‘Menjana elektrik’ bila diancam


Dalam dunia haiwan, sistem pertahanan diri amat penting dan merupakan satu tindak balas semula jadi untuk meneruskan kelangsungan hidup. Bagaimanapun, reaksi yang ditunjukkan ini berbeza mengikut spesies masing-masing.

Bagi sejenis spesies haiwan yang dikenali sebagai ‘Belut elektrik’ atau nama saintifiknya Electrophorus electricus dikatakan mempunyai sistem pertahanan unik berbanding spesies-spesies haiwan lain. Difahamkan, spesies belut air tawar ini mampu menjana arus elektrik melalui badannya apabila terancam.

Menurut Timbalan Pengarah Zoo Negara Malaysia, Dr. Muhammad Danial Felix, Electrophorus electricus merupakan sejenis spesies belut yang paling berbahaya di dunia. Meskipun ia bukan terdiri dalam kategori haiwan pemangsa, dikatakan haiwan ini boleh menyebabkan sesiapa sahaja tercedera atau terbunuh akibat renjatan elektrik yang dihasilkan melalui badannya. 

Berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum ini, arus elektrik yang dihasilkan oleh belut ini cukup tinggi dan boleh mencapai ukuran 500 voltan. Cuba anda bayangkan sekiranya arus elektrik itu terkena pada badan manusia.

Persoalannya, bagaimanakah sumber elektrik itu dihasilkan? Jika dilihat secara logik akal manusia, arus elektrik sebesar itu memerlukan sumber tiga buah generator. Tapi yang peliknya, hanya seekor belut saja, arus elektrik sebanyak 500 voltan berjaya dihasilkan.

Berdasarkan fisiologi belut ini, kata Dr. Muhammad Danial Felix, arus elektrik tersebut dihasilkan melalui dua organ yang dikenali sebagai Hunters organ dan Sachs organ. Kedua-duanya berfungsi secara automatik apabila berlakunya tindak balas kimia di dalam badan haiwan ini.

Mengikut penyelidikan yang pernah dilakukan ke atas haiwan ini, kedua-dua organ tersebut boleh menghasilkan kira-kira 5,000 hingga 6,000 elektro plak iaitu sejenis bahan yang terdapat dalam sel bateri kering. Lebih menarik lagi, arus elektrik yang dihasilkan kekal sampai bila-bila kecuali jika haiwan ini sudah mati.

Kalau dilihat pada ekosistem haiwan ini, belut elektrik tergolong dalam sub keluarga Gymnotidae. Selain itu, ia merupakan sejenis spesies yang sukar ditemui. Difahamkan, haiwan ini hanya boleh dijumpai di Amerika Selatan iaitu di dua buah sungai yang dikenali Sungai Amazon dan Sungai Orinocco.

Secara fizikalnya, spesies ini mampu membesar sepanjang dua meter dengan beratnya mampu mencecah 20 kilogram. Pada bahagian badannya terdapat tiga warna utama iaitu kelabu pada bahagian atas badan, keperang-perangan di bahagian abdomen dan oren pada bahagian sisi badan haiwan ini.

Jelas Dr. Muhammad Danial Felix lagi, haiwan ini sangat aktif pada waktu malam dan mempunyai deria pendengaran yang sangat tajam. Selain itu, ia juga merupakan sejenis haiwan yang mampu bertahan dalam apa jua keadaan ekstrem. Sebagai contoh, belut ini dikatakan mampu bertahan di dalam air yang mempunyai kandungan oksigen yang rendah. 

Sementara itu, sumber makanan utama belut ini biasanya terdiri daripada hidupan air yang lebih kecil daripadanya seperti serangga, ikan kecil, udang, ketam dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kadang-kadang  haiwan ini turut cenderung memakan sesama sendiri terutamanya anak-anak belut yang baru menetas. 

Bagi proses pembiakan pula, belut jantan akan membuat sarang terlebih dahulu untuk pasangannya bertelur. Kebiasaannya, belut betina akan mengeluarkan sehingga 3,000 biji telur pada satu-satu masa.


Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit