Air yang menyembuhkan penyakit
Dalam Islam, air menjadi satu
elemen yang digunakan untuk mengubati penyakit. Bukan sekadar penyakit rohaniah
(jiwa raga), tetapi air juga digunakan untuk menjadi penawar kepada penyakit
jasmaniah (tubuh badan).
Di kalangan masyarakat Melayu
khususnya, penggunaan air jampi menjadi satu alternatif terapi merawat penyakit
di samping mendapatkan rawatan doktor. Air putih akan dibacakan ayat-ayat suci
Al-Quran oleh seseorang yang berilmu atau alim, serta diniatkan untuk merawat
penyakit tertentu. Kaedah rawatannya ialah sama ada minum, menyapu muka, renjis
di tempat yang sakit atau dimandikan dengan air jampi tersebut.
Bagi memastikan proses
pengubatan berjalan dengan lancar dan sempurna, ada sesetengah pihak
menyarankan supaya menggunakan air yang diambil dari kolah masjid untuk
dijampi. Dengan kata lain, ia adalah air lebihan wuduk dan dianggap mempunyai
lebih keberkatan.
Di masjid Kampung Hulu,
Melaka, masyarakat setempat mempunyai kepercayaan bahawa air kolah masjid ini
mujarab untuk dijadikan sebagai penawar penyakit. Fenomena ini dapat dilihat
dengan jelas apabila setiap hari, berbondong-bondong orang mengunjungi masjid
tersebut semata-mata untuk mengambil air kolahnya untuk dibuat penawar. Bukan
sekadar anak tempatan Melaka, malah air kolah ini turut menjadi tumpuan
orang-orang di seluruh pelosok semenanjung Malaysia serta Singapura.
Kolah masjid
Kampung Hulu, Melaka
|
Kebanyakan yang datang
membawa beberapa botol kosong untuk diisi dengan air kolah tersebut. Malah,
anak-anak kecil sering kali dilihat dimandikan terus oleh ibu bapa
masing-masing di tepian kolah yang berukuran 15 meter persegi itu.
Keistimewaan air masjid yang
dibina pada tahun 1720 ini juga dilihat telah menembusi sempadan antara agama
apabila orang bukan Islam juga turut mengambil air ini untuk merawat penyakit.
Menurut Imam masjid tersebut,
Ustaz Ahyead Elias, rawatan menggunakan air bukanlah sesuatu yang khurafat,
sebaliknya ia adalah syariat yang telah diperturunkan oleh junjungan besar Nabi
Muhammad s.a.w.
Semasa hayat baginda,
Rasulullah sering menggunakan air lebihan wuduk untuk merawat penyakit seperti
sihir dan demam, sama ada kepada diri baginda sendiri ataupun
sahabat-sahabatnya. Kaedah itulah yang menjadi ikutan oleh masyarakat Islam
sehingga kini.
Ustaz Ahyead Elias |
Jelas Ustaz Ahyead, dua per
tiga daripada tubuh manusia terdiri daripada air. Malah, asal kehidupan manusia
juga bermula dengan air. Perkara tersebut telah diterangkan oleh Allah dalam surah Al-Anbiya’, ayat
30. Disebabkan itulah unsur air juga diperlukan sebagai ubat yang mujarab untuk
menyembuhkan penyakit yang melanda manusia.
Menurutnya lagi, air di masjid ini bukan saja diambil
oleh golongan kebanyakan, tetapi juga oleh orang-orang profesional. Malah, ada
ketikanya doktor sendiri juga mencari penawar dengan cara sebegini. Ini kerana,
kata beliau, bukan semua penyakit boleh dirawat dengan menggunakan ubat,
sebaliknya pada masa-masa tertentu kaedah seperti ini juga diperlukan untuk
merawat sesuatu penyakit.
Persoalannya, apa pula pandangan sains mengenai
perkara ini?
Mohd Haniff Osman |
Menurut pensyarah dari Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Haniff Osman, kaedah rawatan menggunakan
air sebenarnya telah lama dipraktikkan oleh manusia. Bukan saja di kalangan
umat Islam, malah kaedah yang sama juga turut digunakan oleh dukun atau tabib
di kalangan bukan Islam.
Jelasnya, kajian sains moden terhadap air yang dijampi
sedikit sebanyak telah menunjukkan bahawa air juga boleh dijadikan sebagai
penawar untuk melegakan sesuatu penyakit.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Dr.
Masaru Emoto, seorang saintis Jepun yang telah menulis jurnal
bertajuk ‘The True Power of Water’, beliau menyatakan bahawa air boleh
‘mendengar’ kata-kata, ‘membaca’ tulisan serta ‘merekod’ ucapan seperti pita
magnetik atau cakera padat.
Dr. Masaru Emoto |
Dalam kajian itu Dr. Emoto mendedahkan, apabila air
didedahkan kepada bunyi-bunyian yang baik seperti bacaan doa, molekul air akan
berubah bentuk menjadi cantik dan berseri. Molekul tersebut akan membentuk
kristal bersegi enam dengan lima cabang dedaun yang berkilauan.
Bagaimanapun, jika air didedahkan kepada struktur
bunyi yang bingit seperti muzik heavy metal, molekul air didapati tidak
tersusun dan pecah. Molekul air tersebut seperti tidak mempunyai rantaian,
malah bentuk molekulnya menjadi lebih teruk daripada sebelumnya.
Dalam jurnal itu juga Dr. Emoto ada menyatakan bahawa,
semakin kuat bunyi yang didedahkan, semakin jelas kondisi molekul air yang
terbentuk.
Justeru, jelas Haniff, berdasarkan kajian tersebut,
secara logiknya air yang mempunyai struktur molekul yang cantik sudah pasti
akan memberi kesan kebaikan kepada si peminumnya. Begitulah juga sebaliknya.
Walaupun perkara ini tidak dapat dijelaskan secara
nyata, tetapi berdasarkan testimonial beberapa pesakit yang mendapatkan khidmat
rawatan seperti ini, ternyata kaedah sebegini juga mampu untuk menyembuhkan
penyakit tertentu.
Comments
Post a Comment