Lembu kentut kena bayar

TIADA yang percuma di dunia ini. Malah, kentut pun kena bayar. Itulah yang terjadi ke atas lembu-lembu di New Zealand. Sekali melepaskan angin, setiap kali itu jugalah ‘mereka’ akan dikenakan denda.  Mahu atau tidak, para penternak ladang perlu membayar ganti rugi kepada negara dalam bentuk cukai setiap kali ternakan mereka membuang angin.

Kenapalah kentut pun perlu dibayar?

Inilah yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan para penternak. Justeru, mereka cuba mengkritik cukai yang dikenakan ke atas lembu-lembu ternakan.

Pada mereka, apalah salahnya sekadar melepaskan kentut. Bukankah itu salah satu perkara yang sudah menjadi lumrah hidup. Adalah tidak adil haiwan ternakan itu dihukum sebegitu hanya kerana mengeluarkan angin.

Sekeras mana pun bantahan yang disuarakan, kerajaan Wellington telah pun menguatkuasakan undang-undang pelik itu. Peraturan ini merupakan sebahagian daripada agenda kerajaan bagi memenuhi komitmen di bawah Protokol Kyoto. Menerusi perundingan itu, negara New Zealand telah bersetuju untuk mengurangkan pemanasan global.

Salah satunya ialah meminimumkan pengeluaran gas metana. Metana (CH4) dibebaskan semasa penghasilan arang batu, gas asli, minyak dan daripada kentut haiwan ternakan. Kajian menunjukkan, kambing, lembu dan rusa menghasilkan sejumlah besar gas metana melalui kentut dan sendawa.

Gas merbahaya ini banyak dilepaskan di negara-negara yang mengusahakan sektor pertanian dan perladangan. Di New Zealand misalnya, haiwan ternakan menghasilkan pembebasan gas metana lebih 90 peratus. Haiwan itu juga dikatakan telah menyumbang sehingga 25 peratus daripada pelepasan gas metana di Estonia.

Dianggarkan, seekor lembu akan mengeluarkan purata 350 liter metana dan 1,500 liter karbon dioksida sehari melalui kentut dan sendawa. Itu baru seekor lembu. Tapi, cuba bayangkan jika haiwan ternakan itu mencecah jutaan ekor. Berapa banyak agaknya gas metana dibebaskan dalam sehari? Hal inilah sebenarnya yang merunsingkan para saintis kerana penghasilan gas tersebut telah mencetuskan masalah persekitaran.

Lantaran kebimbangan itu, kerajaan bertindak memperkenalkan ‘cukai kentut’ kepada para penternak. Berapa banyak bayaran cukai yang dikenakan adalah bergantung pada kadar gas yang dibebaskan oleh haiwan ternakan.

Itu kisah kentut yang agak mengejutkan di kalangan haiwan ternakan. Di kalangan manusia pula, kentut mampu mencegah kanser. Seorang doktor dari Perancis, Frederic Saldmann menyarankan kepada semua masyarakat dunia, terutama warga Perancis supaya memberanikan diri untuk membuang gas. Baik dari mulut mahupun dari ‘bawah’ kerana dengan cara mudah ini dipercayai dapat mengurangi risiko untuk mendapat kanser.

Dr. Saldmann berkata, seseorang itu harus memberikan ruang kepada diri sendiri untuk bersantai menjalani kehidupan sebagai kaedah menjaga kesihatan diri. Cara bersantai yang dimaksudkan oleh beliau adalah berani untuk melepaskan kentut, bersendawa  dan berpeluh.

Warga Perancis misalnya, ramai yang malu dan tidak berani untuk melakukan hal tersebut. Ini kerana, banyak larangan sosial yang diamalkan di Perancis telah diadaptasi dari budaya Inggeris. Contohnya seperti tidak membenarkan seseorang itu untuk sendawa, kentut atau mengeluarkan peluh dengan sembarangan.

Beliau dalam buku tulisannya berjudul Le Grand Menage menjelaskan, gas yang terdapat dalam tubuh manusia lazimnya akan keluar melalui dua cara. Pertama melalui atas iaitu mulut yang diistilahkan sebagai sendawa dan kedua, dari bawah atau dengan kata lain kentut.

Dr. Saldmann menganjurkan agar semua orang boleh mengeluarkan kedua-duanya secara spontan, bila-bila masa saja yang diinginkan, tanpa menahan dan melakukannya dengan cara sembunyi-sembunyi.

Ini kerana, membuang produksi gas di dalam tubuh sebanyak dua liter dalam sehari merupakan satu perkara yang natural dan baik untuk kesihatan. Tetapi dengan menahan pembuangan gas tersebut sebetulnya lebih berbahaya, terutama bagi kelangsungan usus besar.

Malah, menahan udara di dalam perut secara klinikal telah dikenal pasti akan meningkatkan penyakit jantung. Sekali gus menyebabkan risiko kanser di pembuluh makanan.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit