Keranda Tergantung kaum Sagada
Masyarakat suku kaum Sagada di Filipina telah mengamalkan
upacara pengebumian mayat dalam keranda
tergantung sejak 2000 tahun lalu. Tradisi ini muncul kerana kepercayaan suku
kaum Sagada tentang kehidupan selepas kematian.
Menurut kepercayaan mereka, seseorang yang meninggal
dunia perlu dipersiapkan tempat persemadian yang tinggi supaya roh mereka mudah
menghampiri syurga. Justeru itulah, dinding bukit batu kapur menjadi tempat yang
sesuai untuk menggantung keranda yang berisi mayat kaum Sagada.
Bagaimanapun, bagi sesetengah penduduk, mengabadikan mayat
orang tersayang di dinding bukit batu kapur merupakan satu cara untuk
memperingati dan menjaga khazanah bangsa untuk tempoh yang lama. Sebab itulah,
sebelum upacara pengebumian dilakukan, keranda terlebih dahulu diukir dan
beberapa ritual dilakukan supaya roh tenteram dan aman.
Kadang kala, sewaktu upacara-upacara ini berlangsung, ada
tulang temulang si mati retak dan patah lalu jatuh bertaburan di bawah lantai
batu kapur. Keadaan itu menyebabkan ada di kalangan pelancong menjadikan tulang
temulang itu sebagai cenderahati yang cukup berharga sewaktu melawat tapak
perkuburan tergantung ini.
Disebabkan terlalu lama berada di dinding batu kapur, ada
sesetengah keranda sudah mula diseliputi stalaktit. Lama kelamaan, keranda itu
akan menjadi sebahagian daripada dinding batu kapur.
Segada adalah sebuah daerah terpencil yang terletak
kira-kira enam jam perjalanan atau 12 jam pada musim hujan dari Pulau Luzon di
Banaue, utara Manila.
Comments
Post a Comment