Penguji bau badan profesional


Tahukah anda, sebelum deodoran dihasilkan ia mestilah diuji terlebih dahulu sebelum dipasarkan.  Uniknya, ketika proses ujian dilakukan ia tidak menggunakan sebarang bantuan alatan berteknologi tinggi, tapi diuji dengan menggunakan hidung manusia.

Mungkin bunyinya seperti sesuatu yang kelakar dan janggal, tapi ia adalah pekerjaan yang benar-benar wujud dan ditawarkan kepada sesiapa yang layak. Jadi, bagi anda yang rasa-rasa mahu melakukan tugas ini haruslah memiliki deria yang tajam untuk digelar sebagai penguji bau badan profesional.

Setakat ini, jawatan tersebut hanya ditawarkan sebuah makmal Hilltop Cincinati, Amerika Syarikat. Ia diwujudkan oleh pihak makmal berkenaan sebagai pelengkap kajian yang membabitkan apa sahaja permasalahan berkaitan bau badan manusia.

Untuk pemahaman yang lebih mudah, seseorang yang berkerjaya sebagai penguji bau badan profesional ini akan menghidu setiap bau badan sukarelawan yang dipilih menggunakan hidung mereka. Jangka waktu ujian dijalankan selalunya tidak mengambil masa yang lama, tetapi tempoh penyelidikan kemungkinan bergantung pada jenis bau deodoran yang ingin dihasilkan. Biasanya, ia memakan masa selama berbulan-bulan lamanya.

Apa sahaja bau badan yang dihidu ini akan di analisa dan direkodkan dalam kategori yang dikhaskan. Apabila penyelidikan yang dijalankan telah lengkap, keputusan kajian akan dihantar kepada syarikat-syarikat pengeluar deodoran yang mendapatkan khidmat dari makmal tersebut, seterusnya dijadikan sebagai formula untuk menghasilkan produk deodoran yang bermutu.

Tidak ada syarat wajib yang perlu dipatuhi oleh calon-calon yang berhasrat untuk mengisi jawatan tersebut dan ia terbuka kepada sesiapa sahaja sama ada lelaki ataupun wanita. Apa yang penting, calon-calon mestilah memiliki deria yang tajam dan ekstrem pada apa jua jenis bau sebelum bergelar penguji bau badan profesional. Sekalipun kerjaya ini nampak remeh dan aneh, tetapi ia mempunyai peranan penting dalam penghasilan sesebuah produk bauan.

Salah seorang individu yang menjawat jawatan sebagai penguji bau badan profesional ini ialah Betty Lyons, seorang juruteknik bau dari Amerika Syarikat.  Menurut Lyons, beliau ditawarkan jawatan tersebut secara kebetulan ketika menjadi salah seorang sukarelawan yang membenarkan bau badannya dihidu oleh penguji.

Tanpa sebarang komitmen yang membebankan, Lysons menerima tawaran tersebut dengan upah yang sangat lumayan. Sebelum menjadi penguji bau profesional, beliau terlebih dahulu dilatih selama setahun untuk mempelajari setiap jenis bau badan manusia.

Jelas Lyons, ketika mula-mula melakukan pekerjaan tersebut, dia agak kekok kerana terpaksa menghidu pelbagai bau busuk  iaitu bau ketiak, nafas, kaki, dan lampin. Bagaimanapun, setelah hampir 35 tahun berkecimpung dengan kerjaya berkenaan, dia sudah mampu membiasakan dirinya, serta gembira dengan kerja yang dilakukan.

Bagi Lyons, ia merupakan pekerjaan yang sangat ringkas, tetapi mempunyai matlamat yang mulia kerana dapat membantu manusia lain yang menghidapi masalah bau badan. Dianggarkan, sejak menjadi wanita itu menjadi penguji bau badan profesional hampir beribu jenis bau telah dihidunya.

Kini, kebolehan yang dimiliki oleh wanita tersebut sangat berguna kepada syarikat-syarikat pengeluar deodoran di Amerika Syarikat yang mahu menganalisis produk-produk baru keluaran mereka. 

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit