Dibayar untuk melihat api
Jika bercakap perihal api dan kerjaya, semua
orang pasti sependapat menyatakan ia tugas seorang anggota bomba. Sebenarnya,
anggapan tersebut sama sekali salah kerana wujud satu kerjaya lain yang
berkaitan dengan api. Cuma apa yang membezakannya dengan tugas bomba ialah,
kerjaya ini hanya dibayar untuk melihat api.
Mungkin bunyinya seperti sesuatu yang kelakar dan janggal, tapi ia memang pekerjaan yang benar-benar wujud dan ditawarkan kepada sesiapa yang layak. Jadi, bagi sesiapa yang pernah beberapa kali cuba memohon untuk menjadi seorang anggota bomba tetapi masih gagal, anda mungkin boleh mencuba kerjaya ini pula.
Setakat ini, jawatan tersebut yang dikenali
Fire Lookout atau peninjau kebakaran ini
hanya ditawarkan di 16 buah negara sahaja. Antara negara yang menawarkan
pekerjaan ini ialah Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Uruguay, Brazil,
Australia, New Zealand, Indonesia, Perancis, Itali, Portugal, Sepanyol, Jerman,
Latvia, Israel dan Afrika Selatan. Ia diwujudkan atas dasar keselamatan
terutamanya meninjau kebakaran hutan.
Untuk pemahaman lebih mudah, seseorang yang
berkerjaya sebagai peninjau kebakaran akan menjadi orang pertama yang dipertanggungjawabkan
sekiranya berlaku kes kebakaran hutan. Justeru, dalam tempoh 24 jam sehari
penjawat jawatan ini mesti melaksanakan rutin hariannya meninjau keseluruhan
kawasan hutan yang diselia.
Sekiranya didapati wujud tanda-tanda kebakaran
hutan, peninjau kebakaran ini mestilah bertindak pantas dan segera melaporkan
kepada pasukan bomba atau penyelamat untuk tindakan selanjutnya.
Tidak ada syarat wajib yang perlu dipatuhi
oleh calon-calon yang berhasrat untuk mengisi jawatan tersebut dan ia terbuka
kepada sesiapa sahaja sama ada lelaki ataupun wanita. Apa yang penting,
calon-calon mestilah seorang yang peka dan cekap terutamanya dalam mengesan
tanda-tanda awal kebakaran hutan agar dapat dikawal dengan segera.
Pasti ramai yang tidak menyangka bahawa kerja
semudah ini sebenarnya dibayar dengan upah yang sangat lumayan. Berdasarkan
sebuah laman sesawang pencarian kerja Indeed.com.my, gaji yang ditawarkan bagi
kerjaya ini dikatakan mampu mencecah sehingga lima angka. Cuba anda bayangkan
betapa untungnya jika dipilih menjadi sebagai salah seorang peninjau kebakaran.
Sekalipun kerjaya ini nampak remeh dan aneh,
tapi harus diingat bahawa ia memainkan peranan penting terutamanya dalam soal mengawal
isu kebakaran hutan di dunia. Seperti yang kita ketahui, kes kebakaran hutan
merupakan satu isu global yang hangat diperdebatkan hari ini.
Merujuk fakta kes yang berlaku pada tahun
2009, masyarakat dunia pernah dikejutkan dengan satu peristiwa kebakaran hutan
yang terburuk dalam sejarah dunia. Tragedi kebakaran hutan yang dikenali
sebagai Black Saturday itu, telah menyebabkan pekan Marysville, di Australia
dijilat api dan memusnahkan kira-kira 2,000 buah kediaman. Dianggarkan, kejadian sama juga turut
mengorbankan 173 orang penduduk di situ.
Pada bulan Mei baru-baru ini, kejadian kebakaran
hutan turut dilaporkan berlaku di sebuah kawasan hutan yang terletak di New
Mexico, Amerika Syarikat. Difahamkan, kebakaran hutan tersebut telah
memusnahkan kawasan seluas 520 kilometer persegi. Dalam kejadian tersebut,
seramai 580 orang anggota bomba termasuk sukarelawan bertungkus-lumus
memadamkan kebakaran hutan berkenaan.
Bagi menjalankan tugas sebagai peninjau
kebakaran, seseorang individu itu akan ditempatkan di sebuah menara khas yang
dibina dalam hutan. Kebiasaannya, tugas ini dilakukan mengikut sistem giliran
di mana seseorang peninjau kebakaran akan berada di menara tersebut mengikut
tempoh masa yang ditetapkan.
Di menara tersebut, selalunya akan dilengkapi
dengan dua peralatan khas untuk kegunaan peninjau kebakaran. Pertama, sejenis
alat pengesan kebakaran yang dipanggil sebagai Osborne Fire finder. Secara
teknikalnya, alat ini berfungsi secara automatik mengesan koordinat sesebuah
lokasi yang dikenal pasti berlakunya kebakaran. Dengan adanya alat ini, ia
sekali gus dapat mengawal sesuatu kes kebakaran dengan lebih cepat.
Selain pengesan kebakaran, menara berkenaan
turut dilengkapi dengan alat bantuan perhubungan komunikasi. Oleh sebab jarak
di antara menara peninjau dengan pusat kawalan agak jauh, penggunaan alat ini
penting bagi memastikan kes kebakaran dilaporkan secepat yang mungkin. Pada
masa yang sama, menara peninjau ini juga mempunyai sebuah bilik tidur, bilik
air dan dapur mini untuk kegunaan petugas di situ.
Comments
Post a Comment