Mencaci dan memaki hamun untuk tumbangkan pokok

Selalunya amalan ini dilakukan oleh seseorang yang memiliki keupayaan khusus. Mereka ini akan mengeluarkan kata-kata kesat ke atas tumbuhan yang disasarkan bermula dari seawal pagi sehingga waktu senja. Proses mencaci ini dilakukan selama tiga puluh hari.
Bunyinya mungkin seperti kerja gila dan tidak masuk akal. Tapi menurut penduduk kampung, cara mencaci pokok seumpama itu selalunya akan berhasil. Ini kerana, secara teori mereka percaya bahawa perbuatan mencerca dan menjerit boleh membunuh semangat pokok.

Menurut Pakar Ekofisiologi dan Ketua Laboratori Pengurusan Biosumber Mampan (BIOREM), Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Hazandy Abdul Hamid, sukar untuk dibuktikan secara saintifik bagaimana pokok boleh mati apabila dimaki.
Jika tumbuhan itu mati kerana dikatakan ada kaitan dengan semangat atau perasaan, juga tiada penjelasan sains untuk perkara itu. Adalah mustahil pokok memiliki perasaan dan emosi sedangkan tumbuhan tidak memiliki otak dan hati seperti manusia.
Pengarah Backster School of Lie Detection dari San Diego, California, Cleve Backster bagaimanapun tetap mempercayai bahawa ‘setiap makhluk memiliki jiwa’. Justeru, beliau yakin tumbuhan juga dapat merasakan perubahan psikologi pada diri manusia. Meyakini hal tersebut benar terjadi, Backster kemudian cuba membuktikannya secara saintifik menerusi kajiannya pada tahun 1975.

Seorang saintis dari Jerman turut menyuarakan hal yang sama. Pada pandangannya, apabila kita menyiram pokok sambil bercakap dan memberi kasih sayang, tanaman itu akan tumbuh dengan cepat dan menghasilkan produktiviti yang baik. Seolah-olah tumbuhan itu memahami dan mendengar apa yang dikatakan oleh manusia.

Pada andaian mereka, gerak balas itu mungkin disebabkan gangguan luaran dan bukannya disebabkan oleh emosi yang ada pada tumbuhan tadi. Tapi, Backster tetap menegakkan kesahihan tentang apa yang telah ditemukan dalam eksperimennya sebelum ini.

Selain, deria perasaan yang menjadi perdebatan, tumbuhan rupanya memiliki sensasi sentuhan. Pokok semalu atau Mimosa pudica misalnya, menunjukkan reaksi – daun mengucup dan rantingnya menunduk apabila disentuh. Beberapa kajian mendapati selain daripada sentuhan, terdapat dapatan daripada kajian mengatakan pokok juga memiliki deria bau.
Dr. Hazandy Abdul Hamid |
Sebagai contoh kata Dr. Hazandy, apabila pokok tomato dilukai, ia akan mengeluarkan satu bauan yang dipanggil metil jasmonat. Bauan yang dikeluarkan itu akan menarik perhatian serangga untuk merosakkan tumbuhan yang berdekatan. Menariknya, tumbuhan berdekatan didapati turut bereaksi dengan mengeluarkan satu bahan kimia bagi mempertahankan diri daripada serangan serangga perosak apabila terhidu bau tadi.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pokok juga memiliki foto sensitif kompaun yang membolehkannya melihat. Keupayaan penglihatannya menyebabkan ia bisa bertindak balas dengan jarak gelombang cahaya tertentu dan kemudian bereaksi. Dapatan menerusi kajian mengatakan bahawa apabila pokok boleh mengesan satu sinar UVB– ia akan menghasilkan pigmen untuk menghalang sinaran berbahaya tadi. Ini menunjukkan tumbuhan seolah-olah mempunyai deria penglihatan sehingga boleh melihat cahaya.
Kajian seorang saintis India, Jagadish Chandra Bose, pula mendapati tumbuhan turut memiliki deria pendengaran. Dengan bantuan alat crecograph, Bose melakukan penelitian simulasi tanaman. Apa yang berlaku, apabila tanaman diberikan muzik yang menyenangkan, ‘mereka’ tumbuh lebih cepat berbanding suasana yang bunyinya agak kuat.
Lalu Bose menyimpulkan bahawa respons tersebut menunjukkan tanaman memiliki sistem saraf seperti haiwan. Justeru, ‘mereka’ boleh ‘merasa sakit, merasai kasih sayang dan memahami.
Comments
Post a Comment