Spesies cimpanzi yang menyerupai manusia

Pada tahun 1970, masyarakat di seluruh Amerika Syarikat gempar apabila munculnya seekor cimpanzi yang didakwa memiliki wajah dan perwatakan seperti seorang manusia. Menerusi sebuah rancangan televisyen terkenal di negara itu, Freak show, buat pertama kalinya haiwan tersebut dipertontonkan kepada khalayak ramai.  

Haiwan tersebut yang diberi nama Oliver, merupakan seekor cimpanzi yang dilahirkan di negara Congo pada tahun 1958. Pada usia dua tahun, ia kemudiannya dibela oleh sepasang suami isteri, Frank dan Janet Berger, dari New Jersey, Amerika Syarikat. Pasangan ini tertarik dengan sifat fizikal Oliver yang luar biasa berbanding spesies cimpanzi yang lain. Mereka terpegun dengan raut wajah haiwan ini yang persis seperti muka seorang manusia.

Selain keunikan rupa yang dimiliki Oliver, cimpanzi ini turut berkelakuan dan mengamalkan cara hidup sama seperti manusia. Sejak kecil lagi, ia sudah mampu berjalan dengan hanya menggunakan dua belah kaki sahaja tanpa dilatih. Selain itu, haiwan ini gemar menonton televisyen dan suka merokok. Bukan itu saja, Oliver dikatakan menyukai manusia khusus wanita berbanding spesies cimpanzi betina.

Mengikut laporan sebuah dokumentari, Discovery Channel, Oliver pernah memikat tuannya, Janet, dengan cara memanjat tubuh wanita itu dan cuba mengadakan hubungan yang tidak sepatutnya dilakukan. Ekoran tindakan itu, pasangan tersebut berasa terancam dan memutuskan untuk menjual cimpanzi itu kepada orang lain.

Pada tahun 1977, Oliver akhirnya dibeli oleh seorang pemilik taman hiburan, Enchanted Village, Ralph Helfer. Ketika di bawah jagaan Helfer, cimpanzi ini dijadikan sebagai haiwan pameran kepada pengunjung-pengunjung yang datang ke taman hiburan itu. Sejak dari itu, Oliver sering mendapat perhatian daripada media-media tempatan. Sifat luar biasa yang dimilikinya sering kali dihebohkan kepada masyarakat tempatan.

Mengikut laporan akhbar tempatan, Los Angeles Times, timbul spekulasi yang mengatakan Oliver mungkin sebagai seekor sub spesies cimpanzi atau ‘missing link’ di antara manusia.  Setelah diperkenalkan pihak media, ia menjadi buah mulut sehingga tersebar ke seluruh dunia.

Pada tahun 1989, Oliver dibeli oleh sebuah syarikat yang dikenali Buckshire Corporation. Syarikat ini mengendalikan urusan sewa beli pelbagai jenis haiwan untuk penyelidikan sains dan kosmetik.  Bagaimanapun, syarikat ini tidak pernah menggunakan cimpanzi ini untuk sebarang penyelidikan. Sebaliknya, ia di tempat di sebuah kandang yang kecil sehingga menyebabkan Oliver jatuh sakit.

Tujuh tahun kemudian, presiden syarikat tersebut, Sharon Hursh, akhirnya melepaskan haiwan berkenaan di atas permintaan sebuah organisasi perlindungan haiwan, Primarily Primates. Ia kemudiannya dipindahkan ke sebuah tempat milik organisasi itu sehingga hari ini.

Soalnya, apakah identiti sebenar cimpanzi ini? Adakah ia tergolong dalam sub spesies ‘missing link’ atau sejenis makhluk yang dikenali bigfoot? Mungkin tidak, tetapi ramai pihak yang percaya Oliver mungkin sejenis makhluk hibrid yang dihasilkan antara manusia dan cimpanzi.

Pada tahun 1927, seorang saintis dari Rusia, Ilya Ivanovich Ivanov, pernah melakukan satu penyelidikan mengenai makhluk hibrid. Melalui kajian itu, saintis berkenaan telah menyuntik sperma manusia ke dalam organ pembiakan tiga ekor cimpanzi betina. Malangnya, percubaan Ivanov gagal apabila tiada tindak balas berlaku menyebabkan ketiga-tiga ekor cimpanzi itu tidak hamil.

Selain itu, terdapat juga khabar angin yang mendakwa wujud seekor cimpanzi hibrid yang berjaya dihasilkan  di makmal, negara China. Bagaimanapun, makhluk hibrid itu gagal diselamatkan dan mati sebelum sempat dilahirkan.

Kisah serupa juga diceritakan oleh ahli psikologi dari Universiti Albany, Gordon Gallup, yang menyatakan teknologi hibrid pernah diusahakan di Florida, Amerika Syarikat, pada tahun 1920 an. Difahamkan, kajian tersebut berjaya dilakukan oleh seorang saintis dari National Primate Research Center, Robert Yerkes. Namun, makhluk itu tidak dapat hidup lama kerana dibunuh oleh Yerkes sendiri.

Ekoran pelbagai spekulasi yang timbul, organisasi yang melindungi Oliver, Primarily Primate, memutuskan untuk mengakhiri dakwaan itu dan mengadakan kajian ke atas cimpanzi tersebut. Penyelidikan itu dilakukan oleh pakar genetik dari University of Chicago, Dr. David Ledbetter.


Berdasarkan ujian yang dilakukan sel di dalam badan Oliver mendapati, ia didominasi sel kromosom cimpanzi. Selain itu, keunikan wajah dan tengkorak Oliver masih kekal sebagai seekor mawas Afrika. Hasil penelitian itu diumumkan dalam American Journal of Physical Anthropology sekali gus mengakhiri spekulasi mengenai keanehan Oliver.

Hari ini, Oliver masih tinggal di Primarily Primate. Usianya sudah mencecah lebih dari 50 tahun, cukup tua untuk seekor cimpanzi. Matanya sudah hampir buta dan tubuhnya sudah tidak sihat lagi seperti dulu. Haiwan itu juga turut menghidapi penyakit Artritis- radang pada bahagian sendi sehingga ia tidak mampu lagi berjalan dengan menggunakan dua kaki.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit