Pesta meraikan kematian
Kematian
disifatkan sebagai satu tahap yang semestinya dihadapi oleh semua orang.
Lazimnya, ia dianggap sebagai satu kehilangan yang menyedihkan. Percaya atau
tidak, terdapat sesetengah budaya di dunia mempercayai bahawa kematian adalah
suatu yang menggembirakan-diraikan dengan pesta dan tarian.
Masyarakat
Toraja di Sulawesi misalnya menganggap kematian bukanlah kejadian untuk
diratapi. Sebaliknya, mereka mempercayai ia sebagai permulaan suatu perjalanan
besar yang menggembirakan roh si mati berhijrah ke alam yang lain.
Bagi
masyarakat ini, mereka turut menyifatkan kematian adalah satu proses
‘perjalanan’ yang amat menggembirakan bagi roh si mati untuk menuju ke
kehidupan yang lebih baik. Ekoran itu, keluarga si mati mestilah mengadakan
upacara khas untuk meraikan kematian ahli keluarga mereka yang sudah meninggal.
Dalam
upacara khas itu, keluarga si mati hendaklah mengadakan satu pesta yang
biasanya dihadiri ramai orang. Kebiasaannya,
sewaktu pesta tersebut diadakan ia akan diiringi dengan nyanyian serta majlis
tarian sekumpulan gadis yang berpakaian
cantik- sebagai tanda menyambut tetamu yang datang.
Menurut
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail, pesta ini
akan diadakan sebanyak dua kali untuk si mati. Pesta yang pertama dibuat tidak
berapa lama selepas berlakunya kematian. Manakala, pesta kedua pula akan
dilangsungkan sehingga memakan masa bertahun-tahun selepas itu.
Selepas
itu, ahli keluarga si mati akan mengumpulkan jumlah wang yang mencukupi untuk
mengadakan upacara pemakaman terakhir yang dipanggil sebagai rambu solo. Masyarakat Toraja percaya
upacara ini sangat penting kerana ia akan membolehkan roh si mati sampai ke puyo- suatu tempat yang dianggap syurga.
Selain
mengadakan pesta, masyarakat Toraja turut melakukan upacara korban. Biasanya,
dalam upacara ini mereka akan melakukan penyembelihan kerbau. Kerbau yang telah
disembelih akan dijajarkan di atas padang. Ia dianggap sebagai satu simbolik
haiwan tunggangan yang akan dinaiki oleh si mati untuk sampai ke puyo dalam jangka waktu yang lebih singkat.
Selain
masyarakat Toraja, masyarakat Malagasi di Madagaskar juga berkongsi persepsi yang
sama. Mereka menganggap kematian adalah suatu kejadian yang menggembirakan dan
perlu diraikan oleh semua orang. Bagi keluarga si mati, mereka hendaklah
mengadakan satu upacara keraian yang dikenali Famadihana .
Dalam
upacara ini, mayat yang telah ditanam akan digali semula dan digantikan dengan
kain kafan yang baru. Kemudian, mayat akan ditanam semula diiringi alunan muzik
dan tari-menari sambil mengelilingi kawasan kubur si mati. Masyarakat Malagasi
percaya upacara ini sangat penting untuk roh si mati ke alam dunia abadi.
Upacara Famadihana adalah tradisi yang diamalkan
sejak abad ke-17 lagi. Kebiasaannya, upacara ini akan dilakukan setiap tujuh
tahun sekali. Masyarakat Malagasi, upacara ini mestilah diraikan oleh semua
orang termasuklah kaum keluarga si mati sebagai cara menghormati orang yang
telah meninggal dunia.
Selain
diiringi muzik dan tarian, upacara tersebut turut dilakukan penyembelihan
haiwan. Daging haiwan yang dikorbankan itu akan dibahagikan kepada semua tetamu
dan kaum keluarga si mati.
Comments
Post a Comment