Hidangan jantung manusia di Penjara Pollsmoor
Pollsmoor Prison merupakan salah sebuah penjara yang
terletak di Afrika Selatan. Penjara ini cukup terkenal dengan sikap ganas para banduannya
yang mengamalkan satu tradisi yang dianggap cukup mengerikan iaitu memakan
jantung manusia.
Mungkin kedengaran perkara ini agak pelik. Namun bagi
banduan yang menghuni di Pollsmoor Prison, amalan ngeri ini dianggap penting
bagi menentukan kekuatan dan kuasa bagi sesebuah kumpulan samseng yang
dianggotai mereka. Justeru, bagi anggota sesebuah kumpulan gengster yang ingin
mengekalkan pengaruh kuasanya mestilah membunuh dan memakan jantung mangsa
daripada anggota kumpulan samseng yang lain.
Menurut seorang bekas
banduan di penjara tersebut, Chris Mullins, di penjara ini hanya golongan
banduan tertentu sahaja yang berani memakan jantung mangsanya. Kebiasaannya
golongan ini terdiri daripada ketua kumpulan gengster yang amat ganas dan
kejam. Kononnya, golongan ini percaya dengan membunuh dan memakan jantung
mangsanya akan membuatkan mereka lebih selamat dan ditakuti banduan yang lain.
Tradisi ngeri yang berlaku di Pollsmoor Prison turut
dikongsi oleh seorang lelaki yang menganggotai sebuah kumpulan gengster yang
dikenali, Nice Time Kids in Cape Town. Anan(bukan nama sebenar) mengakui amalan
kanibalisme iaitu tradisi memakan jantung manusia merupakan peristiwa yang
benar-benar berlaku di penjara tersebut.
Kata Anan lagi, menjalani hukuman penjara di Pollsmoor
Prison merupakan satu pengalaman buruk yang tidak boleh dilupakan seumur
hidupnya. Penjara tersebut amat mengerikan kerana banduan-banduan yang
dipenjarakan di situ semuanya ganas dan tidak berperikemanusiaan. Kesemua
mereka ini sanggup melakukan apa saja termasuklah membunuh dan memakan jantung
mangsa yang masih lagi dipenuhi dengan darah!
Bagi mengelakkan menjadi mangsa pembunuhan, setiap
banduan baru yang dipenjarakan di sini mestilah menawarkan diri secara sukarela
menganggotai kumpulan gengster. Ia merupakan satu-satunya peluang yang ada bagi
seseorang banduan untuk terus hidup di Pollsmoor Prison. Jika tidak,
bersedialah untuk dibunuh!
Namun, menjalani hidup sebagai anggota kumpulan gengster
juga mempunyai banyak risikonya. Ini kerana, di dalam penjara ini bukan satu
kumpulan gengster sahaja yang wujud. Terdapat beberapa kumpulan gengster lain
yang digelar mengikut turutan nombor iaitu 26, 27, dan 28.
Jelasnya lagi, seseorang banduan yang menganggotai
kumpulan gengster mestilah akur dengan peraturan yang ditetapkan. Antaranya,
mereka hendaklah bertatu mengikut nombor kumpulan yang dianggotai mereka. Selain
dari itu, golongan kini mestilah bersumpah dan taat setia pada segala arahan
daripada ketua kumpulan mereka. Difahamkan, terdapat juga sesetengah dakwaan
mengatakan seseorang anggota yang melanggar peraturan akan dikenakan hukuman
bunuh dan jantungnya akan dimakan mentah-mentah.
Kadangkala, turut berlaku pergaduhan di antara kumpulan-kumpulan
gengster yang terdapat di penjara ini. Kebiasaannya, pergaduhan tercetus akibat
perebutan kuasa di antara ketua kumpulan masing-masing sehingga menyebabkan
rusuhan dan kematian. Seperti biasa, kumpulan yang menang dalam suatu
pergaduhan akan melakukan satu ritual iaitu memakan jantung mangsa mereka.
Jelasnya, seseorang yang menganggotai kumpulan gengster
tidak akan terlepas dari melakukan pembunuhan. Ia merupakan satu arahan yang
mesti diikuti sekiranya diarahkan oleh ketua mereka.
Tradisi ngeri tersebut pernah dilaporkan oleh beberapa
media sebelum ini. Ia dilakukan pada tahun 2001 oleh sebuah stesen televisyen
berita England, British Broadcasting Corporation (BBC) yang mendokumentasikan
amalan kanibalisme di penjara berkenaan. Selain itu, seorang jurugambar Afrika
Selatan, Micheal Subotzky, pernah merakamkan gambar mengenai kehidupan para
banduan di Pollsmoor Prison. Begitu juga
dengan seorang wartawan dan juga pelakon dari England, Ross Kemp, yang turut
mendokumentasikan secara realiti perihal banduan di penjara itu.
Selain amalan memakan jantung manusia, Pollsmoor Prison
merupakan salah sebuah penjara yang cukup diketahui ramai dengan kawalan
keselamatan paling ketat di Afrika Selatan. Mula dibina pada tahun 1964,
penjara ini menempatkan seramai 7,000 orang banduan yang disabitkan pelbagai kesalahan
jenayah serius.
Comments
Post a Comment