Pelaris
Seorang
peniaga di Lembah Klang, Anna (bukan nama sebenar), mengakui gelisah apabila
perniagaan kedai runcitnya yang dibuka sejak lima tahun lalu semakin merosot. Sejak
itu, ramai pelanggan tetapnya mula beralih ke sebuah kedai lain yang baru
dibuka tidak jauh dari kedainya.
Luah
wanita itu lagi, ada di antara pelanggan memberitahu suasana kedainya kelihatan
gelap seakan-akan tidak dibuka. Ekoran keadaan itu, dia akhirnya nekad untuk
mendapatkan pelaris bagi menyelamatkan kembali perniagaannya. Justeru, dia
telah mendapatkan khidmat seorang bomoh di utara tanah air.
Ujar
Anna, selepas proses tilikan yang dilakukan bomoh tersebut mendapati, kononnya
perniagaannya telah disabotaj secara ‘batin’ sehingga menyebabkan pelanggannya
beralih ke kedai lain. Bagaimanapun, selepas dibekalkan dengan air penawar dan
beberapa potong ayat untuk diamalkan, perniagaannya kembali pulih seperti sedia
kala. Ujar wanita tersebut, dia terpaksa menggunakan cara tersebut serta
menghabiskan ribuan ringgit bagi membayar ‘pengeras’bagi menyelamatkan
perniagaannya.
Sementara
itu, seorang pengamal perubatan tradisional, Mohamad Ulang, 60, mendedahkan
bahawa pelaris bukan sahaja digunakan untuk menarik lebih ramai pelanggan malah
turut berguna untuk tujuan menggoda.
Jelasnya
lagi, bagi pelaris untuk tujuan perniagaan akan menggunakan akar kayu serta
mantera tertentu. Bagaimanapun, untuk mendapatkan akar kayu yang sesuai
dijadikan minyak pelaris bukanlah mudah seperti yang dijangkakan. Ini kerana,
seseorang itu mestilah meminta izin serta menyediakan balasan atau pengeras
yang perlu dibayar.
Menyingkap
bahan yang sering digunakan dalam membuat ramuan pelaris, Tok Batin daripada
suku Temuan itu gemar menggunakan akar kayu selimpat, peringat, kemundur serta
pengasih dalam pengubatannya. Ini kerana, kononnya ia lebih mujarab berbanding menggunakan tangkal sebagai
pelaris perniagaan. Kebiasaannya, kesemua ramuan ini akan dimasak sehingga
menghasilkan minyak.
Hal ini
turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim
Ismail. Jelasnya, merujuk pada konteks budaya, pelaris merupakan suatu amalan yang
menjadi kepercayaan oleh sesetengah pihak yang kononnya percaya ia boleh
membantu kehidupan mereka menjadi lebih baik- disegani, menjadi kaya dan
menarik perhatian orang lain.
Lazimnya
dalam konteks ini, Datuk Ibrahim menjelaskan, amalan pelaris banyak dilakukan
untuk dua tujuan iaitu, sebagai pelaris perniagaan dan untuk diri sendiri-
memikat wanita atau lelaki, dihormati orang dan lain-lain lagi.
Sebagai
contoh, melariskan perniagaan selalunya golongan yang mengamalkan ilmu ini akan
menggunakan elemen rajah-rajah tertentu, kononnya dapat perhatian para
pelanggan yang mengunjungi sesebuah kedai. Manakala, bagi sesetengah pihak yang
mengamalkan pelaris untuk tujuan diri sendiri biasanya akan memakai alat ‘perantara’
pada bahagian tertentu di badan. Biasanya alat perantara yang digunakan ialah
sikat rambut, batu cincin, tangkal, kayu yang dipotong kecil, celak dan
sebagainya.
Sementara
itu, jika dilihat dari sudut pandangan Islam amalan pelaris jelas sekali
bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh membawa manusia kepada syirik dan
kufur kepada Allah. Ia dianggap satu kesalahan besar jika ada di kalangan
peniaga yang mahukan keuntungan segera dengan menggunakan kaedah yang dilarang
syarak untuk melariskan perniagaan mereka.
Amalan
menggunakan azimat atau tangkal yang percaya kepada kuasa seperti keris, duit
syiling, kulit bintang, misai atau kuku harimau, batu permata dan gambar rajah,
sama sekali boleh mendatangkan kepercayaan khurafat.
Comments
Post a Comment