Jalan Cinta Kampung Bujang
Inilah keunikan di kampung Barwaan Kala, sebuah perkampungan kecil yang berada di tengah-tengah kawasan bukit dan hutan tebal di Kaimur, wilayah Bihar utara India. Berikutan lokasinya yang terpencil dan sukar dihubungi melalui jalan darat, maka penduduknya terpisah daripada dunia luar.
Namun, di sebalik ketenangan hasil anugerah alam semula jadinya, tersimpan sebuah cerita duka bagi kaum lelaki di situ. Ketenangan yang dimiliki nyata tidak dapat memadam keresahan hampir 120 lelaki bujang. Secara puratanya, mereka berusia antara 16 sehingga 80 tahun.
Soalnya mengapa mereka ini hidup membujang?

Suatu ketika dulu, kampung Barwaan Kala ini pernah ada keluarga yang mempunyai anak gadis. Bagaimanapun kebanyakan ibu bapa di kampung itu mula menghantar anak gadis mereka tinggal bersama saudara mara di bandar. Ia bertujuan untuk mengelakkan mereka daripada terus tinggal di kampung yang terpencil itu serta memudahkan mereka bertemu jodoh dan mendapat kehidupan yang sempurna. Lama kelamaan, tidak ada gadis yang tinggal di kampung itu. Kali terakhir majlis perkahwinan dilangsungkan di kampung itu adalah 50 tahun lalu.

Sejak 50 tahun lalu, tidak ada kenderaan yang boleh masuk ke situ. Laluan sukar dan hutan tebal menyebabkan tidak ramai penduduk di situ yang mahu keluar daripada kampung itu. Mengikut cerita beberapa penduduk di situ, dulu ada gadis dari kampung berhampiran cuba datang ke kampung itu tetapi malangnya, di pertengahan jalan mereka terserempak dengan harimau. Takut menjadi makanan harimau, mereka tidak berani lagi datang ke situ.
Disebabkan kemelut yang dihadapi seolah-olah tiada penghujung, orang-orang bujang di kampung itu sepakat untuk membina jalan dari kampung mereka ke luar. Mereka percaya pembinaan jalan itu akan membuka peluang untuk mereka mendapat jodoh. Menurut Ram Chand Khawar, membina jalan cinta ke dunia luar sepatutnya dilakukan 50 tahun lalu. Walaupun jalan cinta baru hendak dibina, namun itu bakal menjadi harapan baru untuk 120 orang bujang di kampung itu menamatkan penantian jodoh mereka.

Mengikut arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa, usaha membina jalan cinta itu bakal menyebabkan ‘mereka’ diserang harimau. Lebih-lebih lagi, bila jalan yang dibina itu dilakukan tanpa pengawasan pihak keselamatan.
Apa yang pasti, harapan Ram dan 119 lelaki bujang lain bakal tinggal kenangan. Biarpun jalan raya sudah hampir siap, namun, pihak keselamatan tidak membenarkan orang ramai menggunakan jalannya kerana bimbang akan diserang oleh haiwan buas. Meskipun begitu, orang-orang bujang di kampung itu yakin jalan itu selamat dan tidak lama lagi mereka akan menjadi suami. Sumpahan Barwaan Kala selama 80 tahun bakal tamat.
Comments
Post a Comment