Ke mana hilangnya masyarakat Skara Brae?



Pada tahun 1850, sebuah kawasan persisiran pantai barat di Pulau Orkney, Scotland, telah dilanda ribut taufan yang kuat. Peliknya, selepas taufan tersebut reda muncul sebilangan struktur binaan bangunan batu di dalam tanah yang tidak diketahui asal-usulnya.

Persoalannya, binaan apakah yang muncul tiba-tiba itu? Aneh! Siapakah yang membinanya? Sejak penemuan itu, struktur binaan bangunan batu tersebut menarik minat penyelidik untuk mengkaji asal-usulnya.
Profesor Sir William Boyd Dawkins
Antara yang melakukan penyelidikan itu ialah seorang pakar geologi British, Profesor Sir William Boyd Dawkins. Dawkins mengemukakan teori bahawa wujud bukti geologi yang menunjukkan kawasan tersebut pernah dihuni oleh sebuah komuniti purba yang digelar ‘Skara Brae’ kira-kira lima juta tahun yang lalu. Penempatan yang turut digelar ‘Pompeii of Britain’ ini turut mengandungi sepuluh kelompok rumah yang dianggarkan dibina 3100 hingga 2500 SM.
Profesor Vere Gordon Childe


Secara purata, setiap struktur binaan yang menyerupai rumah di Skara Brae ini berukuran 40 meter persegi. Manakala, berdasarkan jumlah bilangan rumah yang ada, berkemungkinan tidak lebih daripada 50 orang penduduk pernah menghuni kawasan terbabit.

Jelas Dawkins, berdasarkan ekskavasi yang dilakukan pada tahun 1913 mendapati, hanya enam sahaja daripada sepuluh buah rumah masih lagi dalam keadaan baik. Malah, kesemua rumah yang dijumpai dibina mengikut bentuk yang seragam serta dihubungkan setiap rumah ke rumah melalui laluan bawah tanah.

Bagaimanapun, Dawkins mengakui pemeriksaan awalnya itu masih belum menunjukkan maklumat yang benar-benar tepat berkaitan identiti masyarakat yang menghuni kawasan terbabit. Namun, dia percaya dan mengemukakan andaian yang munasabah bahawa masyarakat yang tinggal di persisiran pantai itu berasal dari bangsa Viking yang berhijrah dari Norway.
Tiada siapa yang tahu masyarakat ini menghilang
Berdasarkan bukti yang diperoleh, pakar geologi itu turut mendakwa bahawa masyarakat kuno Skara Brae amat mahir dalam kerja-kerja pertukangan batu. Jelas Dawkins, dakwaannya itu jelas sekali dapat dilihat melalui kesemua bahagian penempatan kuno ini melalui struktur binaan, peralatan, perabot dan tangki simpanan air yang dibuat sepenuhnya dengan menggunakan batu. Antara penemuan lain adalah ukiran pada dinding rumah, rantai leher, manik-manik, loket dan cincin yang dijumpai daripada gigi ikan paus.
Penuh misteri!
Ekskavasi yang dilakukan oleh Dawkins itu turut menjumpai beberapa peralatan lain seperti tempat pembakar tembikar yang diperbuat dari tanah gambut, objek berbentuk seakan bola, kapak dan kepala cokmar. Selain menemui peralatan yang digunakan oleh masyarakat tersebut, pakar geologi itu turut mendakwa menjumpai sejenis batu yang dikenali sebagai ‘Pumis’(batu gunung berapi ringan) yang dikenal pasti menjadi alat pengilat bagi barang perhiasan oleh masyarakat Skara Brae. 

Bagaimanapun, pada tahun 1924 kerja-kerja ekskavasi yang dilakukan oleh pakar geologi British itu terpaksa dihentikan dan diambil alih oleh Office of Works, sebuah syarikat penyeliaan bangunan milik keluarga diraja Inggeris. 

Ketika kerja-kerja ekskavasi dijalankan oleh syarikat ini, penempatan kuno itu dirancang untuk dibuka kepada tatapan umum. Namun, rancangan tersebut tergendala apabila kawasan terbabit telah dilanda taufan yang kuat hingga menyebabkan penempatan pra sejarah itu hampir musnah.

Ekoran kejadian itu, syarikat tersebut telah memanggil seorang pakar arkeologi dari University of Edinburgh, Profesor Vere Gordon Childe untuk memantau kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan.

Ketika kerja-kerja dilakukan, Profesor Childe yang juga ketua ahli arkeologi pada waktu itu tidak menunjukkan sebarang reaksi minat terhadap penempatan pra sejarah tersebut. Beliau sebaliknya hanya mengemukakan satu andaian bahawa penempatan itu pernah dihuni oleh sebuah puak purba di utara Britain yang dikenali ‘Pictish’ pada abad keenam dan kesembilan Masihi.

Namun, tidak berapa lama selepas itu, Profesor Childe terkejut dengan hasil penemuannya sendiri apabila menerima bukti-bukti bahawa Skara Brae adalah sebuah perkampungan pada zaman Neolitik. Malah, dia juga percaya bahawa usia sebenar perkampungan itu adalah lebih awal daripada 3100 SM dan telah berkembang sekurang-kurang enam ratus tahun sehingga 2500 SM.

Awal tahun 1970-an, Profesor Childe cuba mengesahkan lagi usia perkampungan tersebut dengan melakukan siri ujian radiokarbon. Hasilnya, Skara Brae pernah diduduki sejak awal lima ribu tahun yang lalu!

Bukti tersebut diperkukuhkan lagi apabila sekumpulan pakar bahasa purba menjumpai satu tulisan yang dipercayai Runic pada katil batu di perkampungan tersebut. Namun, selepas kumpulan itu menterjemahkan tulisan berkenaan, mereka mendapati ia bukan tulisan Runic. Ini kerana, tulisan yang ditemui mempunyai abjad lebih ringkas berbanding tulisan Runic yang hanya mempunyai 16 huruf.

Tulisan Runic telah digunakan oleh masyarakat di utara Eropah pada abad pertama selepas Masihi sebelum ia mengalami beberapa perubahan. Justeru, mereka telah mengemukakan satu teori bahawa tulisan tersebut adalah versi tulisan tertua yang digelar ‘Futhark’, yang digunakan oleh masyarakat Skara Brae.

Bagaimanapun, teori yang dikemukakan oleh kumpulan penyelidik bahasa purba itu telah disangkal oleh para penyelidik lain. Ini kerana, tulisan yang dijumpai di Skara Brae tidak menunjukkan bukti kukuh bahawa ia adalah tulisan Futhark. Sebaliknya, penyelidik-penyelidik lain menyatakan tulisan itu berasal dari Mesir kuno.

Tambahan lagi, skala dan struktur pembinaan kawasan ini didapati berpadanan dengan seni bina masyarakat Mesir kuno. Mereka juga turut mengemukakan andaian bahawa Skara Brae telah dibina oleh golongan elit Mesir kuno yang terdiri daripada para pendeta kaji bintang.

Golongan ini selalunya berada dalam persekitaran dan hirarki yang tinggi yang mempengaruhi mereka untuk berhijrah ke tempat-tempat yang lebih sesuai. Penyelidik-penyelidik yang skeptikal ini juga percaya bahawa terdapat banyak ukiran di Skara Brae yang mempunyai petunjuk astronomi seperti kelendar lunar, sembilan planet mengelilingi matahari, ekuinoks serta simbol zodiak.

Malangnya, andaian tersebut tidak cukup membuktikan kesahihan bahawa masyarakat Mesir purba pernah menghuni Skara Brae. Apatah lagi penyelidikan arkeologi mendapati, masyarakat ini adalah satu komuniti yang tidak suka meninggalkan bukti penjelajahan mereka.

Sehingga hari ini, Skara Brae terus diselimuti misteri. Persoalannya, siapakah yang menghuni perkampungan Skara Brae? Ke manakah mereka menghilang? 

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit

Pengawal Rumah Melayu Lama