Penempatan tinggalan di Gua Kerbau
Di Kodiang,
Kedah, kawasan ini memang tidak asing lagi dengan pelbagai informasi tinggalan
sejarah. Salah satunya adalah sebuah gua batu kapur yang digelar sebagai Gua
Kerbau. Terletak kira-kira 50 kilometer dari Bandar Alor Star, gua ini
dikatakan terbentuk sejak 200 hingga 300 juta tahun.
Menurut
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kedah,Perlis, dan Pulau Pinang, Zainol
Husin, keseluruhan keadaan geologi di kawasan gua itu terdiri daripada bukit
yang terbentuk daripada struktur batuan kapur. Batuan di sini membentuk satu
keadaan yang dipanggil ‘topografi mogot’ di kawasan yang dikelilingi oleh
enapan alluvium- mendapan tanah subur yang terdiri daripada lumpur, kelodak dan
pasir.
Berdasarkan
penyelidikan yang dilakukan sebelum ini, gua tersebut dikatakan pernah
menjadi satu lokasi penempatan bagi
masyarakat purba. Ia dibuktikan melalui beberapa penemuan artifak antaranya
alat-alat yang diperbuat dengan menggunakan batu oleh penduduk prasejarah
neolitik.
Selain itu,
turut dijumpai beberapa lagi peralatan seperti tembikar berkaki tiga yang
dikatakan mempunyai persamaan dengan penemuan di Bukit Tungku Lembu, Perlis dan
di Bankao, Thailand. Kira-kira 200 meter dari Gua tersebut, turut ditemui
lakaran purba yang berbentuk manusia dan binatang pada bahagian dinding sebuah
gua yang dikenali sebagai Gua Batu Putih. Melalui maklumat lisan yang diperoleh
daripada penduduk tempatan, lakaran tersebut mungkin dilukis oleh masyarakat
Orang Asli yang pernah mendiami kawasan gua berkenaan.
Kata Zainol
lagi, pihaknya telah melakukan kajian selama dua tahun di kawasan gua tersebut.
Apa yang menariknya, kawasan berkenaan sangat berpotensi untuk disenaraikan
sebagai salah sebuah tapak geowarisan di negara ini.
Sementara
itu, seorang penduduk dari Kampung Kodiang Lama, Harun Hussain berkata, Gua
Kerbau juga terkenal dengan sebuah cerita mitos Sang Kelembai. Mengikut versi
di sini, Sang Kelembai dikatakan telah menyumpah seekor kerbau menjadi batu di
kawasan gua ini.
Merujuk
kepada fakta sejarah negeri Kedah, dahulunya Kodiang pernah menjadi pusat
pemerintahan dan ketenteraan bagi kerajaan Kedah sejak 300 tahun lalu
(1321-1619). Di kawasan ini juga, kata Harun, turut wujud sebuah kota yang
digelar sebagai ‘Kota Si Puteh’.
Ekoran
keadaan itu, gua tersebut dikatakan pernah menjadi lokasi yang penting bagi
angkatan perang Kedah. Kata Harun, sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1804-1843)
telah berlaku satu peristiwa peperangan yang hebat di antara angkatan perang Siam.
Justeru, gua berkenaan dijadikan sebagai markas utama angkatan perang Kedah
bagi melatih tentera mereka untuk menentang angkatan tentera Siam.
Ketika
menjadi tempat latihan angkatan tentera, gua tersebut dikatakan mampu memuatkan
seramai 70 hingga 100 orang bagi menjalani latihan dalam satu-satu masa. Selain
itu, ia turut dilihat sebagai satu lokasi yang strategik sebagai tempat
persembunyian angkatan perang Kedah daripada serangan tentera Siam.
Oleh sebab
Kodiang pernah dijadikan pusat ketenteraan dan pentadbiran, sehingga hari ini
dua
golongan bangsawan terbesar masih mendiami kawasan tersebut. Dua golongan bangsawan
tersebut adalah daripada keturunan yang membawa gelaran ‘Ku’ dan ‘Syed’.
Mengikut
salasilah dua keturunan bangsawan itu, gelaran ‘Ku’ difahamkan datang daripada
keturunan raja dari Kota Si Puteh manakala bagi gelaran ‘Syed’ pula daripada
raja dari negeri Perlis.
Tambah Harun, salasilah kedua-dua keturunan bukan
sahaja menetap di Kodiang malah turut dikaitkan mempunyai pertalian dengan
keturunan raja di Satun, negara Thailand.
Mengikut
cerita lisan daripada masyarakat terdahulu, kata Harun, asal-usul nama Gua
Kerbau diambil sempena satu peristiwa acara laga kerbau di sebuah padang di
Kampung Kodiang lama. Difahamkan, terdapat salah seekor kerbau telah kalah
dalam pertandingan itu dan haiwan tersebut melarikan ke gua berkenaan.
Tidak
berapa lama selepas itu, dipercayai muncul seketul batu besar yang menyerupai
bentuk seekor kerbau yang sedang tidur di pintu masuk gua berkenaan. Bermula
dari situlah penduduk di kawasan tersebut menggelarnya sebagai Gua Kerbau.
Comments
Post a Comment