Misteri belanga Langkasuka
Kira-kira 15 tahun yang lepas, sebuah keluarga di Kampung Sungai Emas mengalami suatu kejadian aneh apabila wujudnya sebuah lubang besar berdekatan rumah mereka.
Pemilik rumah, Abd Rahim Hashim, 60, memberitahu, pada mulanya dia menyangka lubang itu hanyalah suatu kejadian biasa sahaja. Namun, lama kelamaan kejadian itu menimbulkan kemusykilan, keluasan lubang itu semakin hari semakin besar. Rahim mulai bimbang dan rasa takut kalau rumah yang didiaminya akan ditelan lubang misteri itu.
Dia kemudian meninjau keadaan lubang tersebut kerana ingin melihat apakah punca ia makin melebar. Secara perlahan-lahan dia menghampiri lubang itu. Tiba-tiba! Dia terkejut apabila melihat satu objek besar menyerupai sebuah belanga dan beberapa bentuk patung gajah berhias manik-manik yang bertaburan di sisi beberapa lagi objek-objek lain dalam lubang itu.
Tergamam
dengan kejadian itu, fikiran Rahim bercelaru. Dia tidak tahu dari manakah objek-objek ini wujud? Apakah benda yang dilihatnya itu harta karun? Siapakah pemilik? Inikah yang dikatakan dunia ghaib?
Kisah penemuan itu menjadi berita panas di kampung itu. Orang ramai berpusu-pusu datang ke lubang ajaib. Situasi itu membimbangkan Rahim kerana keadaan itu boleh mengancam keselamatan mereka sekeluarga. Mereka boleh terdedah dengan ancaman perompak atau pencari harta karun haram. Lebih-lebih lagi bila ada di antara pengunjung mula bertanyakan pelbagai soalan seolah-olah mengesyaki mereka ada menyimpan harta berharga.
Mujurlah, tidak lama kemudian, datang orang-orang daripada muzium melihat tapak itu dan mereka memberitahu Rahim, kawasan kampung itu merupakan tapak sebuah kerajaan lama yang dipanggil sebagai Langkasuka. Kerajaan ini telah wujud di Sungai Emas sejak 2000 tahun lampau. Malah fakta penyelidikan, ia juga menujukan, Sungai Emas pernah dihuni oleh masyarakat pra-sejarah.
Di percayai, Sungai Emas berkembang sebagai pelabuhan pesisir pantai pada awal abad kelima hingga abad ke-19. Kedudukannya yang strategik serta terlindung daripada ribut menjadikannya tempat persinggahan saudagar dari Lautan Hindi dan Laut Selatan.
Penyelidikan dijalankan
Kerja-kerja penyelidikan terhadap tamadun purba ini sudah bermula pada tahun 1849 lagi. Ini berikutan laporan daripada Leftenen Kolonel James Low, Supritendent Province Wellesley, Prince of Wales Island telah melaporkan penemuan struktur batu-bata di Serokam dan Sungai Emas. Bagaimanapun, sehingga 1974, kerja-kerja penyelidikan itu terhenti apabila tiada maklumat lanjut diperoleh mengenainya.
Kemudian sekitar tahun 1979, dua orang pakar arkeologi Amerika Syarikat, Jane Allen dan Jan Wisseman Christei dengan kerjasama dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang serta Jabatan Geografi, Universiti Malaya telah menemui 12 tapak bersama penemuan artifak-artifak yang terdiri daripada bahan binaan, seramik asing, tembikar tanah, kaca, manik dan batu bersurat di Kampung Sungai Emas.
Malah, pada 4 hingga 27 Oktober 1985, sebuah projek khas iaitu “2nd Intra-ASEAN Archaeological Excavation And Conservation Bujang Valley, Kedah, Malaysia” telah memilih kawasan Sungai Emas sebagai lapangan kajian. Justeru, projek itu telah disertai pakar-pakar dari Brunei Darussalam, Filipina, Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Projek ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi bukti-bukti penting mengenai tamadun purba di Sungai Emas. Antara yang diutarakan adalah tapak tanah bersejarah Sungai Emas merupakan bandar pelabuhan yang perlu dikaji secara mendalam bagi menyingkap dan membongkar tamadun zaman pra-Islam di Malaysia serta Asia Tenggara.
Pada tahun 1990 hingga 1991, satu lagi gerakan cari gali dilakukan oleh Jabatan Muzium Malaysia yang diketuai oleh Kamaruddin Zakaria dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman dari Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia serta Dr. Michel Jacq-Hergoualc’h dari Pusat Kajian Saintifik Kebangsaan de la, Paris telah berjaya mengumpul lagi beberapa data bagi mengukuhkan lagi kepentingan Sungai Mas dalam konteks penyelidikan arkeologi proto-sejarah.
Hasil penyelidikan
Pada November 1992 hingga Mei 2001 dengan kerjasama beberapa Universiti tempatan dan luar negara serta Jabatan-jabatan muzium tempatan akhirnya telah mengenal pasti sebanyak 162 petak kawasan yang digali pada keluasan 324 persegi.
Pelbagai struktur dijumpai, antaranya sebuah kompleks bangunan yang tidak dikenal pasti daripada segi bentuk dan fungsinya. Selain itu, beberapa bahagian lain turut dijumpai seperti lantai, koridor, tangga, bendul pintu, tempat saluran air dan pelapik tiang.
Sementara itu, sebanyak 191,506 artifak yang terdiri daripada pecahan seramik asing, tembikar tanah kaca, atap genting, batu-bata, logam damar, tulang, tungku, duit dan beberapa objek lain yang tidak dikenali.
Antaranya lagi, penemuan sebanyak 21,673 butir manik yang dijumpai menerusi proses penggalian serta 61,680 butir pula dijumpai secara tidak sengaja. Manik-manik ini yang terdiri dari kaca, batu permata, oniks, kornelian, kerubung, firuz, emas, tanah liat, teraccota, akik dan tulang ikan dengan pelbagai warna adalah simbol kegemilangan Sungai Mas.
Namun, kegemilangan itu tidak kekal lama kerana berlakunya pergolakan politik, ekonomi, sosial kerajaan purba di Asia Tenggara. Sungai Mas menghadapi situasi genting di samping keadaan alam yang tidak konsisten. Kawasan lokasi Sungai Mas sering dilanda banjir kilat dan juga limpahan air dari sungai Muda.
Comments
Post a Comment