Aiskrim Makanan Orang Asia?
AISKRIM sangat digemari oleh pelbagai peringkat umur. Di sebalik keenakan
pencuci mulut itu mungkin ada di antara kita yang tidak tahu sejak bila ia
muncul dan disukai ramai. Tertanya-tanya juga siapa sebenarnya orang yang
mula-mula menikmati keenakan makanan sejuk itu.
Jawapan kepada persoalan ini akan membawa kita menyusuri sejarah aiskrim
jauh ke masa lampau, iaitu kira-kira 3,000 tahun Sebelum Masihi (SM). Ketika
itu, dipercayai orang-orang Cina telah mempunyai beberapa jenis produk daripada
ais yang dikenali sebagai sirap. Walaupun ia tidak seperti aiskrim pada zaman
moden, ada pendapat mengatakan makanan sejuk itu awalnya adalah daripada bahan
sirap yang kemudian dibekukan.
Pada abad ke-13, Marco Polo kembali ke Eropah selepas lebih 17 tahun berada
di China. Kepulangannya bukan dengan tangan kosong tetapi membawa bersama
teknik bagaimana orang Cina menghasilkan aiskrim. Bermula daripada detik itulah
dikatakan bermulanya penyebaran makanan aiskrim ke seluruh pelosok dunia
sehingga ia disukai ramai.
Namun demikian, pada awal kewujudan aiskrim di Eropah, bukan semua golongan
boleh memakannya. Ketika itu, aiskrim hanya mampu diperoleh oleh golongan kaya
Eropah saja. Ia telah dihidangkan sebagai pencuci mulut paling mewah di
kalangan orang-orang kaya dan golongan bangsawan.
Maharaja Rom yang bernama Nemo sekitar abad ke-14 Selepas Masihi (SM) juga
menjadi penggemar nombor satu aiskrim. Kerana terlalu menggemari makanan ini,
dia mengarahkan para hambanya mendapatkan salji di gunung-gunung bagi memenuhi
seleranya untuk memakan aiskrim. Salji berkenaan kemudiannya dicampurkan madu
dan beberapa jenis buah-buahan sebelum dihidangkan.
Sewaktu era Perang Dunia Kedua, juruterbang tentera Amerika mempunyai cara kreaatif
tersendiri untuk mendapatkan aiskrim. Mereka menggunakan meriam yang terdapat
pada kapal terbang sebagai alat untuk menyejukkan adunan aiskrim di awan biru.
Bunyinya mungkin pelik. Tapi mereka mendapati bahawa meriam ternyata mempunyai
suhu dan tingkat getaran yang sangat sesuai untuk menghasilkan makanan lazat
itu. Justeru, setiap kali mereka berangkat menyerang pihak musuh, mereka akan
meletakkan satu bekas besar berisi adunan aiskrim ke dalam meriam.
Selepas melalui sejarah yang panjang, lama-kelamaan resipi aiskrim dan
bentuknya dipelbagaikan. Itu pun selepas lebih daripada 70 kali penambahbaikan
aiskrim dipatenkan. Menjelang tahun 1900, barulah hampir semua orang mampu
menikmati keenakan aiskrim. Lebih-lebih lagi setelah alat membuat aiskrim
tradisional dicipta oleh Nancy Johnson dari Philadelphia pada tahun 1843.
Johnson merupakan orang pertama mencipta sejenis alat daripada kayu untuk menghasilkan
aiskrim. Alat itu semacam timba atau ember. Di dalam timba berkenaan terdapat
bekas logam yang boleh diputar menggunakan pedal. Ruang di antara bekas logam
dan ember kayu itu diisi dengan ais bersama campuran garam. Alat membuat
aiskrim moden pada hari ini juga masih menggunakan prinsip yang sama.
Tapi bagaimana aiskrim dihasilkan sehingga teksturnya begitu lembut dan
rasanya sangat sedap? Kunci kepada persoalan ini adalah tindak balas kimia. Penggunaan
garam yang dicampurkan dalam ais telah mengawal suhu campuran bahan-bahan dalam
aiskrim.
Walaupun pada dasarnya kita melihat aiskrim tampak mampat, tapi apabila
diperhatikan di bawah mikroskop akan kelihatan empat susunan komponen di dalamnya.
Pertama, padatan globul lemak susu, udara yang ukurannya 0.1 milimeter,
kristal-kristal kecil ais dan air yang melarutkan gula, garam serta protein
susu.
Jika campuran berkenaan dibiarkan di tempat dingin, aiskrim tidak akan
terhasil dengan baik. Apa yang terbentuk cuma gumpalan padat berisi
kristal-kristal ais yang tidak enak dimakan.
Justeru, untuk mendapatkan aiskrim yang sedap, adunan aiskrim harus
digoncang semasa proses pendinginan berlangsung. Kocakan selama proses pendinginan
merupakan kunci dalam pembuatan aiskrim yang baik. Tujuannya adalah untuk
mengecilkan ukuran kristal ais yang terbentuk. Ini kerana semakin kecil ukuran
kristal ais, semakin lembut aiskrim yang dihasilkan.
Pun begitu, sesedap dan selembut mana pun aiskrim yang dihasilkan, jika ia
tidak disimpan dengan baik, sebahagian aiskrim akan mencair lalu membentuk
kristal ais yang lebih besar apabila dimasukkan kembali ke peti sejuk.
Akibatnya tekstur aiskrim menjadi semakin kasar
dan tidak enak dimakan.
FAKTA RINGKAS:
1.
Pada 23 Julai 1904, Charles E. Minches mencipta kon
aiskrim.
2.
Sekitar 1880-an, Yakub Fussell membuka kilang aiskrim
pertama di Amerika. Rakan kongsi Fussell, James Horton kemudiannya membuka lagi
sebuah kilang di New York.
3.
Dari sudut kesihatan, aiskrim tidak akan menyebabkan
batuk. Batuk terjadi selepas disebabkan oleh perubahan suhu selepas memakan
aiskrim.
4.
Selesema selepas memakan aiskrim juga bukan disebabkan
makanan manis tersebut. Sebenarnya ia disebabkan infeksi bakteria atau virus.
5.
Mitos mengatakan aiskrim tidak boleh dimakan ketika hari
hujan atau sejuk. Sebenarnya perkara itu tidak benar. Memakan aiskrim sewaktu
cuaca sejuk hanya melambatkan proses pencairan aiskrim. Jadi anda boleh
menikmatinya dengan perlahan-lahan dan tidak perlu terburu ketika cuaca panas.
Comments
Post a Comment