Jambatan Adam
Pada bulan
Oktober 2010, sebuah satelit angkasa berkuasa tinggi milik Pentadbiran
Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA), mendakwa telah merakam
sebuah objek yang tidak dikenali di lokasi sempadan antara India dan Sri Lanka.
Apa yang menariknya, objek tersebut kelihatan mirip seperti sebuah jambatan
yang menghubungkan kedua-dua negara itu.
Lantaran
penemuan yang menakjubkan itu, pihak NASA telah menamakan objek tersebut
sebagai ‘Adam Bridge’. Dianggarkan
berukuran sepanjang 30 Kilometer, objek tersebut mempunyai satu bentuk garisan
melengkung yang hampir sama seperti sebuah jambatan.
Ekoran itu,
penemuan objek yang didakwa oleh pihak NASA mula tersebar dan mendapat
perhatian daripada Jabatan Arkeologi Sri Langka. Melalui satu kenyataan yang
dikeluarkan jabatan tersebut, mereka mengesahkan bahawa objek berkenaan adalah
sebuah jambatan purba yang dikenali sebagai Jambatan Rama.
Berdasarkan
kajian yang pernah dilakukan sebelum ini mendapati, kewujudan jambatan tersebut
dibuktikan melalui penelitian sebuah kitab kuno yang dikenali Mahabhrata dan
Ramayana. Mengikut rekod kajian mereka, usia jambatan tersebut berkemungkinan
mencecah satu hingga dua juta tahun yang lalu. Uniknya lagi, dikatakan jambatan
berkenaan didakwa dibina oleh manusia yang hidup pada ketika itu.
Timbul
persoalan, sejauh manakah kebenaran dakwaan ini? Lebih mengelirukan lagi,
bagaimana manusia pada ketika itu boleh membina sebuah jambatan yang berukuran
sepanjang 30 Kilometer. Ia suatu yang agak mustahil!
Jika
dilihat pada situasi ini, kewujudan artifak tersebut tidak sesuai dengan
zamannya. Dalam erti kata lain, penemuan jambatan purba ini telah mendahului
zaman di mana perbandingan corak sosial dan teknologi penghasilannya
menyebabkan artifak itu dilihat datang daripada satu zaman yang tidak sepadan
dengan waktu ia dijumpai.
Bagaimanapun, penemuan artifak seperti ini banyak sekali dijumpai dan masih belum dapat dijelaskan sehingga hari ini. Mengikut teori yang dikemukakan oleh seorang ahli Cryptozoologist Amerika Syarikat, Ivan T. Sanderson, penemuan seumpama ini digelar sebagai Out of Place Artifact (OOPART).
Jelasnya, fenomena
OOPART merupakan kejadian yang tidak diketahui puncanya. Ia juga merupakan
istilah asing yang paling jarang digunakan dalam sesuatu penemuan. Merujuk
kepada objek sejarah, arkeologi atau paleontologi yang ditemui tidak sesuai
pada tempat dan zamannya. Justeru, ia
dilihat bertentangan dengan sejarah, waktu, dan teori kewujudan.
Selain ‘Adam
Bridge’, terdapat dua penemuan arkeologi yang terkenal dikategorikan sebagai
OOPART. Pertama, penemuan Tengkorak Kristal atau ‘Crystal Skull’ yang merupakan
barang tinggalan daripada bangsa Maya di daerah Yacatan, Mexico.
Seperti yang
diketahui umum, bangsa Maya merupakan salah satu bangsa yang telah mengeluarkan
satu ramalan mengenai kemusnahan bumi yang bakal berlaku pada tahun 2012.
Ramalan ini berlandaskan kepada kiraan kalendar matahari dalam tamadun ini.
Namun selepas penemuan Tengkorak Kristal, banyak ahli arkeologi merasakan,
terlalu banyak rahsia dalam tamadun Maya yang mereka tidak ketahui.
Jika
dilihat daripada aspek ketelitian dan reka bentuk tengkorak ini, ramai pengkaji
mengandaikan, adalah sesuatu yang mustahil bangsa ini mampu menghasilkan
artifak yang begitu sempurna seperti ini? Lebih-lebih lagi ia dihasilkan
daripada batu permata Amesthyst. Soalnya, sejauh manakah bangsa Maya pada waktu
itu mampu membentuk batu keras ini menjadi artifak yang sama seperti tengkorak
manusia, sedangkan manusia di zaman teknologi pun susah untuk mengukir batu
permata ini?
Selain
artifak purba Maya, satu lagi penemuan yang dianggap OOPART. Penemuan yang
dimaksudkan adalah tulisan Hiroglif yang menggambarkan peradaban kuno Mesir
Sebelum Masihi (SM). Anehnya, di dalam tulisan ini terkandung pelbagai jenis
kenderaan udara pada zaman kini seperti helikopter, kapal terbang dan lain-lain
figura yang berkemungkinan wujud pada masa hadapan.
Namun,
kemunculan tulisan ini menjadi tanda tanya kerana pesawat yang pertama kali
dicipta di bumi adalah berlaku pada abad ke-16. Pesawat ini dicipta oleh dua
orang adik beradik, Orville dan Wilbur Wright.
Bagaimanapun,
istilah OOPART yang dikemukakan oleh Sanderson disangkal oleh sesetengah ahli
sejarah yang skeptikal. Mereka berpendapat teknologi untuk menghasilkan artifak
itu telah pun wujud sezaman dengan perkembangan sesuatu tamadun. Jadi, dakwaan
yang mengatakan teknologi pembuatan artifak yang mendahului zaman sebenarnya
tidak wujud.
Golongan
ini berpendapat adalah tipu helah semata-mata dan ia tidak ada kena mengena
dengan teknologi yang mendahului zaman. Walaupun begitu, istilah ini dilihat
berlaku masih diaplikasikan untuk mencari bukti dan teori terhadap teknologi
mendahului zaman pada peradaban silam.
Comments
Post a Comment