Latah: Sindrom Masyarakat Melayukah?

Di Filipina, latah boleh
menyebabkan seseorang itu mendapat sakit seperti demam, sakit perut dan juga
penyakit kulit. Masyarakat di sana percaya, melatah merupakan satu sindrom yang
boleh memudaratkan. Jadi ia dikenali sebagai lanti. Seseorang yang terkena
lanti akan menunjukkan reaksi terkejut spontan secara tiba-tiba sebelum
melatah.

Ada beberapa pengkaji mengaitkan
sindrom ini dengan tabiat makanan orang-orang Eskimo. Mereka percaya makanan yang
mengandungi vitamin A bertoksik yang dimakan oleh orang-orang Eskimo boleh
menyebabkan mereka menjadi latah. Bagaimanapun, belum ada ujian klinikal yang
dibuat yang menunjukkan keadaan ini berpunca daripada makanan tersebut.

Soalnya apakah benar latah muncul
akibat sindrom bawaan budaya masyarakat dan berkembang dalam masyarakat Melayu?
Menurut Pengkaji Sosiolinguistik
Bahasa Melayu dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Teo Kok Seong, sindrom ini boleh juga
berlaku di kalangan masyarakat bukan Melayu. Cuma bilangannya tidak begitu
ketara berbanding orang-orang Melayu. Misalnya, dalam komuniti Baba Nyonya
serta Chetti. Latah dalam kedua-dua kelompok masyarakat ini begitu popular
sekali. Mungkin faktor sejarah dan percampuran dan penyerapan budaya
menyebabkan mereka sebati dengan perkara itu.
Profesor Dr. Teo Kok Seong |
Ironinya, ramai menyangka sindrom
latah sering berlaku di kalangan wanita Melayu berumur 50 tahun ke atas. Tetapi
hakikatnya, latah juga boleh berlaku terhadap golongan muda tanpa mengira
jantina dan peringkat usia.
Disebabkan itu juga, ada yang
berpendapat sesebuah majlis perkahwinan bagaikan kurang serinya tanpa kehadiran
si latah itu. Jika menghadiri sebarang majlis, pastinya golongan itu akan
menjadi tumpuan dan bahan usikan kerana dapat memeriahkan suasana.
Kata Dr. Teo lagi, latah ini boleh
diklasifikasikan kepada tiga jenis iaitu latah daripada segi bahasa, latah
daripada segi tingkah laku dan latah daripada kedua-duanya sekali. Latah
daripada segi bahasa biasanya berlaku melalui percakapan spontan atau menyebut
sesuatu perkataan itu secara tanpa sedar. Manakala latah perbuatan pula berlaku
apabila pelatah beraksi melakukan sesuatu perbuatan spontan mengikut arahan orang
yang mengagahnya dan latah peringkat ketiga pula berlaku secara kedua-duanya
sekali.
Dr. Teo menegaskan, orang ramai tidak
mengganggu golongan yang melatah kerana berkemungkinan mereka berpotensi
mendapat sindrom ini. Sebenarnya latah boleh berpindah daripada seseorang
pelatah kepada orang baru. Ini akan berlaku apabila individu baru itu mula
terikut-ikut tingkah laku pelatah. Caranya bermula melalui acahan dan lama
kelamaan orang yang mengacah itu juga akan mendapat latah.
Walaupun kenyataan itu tidak dapat
dibuktikan secara saintifik namun tabiat itu boleh berlaku tanpa alasan dan
sebab yang munasabah. Sehingga hari ini, tidak ada pengkaji yang pernah
menjumpai sebab musabab kenapa latah boleh berpindah-pindah dan apa kaitannya
dengan orang-orang di Nusantara. Tapi apa yang pasti ia merupakan sebahagian
unsur yang wujud dalam budaya kita.
Comments
Post a Comment