Bunyi Loceng Maut
Sekitar abad ke 18, penduduk di wilayah Betawi, Indonesia sentiasa diselubungi perasaan takut setiap kali loceng Soli Deo Gloria di menara Stadhuis berbunyi. Bunyi itu bukan saja membawa tanda kematian tetapi mencipta satu ketakutan penghuni pusat perdagangan dan kubu ketenteraan Kompeni Hindia Timur Belanda (KHTB).
Loceng Soli Deo Gloria ini akan dibunyikan untuk memanggil semua penduduk tidak kira di dalam atau di luar tembok wilayah kubu berkenaan supaya mereka semua berkumpul dan menyaksikan hukuman gantung yang akan dilaksanakan. Oleh sebab itulah, loceng ini digelar loceng ke pintu kematian.
Ekoran daripada hukuman yang dilaksanakan secara terbuka dan disaksikan oleh orang awam, timbullah bermacam-macam cerita aneh yang dialami oleh penduduk berdekatan menara Stadhuis. Kebanyakan mereka terdengar bermacam suara jeritan hampir setiap malam.
Loceng pada abad ke 18 itu dikatakan telah diperbuat daripada besi yang mempunyai ketumpatan yang padat dan kukuh. Namanya pula diambil sempena tulisan Soli Deo Gloria yang terdapat pada badan loceng tersebut.
Mengikut sejarah, pada tahun 1973, Gabenor Ali Sadikin telah mengarahkan menara tersebut dibaik pulih. Kerja-kerja baik pulih dilakukan hampir keseluruhan bangunan itu namun tiada rekod yang menerangkan, apakah ia diperbaiki keseluruhannya ataupun tidak.
Menurut ahli arkeologi dan juga Ketua Unit Pelaksana Teknikal (UPT) di Kota Lama, Jakarta, Chandrian Attahiyyat, kemungkinan besar sewaktu kerja-kerja pemulihan menara dilakukan, loceng asal telah digantikan. Namun loceng yang digantikan itu bukanlah loceng sebenar yang wujud sejak abad ke-18 lalu. Kemungkinan loceng sebenar Soli Deo Gloria hilang sebelum kerja-kerja baik pulih dilakukan pada tahun 1973.
Jelas Attahiyyat lagi, dia pernah memanjat menara Stadhius untuk mencari maklumat peninggalan sejarah dalam satu ekspedisi. Sewaktu berada di menara itu, dia telah jumpa satu alat yang digunakan untuk mengalihkan loceng itu. Alat tersebut sangat kuno dan berkemungkinan ia wujud sejak zaman Belanda lagi.
Dalam satu catatan lain, ada kemungkinan loceng itu dibina selepas peristiwa pembunuhan beramai-ramai orang Cina pada tahun 1740. Kali terakhir catatan kematian daripada loceng ini adalah milik Tjoen Boen Tjeng yang telah dihukum gantung kerana terlibat dalam rancangan menentang kerajaan Belanda.
Kini, menara Stadhuis telah menjadi sebuah muzium penting di Indonesia dengan nama Muzium Sejarah Jakarta. Bagaimanapun bahagian utama menara ini tidak dibuka kepada umum kerana keadaan strukturnya yang boleh membahayakan nyawa.
Comments
Post a Comment