Siri pertama Tragedi Dyatlov Pass: Kehilangan sembilan orang pendaki Rusia













                                                                                                                                                              "Jika saya berpeluang untuk bertanyakan soalan pada tuhan kemungkinan saya tahu apa sebenarnya yang dihadapi oleh semua rakan-rakan pada malam itu”, luah seorang ahli kumpulan pendaki Rusia yang masih hidup selepas tragedi Dyatlov Pass, Yury Yudin.

Mengikut kronologi, tragedi ini berlaku kira-kira 53 tahun yang lalu. Pada ketika itu, sepuluh orang pendaki dari negara Rusia telah melakukan ekspedisi pendakian ke sebuah gunung yang dikenali sebagai Russia’s Ural Moutains pada 27 Januari 1959.

Pun begitu, pada hari pertama ekspedisi pendakian tersebut mengalami kesukaran apabila salah seorang daripada ahli kumpulan pendaki itu, Yury Yudin, menghadapi masalah kesihatan. Bagaimanapun, ketua kumpulan yang mengetuai ekspedisi berkenaan, Igor Dyatlov, tetap mengambil keputusan untuk meneruskan pendakian tanpa Yudin.

Ekspedisi pendakian itu dijangka memakan masa selama 16 hari. Namun, kumpulan ekspedisi terbabit masih belum pulang pada tarikh yang sepatutnya mereka tiba iaitu pada 12 Februari 1959.

Selepas tempoh tersebut iaitu pada 20 Februari 1959, satu operasi mencari dilakukan bagi menjejaki kumpulan pendaki berkenaan di kawasan pergunungan Russia’s Ural Moutains. Dalam operasi tersebut, ia memakan masa selama enam hari sebelum pasukan penyelamat menemui lokasi terakhir kumpulan pendaki terbabit yang dikenali Kholat Syakhl.

Difahamkan, ia merupakan lokasi terakhir kumpulan pendaki berkenaan sebelum mereka dilaporkan hilang. Ketika pasukan penyelamat menemui mereka, kesemuanya sudah tidak bernyawa lagi. Di kawasan itu, pasukan penyelamat menemui satu tapak perkhemahan dan beberapa alat kelengkapan pendakian dalam keadaan terbiar, kemungkinan dipercayai milik kumpulan berkenaan.

Pada masa yang sama, pasukan penyelamat turut menemui beberapa kesan tapak kaki manusia tidak jauh dari lokasi tapak perkhemahan. Berdekatan kawasan itu, mereka juga menjumpai satu kesan dipercayai unggun api yang membawa kepada penemuan dua mayat pertama.

Kedua-dua mayat tersebut ditemui dalam keadaan separuh bogel. Selain penemuan dua mayat itu, mereka turut menemui tiga lagi mayat di satu lagi lokasi yang terletak di antara sebatang pokok dan tapak khemah. Operasi mencari diteruskan lagi bagi mencari baki empat orang lagi pendaki yang masih hilang. Malangnya, di lokasi tersebut keempat-empat mangsa yang masih hilang gagal ditemui.  

Dua bulan berikutnya, ketika operasi mencari diteruskan pasukan penyelamat akhirnya berjaya menemui empat lagi mayat di satu lokasi yang berhampiran dengan tapak perkhemahan. Ketika mayat-mayat itu dijumpai, ia berada di dalam sebuah cerun dan diliputi salji setebal setinggi empat meter.

Keempat-empat mayat yang ditemui berada dalam keadaan berpakaian lengkap. Dua daripada mayat tersebut dilihat mengalami kesan kecederaan yang sangat serius seperti, keadaan tengkorak kepala yang separuh hancur dan hilang lidah seolah-olah dikerat oleh senjata tajam.

Penemuan mayat mangsa di tempatkan kejadian telah menimbulkan banyak elemen misteri yang menjadi tanda tanya. Rata-rata keadaan mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan yang sangat mengerikan dan sukar untuk digambarkan oleh logik akal.

Disebabkan itu, punca sebenar kematian mereka masih belum diketahui oleh sesiapa pun sehingga hari ini. Lebih menyukarkan lagi, pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyiasat kejadian itu telah mengklasifikasikannya sebagai rahsia dan fail kes telah ditutup tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Timbul persoalan, apakah sebenarnya punca yang menyebabkan kumpulan pendaki tersebut terkorban? Dan, mengapakah pihak berkuasa menghentikan proses siasatan terhadap kes berkenaan? Untuk mengetahui kisah ini selanjutnya, ikuti siri kedua Tragedi Dyatlov Pass siri kedua  akan datang. 

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit