Evolusi sebutir komet



                                  

Di dalam sistem suria kita, terdapat pelbagai objek astronomi yang wujud. Salah satu daripadanya adalah sebuah objek angkasa yang dikenali sebagai Komet.

Mengikut sejarah penyelidikan astronomi, istilah komet diambil daripada satu perkataan bahasa Latin yang bermaksud sebagai ‘Rambut panjang’. Difahamkan, gelaran ini mula digunakan oleh seorang ahli falsafah Yunani Kuno, Aristotle, sewaktu menggambarkan pengalamannya melihat sebuah bintang yang bercahaya seperti helaian rambut.

Sebelum teleskop direka pada tahun 1608, masyarakat pada zaman dahulu menganggap komet sebagai sebuah objek yang sangat menakutkan. Kononnya, pada ketika itu mereka percaya kenampakan komet di langit bakal mendatangkan satu petanda buruk kepada mereka seperti, kematian dan bencana alam yang dahsyat.

Bagaimanapun, persepsi itu berubah apabila seorang Pakar Kaji Bintang Inggeris, Edmond Halley, melakukan kajian terperinci mengenai objek angkasa tersebut. Dalam penyelidikannya, beliau berjaya menemui objek berkenaan pada tahun 1682. Kini, komet tersebut digelar sebagai Komet Halley.

Mengikut rekod penyelidikan astronomi, objek tersebut merupakan satu penemuan yang paling  bersejarah dan terkenal di antara komet-komet lain yang pernah dijumpai. Ia juga merupakan sebuah objek angkasa yang sangat istimewa dan merupakan satu-satunya komet yang dapat dilihat melalui mata kasar. Berdasarkan rekod penemuan objek ini, ia akan muncul pada setiap 76 tahun sekali. Kali terakhir, Komet Halley pernah dilihat pada tahun 1986. Difahamkan, objek angkasa ini dijangka muncul semula pada pertengahan 2016.

Menurut Pengarah Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Malaysia (ANGKASA), Mhd Fairos Asillam, komet merupakan suatu objek angkasa yang terbentuk daripada ketulan ais. Ia adalah sebuah objek yang dipercayai berasal dari sebuah lokasi yang dipanggil ‘Awan OORT’- satu lingkaran awan komet berbentuk sfera yang berada pada kedudukan luar planet Pluto.

Kewujudan lokasi ini mula dikenal pasti pada tahun 1932 oleh seorang ahli astronomi Estonia yang bernama Ernst Öpik. Mengikut teori yang dikemukakannya, beliau percaya objek angkasa ini  berkemungkinan wujud dari sebuah awan yang mengorbit di luar sistem solar.

Pendapat itu turut disokong oleh seorang lagi ahli astronomi dari Belanda, Jan Oort. Jelasnya,
kedudukan awan tersebut yang jauh dari matahari dilihat menjadi faktor utama kepada pembentukan objek angkasa berkenaan. Pada jarak ini, sudah semestinya keadaan suhu persekitaran berada pada takat beku.

Selain itu, komet adalah sebuah objek angkasa yang mempunyai garis orbit berbentuk elips, parabola dan hiperbola. Ia  terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu kepala, Koma, dan ekor. Di bahagian pertama iaitu kepala, terdapat satu teras utama atau nukleus yang mengandungi ais. Ukuran diameternya boleh mencapai sehingga 30 atau 40 Kilometer.

Pada bahagian kedua pula iaitu Koma, merupakan satu lapisan luar yang mengelilingi kepala komet. Di lapisan ini, kandungannya juga terdiri daripada ais. Ukuran diameternya boleh mencapai 200 hingga 20,000 Kilometer.

Di bahagian terakhir iaitu ekor, ia terdiri daripada dua kandungan utama iaitu ion dan debu-debu halus. Di bahagian ini, saiz ukurannya boleh mencapai sehingga 150,000 juta Kilometer, sekali gus lebih panjang berbanding bahagian kepala dan Koma.  

Selain itu, kata Fairos, komet mempunyai satu kitaran hidup yang panjang sehingga mencapai puluhan tahun sebelum ianya musnah. Setakat ini, punca kemusnahan objek ini sering kali dikaitkan dengan kejadian pelanggaran beberapa objek lain seperti, planet-planet yang besar dan matahari.   

Timbul persoalan, bagaimana pula dengan nasib planet-planet kecil lain khususnya bumi? Mungkinkah ia turut akan dilanggar oleh objek angkasa ini? Apakah objek ini mempunyai kaitan langsung dengan spekulasi sebelum ini yang menyatakan bumi bakal dilanggar oleh sebuah objek besar tidak lama lagi?   

Menerusi sebuah buku yang berjudul, The 12th Planet pada tahun 1976, dijangkakan wujud sebuah planet baru yang dikenali Nibiru. Difahamkan, ia merupakan sebuah planet yang besar dan mempunyai orbit berbentuk elips. Planet ini juga diramal akan tiba ke sistem suria dalaman dan akan mengganggu bumi pada tahun 2012.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, kata Fairos, setakat ini belum pernah lagi ada laporan yang menyatakan komet pernah jatuh ke bumi. Saiz komet adalah besar dan sekiranya keadaan tersebut benar-benar berlaku, dalam sekelip mata bumi akan hancur.

Sementara itu, katanya, isu mengenai planet Nibiru akan membawa kehancuran kepada bumi hanyalah satu spekulasi yang ditimbulkan kebanyakan orang. Jika orang ramai terus menyebarkan andaian dan kepercayaan mengenainya, maka orang lain juga akan berterusan mempercayainya.

Tambahnya, kebanyakan ahli astronomi sama ada profesional atau amatur masih tidak mengetahui dan menerima tentang kewujudan planet Nibiru. Setakat ini, tidak ada sebarang teori yang boleh menyokong kewujudan planet Nibiru. Malah menurut Fairos, para saintis mempunyai ribuan hujah bagi menyangkal dakyah kewujudannya selain menganggap kewujudan planet Nibiru adalah bercanggah dengan hukum-hukum fizik, biologi dan logik.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit