tertolak ke permukaan tanah sehingga menyebabkan berlakunya pancutan air. Pancutan air ini dikenali sebagai Flowing Artician. Ujar Dr. Wan Zuhairi, semakin tinggi tekanan yang berlaku maka semakin kuatlah pancutan air yang terkeluar.


Secara khususnya, tidak dapat dipastikan bahawa sumber air bawah tanah mampu menyembuhkan penyakit ataupun tidak. Bagaimanapun, dalam soal ia selamat atau tidak untuk diminum, kata Dr. Wan Zuhairi, sumber air ini merupakan sejenis air yang sangat bersih. Menerusi proses penulenan semula jadi yang berlaku di bawah tanah, sumber air ini boleh terus untuk diminum. Sebagai contoh, air Zamzam yang kita ketahui adalah sumber air bawah tanah yang terbaik di dunia. Air Zamzam yang kaya dengan kandungan mineral mampu memberikan kesan yang optimum pada seseorang yang meminumnya.

Comments

Popular posts from this blog

Air yang menyembuhkan penyakit

Manusia kembar dengan binatang

Kenapa burung nuri boleh bercakap?