Manusia Halimunan di China
Disebabkan
idea kreatif yang ditonjolkan, seorang lelaki warganegara China, Liu Bolin, telah
disenaraikan sebagai antara individu yang paling terkenal di negara itu. Diberi
jolokan nama sebagai ‘Manusia halimunan’, lelaki tersebut dikatakan memiliki
satu kepakaran luar biasa yang membolehkannya menyamar menjadi apa sahaja.
Ibarat
seperti seekor sesumpah, lelaki yang berusia 35 tahun ini mampu melakukan
pelbagai aksi penyamaran dalam apa jua keadaan sekalipun, termasuklah menyamar
seperti sayur-sayuran, jalan, pondok telefon, dinding batu, dan sebagainya.
Mengikut
laporan sebuah agensi berita, Reuters, kebolehan luar biasa yang dimiliki
lelaki tersebut bermula kira-kira enam tahun yang lalu sewaktu bergiat aktif di
dalam dunia seni lukisan yang dipanggil ilusi optik. Pada mulanya, ia dilakukan
bertujuan untuk keseronokan sahaja. Namun, ia berubah dan seni lukisan itu telah menarik minatnya yang ingin melakukan
lebih banyak lagi penyamaran.
Ekoran
minatnya terhadap seni berkenaan, Bolin sering kali melakukan aksi penyamaran
bersama kumpulannya di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai. Selain itu, kepakaran luar biasa yang
dimiliki lelaki tersebut turut menjulang namanya sekali gus menerima banyak
pengiktirafan dari antarabangsa.
Soalnya,
bagaimanakah lelaki tersebut mampu melakukan aksi sebegitu? Apakah ada
penjelasan mengenai perkara ini?
Hal ini
mendapat perhatian daripada seorang pensyarah dari Fakulti Seni Halus, Akademi
Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA), Suzlee Ibrahim. Jika dilihat
dari aspek seni halus, aksi penyamaran yang dilakukan oleh Bolin adalah
merupakan satu kategori lukisan yang dipanggil sebagai ‘Pop art’.
Lukisan ini
sangat terkenal sekitar era 50-an. Ia selalunya menggunakan imej-imej yang
popular dalam sesebuah karya seorang artis. Sebagai contoh, imej yang sering
digunakan dalam penghasilan karya ‘Pop art’ adalah logo minuman ringan
Coca-cola, lukisan Marilyn Monreo, dan banyak lagi.
Bagi
menghasilkan karya seperti ini, penggunaan warna yang sesuai amat
dititikberatkan. Dengan menggunakan sejenis
cat khas yang dipanggil ‘Face painting’, karya seperti ini boleh dihasilkan
oleh sesiapa sahaja. Ia merupakan sejenis cat yang sesuai untuk kulit manusia
dan mudah dihilangkan dengan hanya menggunakan air.
Berdasarkan
penelitian aksi penyamaran yang dilakukan Bolin, jelas Suzlee, wujud beberapa
kelemahan yang ketara boleh dilihat. Pertama, semua karya-karya yang dihasilkan
oleh artis China ini semuanya melibatkan figura manusia. Jadi, karya yang
dihasilkan tidak mampu bertahan lama dan berlaku pada satu-satu masa sahaja.
Selain itu, karya tersebut juga tidak boleh dipamerkan di dalam sebuah galeri
yang memakan masa berbulan-bulan.
Kedua,
kelemahan yang boleh dilihat lagi adalah sukar untuk mendapatkan warna yang
tepat seperti subjek atau gambar latar yang digunakannya. Meskipun karya yang
dihasilkannya cuba menggambarkan suatu keadaan yang dipanggil lut sinar, namun ia
satu perkara yang mustahil dilakukan bagi mendapatkan warna yang betul-betul
seperti subjek yang digunakan.
Ketiga, semua
karya yang dihasilkannya hanya bergantung pada pakaian dan figura badan
manusia. Disebabkan itu, aksi penyamaran yang dilakukan oleh lelaki itu hanya
boleh dilihat pada satu arah sahaja iaitu bahagian hadapan. Jika dilihat pada
arah lain, ia sudah tidak sama lagi dan penyamaran mungkin akan terdedah.
Comments
Post a Comment