Menara syaitan!!!!



Di sebuah bukit yang terletak di timur laut Wyoming, Amerika Syarikat, terdapat sebuah menara semula jadi yang masih menjadi misteri sehingga kini. Mempunyai ketinggian 1266 kaki dari paras laut, menara ini terbentuk melalui aktiviti gunung berapi sekitar 65 juta tahun yang lalu.

Lantaran keadaan semula jadinya begitu, menara tersebut digelar The Devil Tower  atau menara syaitan oleh seorang  pegawai tinggi tentera Amerika Syarikat, Kolonel Richard Irving Dodge pada tahun 1875. Bagi masyarakat sekitar khususnya beberapa suku etnik seperti Arapaho, Crow, Cheyenne, Kiowa, Lakota dan Shoshone, mereka menggelar menara tersebut dengan pelbagai nama. Antaranya seperti, Aloft on a Rock, Bear’s House, Bear’s Lair, Bear’s Lodge, Bear’s Lodge Butte, Bear’s Tipi, Tree Rock, dan Grizzly Bear Lodge.

Persoalan yang sering ditanya, mengapa kawasan tersebut digelar menara syaitan? Dan, apakah punca sebenar kawasan tersebut digelar sedemikian?
Mengikut cerita lisan daripada penduduk tempatan, kawasan tersebut cukup terkenal dengan pelbagai versi cerita mitos dan kejadian paranormal. Beberapa suku etnik seperti Kiowa, Lakota, Arapaho, Crow, dan Sioux, mereka mempercayai bahawa dahulunya kawasan tersebut pernah didiami seekor beruang gergasi.

Difahamkan, telah berlaku satu peristiwa di mana beruang gergasi itu pernah menyerang enam orang gadis yang sedang memetik bunga di kawasan berkenaan. Namun, gadis tersebut berjaya menyelamatkan diri selepas mereka memohon pertolongan daripada Roh Agung.

Kononnya, Roh Agung  itu telah mengangkat sebahagian tanah yang dipijak oleh ke enam orang gadis itu, lalu membentuk seperti sebuah menara. Lalu,beruang gergasi itu cuba memanjat tanah tersebut. Bagaimanapun, percubaannya gagal dan meninggalkan kesan cakaran pada menara itu, seperti yang dapat dilihat sehingga kini.    

Sementara itu, mengikut versi lisan daripada suku Cheyenne, menara syaitan wujud selepas terjadinya satu peristiwa aneh di kawasan bukit tersebut. Berdasarkan cerita lisan, menara tersebut muncul selepas seorang  lelaki tua yang dianggap suci di kalangan suku Cheyenne, telah bermalam di kawasan bukit berkenaan. Peliknya, pada keesokan hari lelaki tua itu dikejutkan apabila tiba-tiba tempat tidurnya meninggi- seakan-akan berada di atas sebuah menara.
Oleh sebab berada di tempat yang terlalu tinggi, lelaki tua tersebut telah terperangkap selama satu hari. Kononnya, tidak lama selepas itu dia telah didatangi dewi kesembuhan lalu membantunya turun dari menara itu.

Selain wujudnya cerita mitos daripada penduduk setempat, menara ini turut dilaporkan banyak kejadian kenampakan objek  yang tidak dikenali iaitu, Unidentified Flying Object (UFO). Berdasarkan maklumat yang diperoleh beberapa pengunjung, mereka mendakwa telah melihat satu cahaya aneh sedang terbang berlegar-legar  di sekitar puncak menara batu itu.

Sehingga hari ini, menara ini dianggap sebagai tempat suci bagi sesetengah suku etnik tempatan. Malah, satu papan tanda telah diletakkan di kawasan tersebut sebagai amaran kepada para pengunjung agar tidak melakukan perkara yang tidak baik.


Pada 24 September 1906, menara ini telah mendapat pengiktirafan sebagai United States National Monument oleh presiden Amerika Syarikat ke 26, Theodore Roosevelt. Hari ini, kawasan tersebut sangat terkenal di kalangan para pelancong yang gemarkan sukan pendakian bukit. Ini kerana, menara batu ini adalah antara kawasan pendakian yang paling sukar di dunia.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit