Pertandingan gusti suri rumah
Sukan gusti
merupakan satu acara yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat di Mexico. Ia
merupakan sejenis sukan yang sangat terkenal malah lebih popular berbanding
sukan bola sepak di negara itu.
Uniknya,
acara sukan lasak yang menjadi kegilaan ramai masyarakat di sini bukan sahaja
cenderung kepada golongan kaum lelaki, tetapi turut diminati oleh kesemua
majoriti golongan kaum wanita di negara tersebut. Percaya atau tidak, akibat terlalu
fanatik dengan sukan ini satu pertandingan gusti jalanan telah dianjurkan dan kesemua
pesertanya adalah terdiri daripada suri rumah sepenuh masa.
Dikenali
sebagai Lucha libre, ia merupakan satu pertandingan gusti jalanan yang mula diperkenalkan
pada awal 1900 tahun yang lalu. Pada tahun 1933, acara gusti jalanan ini mula
dikenali dan bertukar menjadi satu fenomena baru dalam acara sukan yang paling
diminati di negara Mexico.
Meskipun
ianya masih baru pada ketika itu, sukan tersebut berjaya menarik perhatian
penduduk setempat dan menjadi sukan nombor satu di negara tersebut. Buat
pertama kalinya iaitu pada tahun 1953, seorang penganjur gusti jalanan yang
bernama, Salvador Lutteroth, telah menyiarkan pertandingan berkenaan secara
langsung melalui saluran televisyen di seluruh negara benua Amerika Selatan itu.
Selain disertai
oleh majoriti kaum wanita, acara gusti jalanan ini turut menampilkan kelainan
yang tersendiri berbanding acara-acara gusti yang dipertandingkan di negara
lain. Keadaan ini dapat dilihat melalui idea-idea kreatif daripada para peserta
yang tampil dengan pelbagai gaya dan pakaian, mirip seperti seorang adi wira. Bagi
mereka, penampilan seumpama itu penting untuk menyembunyikan identiti mereka
daripada diketahui peminat.
Menurut seorang
peserta yang dikenali sebagai Catrina, pertandingan gusti jalanan merupakan suatu
acara sukan yang paling diminatinya. Katanya, minat terhadap sukan tersebut
timbul ketika dia mempelajari ilmu seni mempertahankan diri bagi mengelak
daripada menjadi mangsa bekas suami yang sering kali memukulnya.
Ekoran kegilaan
pada sukan gusti yang diceburinya, wanita yang berumur 56 tahun itu bukan
sahaja berstatus seorang suri rumah sepenuh masa, malah turut menjadi seorang
ahli gusti amatur separuh masa. Difahamkan, sehingga hari ini wanita berkenaan
yang juga seorang nenek sudah pun 26 tahun menyertai pertandingan gusti jalanan
tersebut.
Seorang
lagi peserta gusti Lucha libre, Estrella Dorada memberitahu, pertandingan gusti
jalanan ini merupakan sejenis sukan yang acap kali dipertandingkan. Berdasarkan
jadual pertandingan, sukan jalanan ini tidak mengikut musim seperti sukan-sukan
terkenal di dunia yang lain. Jelas Dorada lagi, Lucha libre merupakan sejenis
sukan yang istimewa dan ianya tergolong dalam kategori sukan gusti yang dikhaskan
untuk golongan suri rumah sahaja. Selain itu, kata Dorada, acara gusti jalanan turut
menawarkan hadiah yang lumayan iaitu wang tunai yang menjadi pendapatan
sampingan bagi keluarganya.
Sementara
itu, sebuah perkampungan yang dikenali Gornje Ljubinje, selatan Kosovo, terdapat
satu pertandingan gusti yang diadakan setiap lima tahun sekali. Acara sukan
tersebut digelar sebagai ‘Gusti Minyak’.
Dalam
pertandingan ini, ia melibatkan pertarungan di kalangan lelaki muda yang
tinggal di perkampungan itu. Peserta yang menyertai pertandingan ini akan
berlawan tanpa memakai baju dan keseluruhan badan mereka dilumurkan dengan
minyak. Kemudian, mereka akan bertarung satu lawan satu sehingga menjatuhkan
pihak lawan sebelum diisytiharkan sebagai pemenang.
Menurut
seorang penduduk setempat, Arif Kurtishi, pertandingan gusti minyak merupakan
sebahagian upacara majlis berkhatan yang disambut oleh sekelompok etnik Islam di
kawasan ini sejak ratusan tahun lagi. Kebiasaannya, upacara ini akan diadakan
secara besar-besaran selama empat hari berturut-turut. Selain itu, majlis
keramaian ini juga dilakukan bertujuan mengumpul derma untuk membantu keluarga
miskin yang tidak mampu mengadakan majlis berkhatan bagi anak lelaki mereka.
Selain
pertandingan gusti minyak yang paling menarik perhatian ramai, beberapa acara
lain turut diadakan seperti persembahan muzik tradisional, tarian dan
perlawanan tarik tali.
Comments
Post a Comment