Pulau berpenghuni kucing
JIKA anda suka kucing, di Jepun terdapat sebuah pulau diberi nama ‘Pulau Kucing’ atau secara rasmi dikenali sebagai Pulau Tashirojima. Apa yang menarik tentang pulau ini ialah kebanyakan penghuninya adalah kucing, berbanding manusia seperti kelaziman.
Berdasarkan statistik, populasi kucing-kucing di sana telah berkembang biak dengan cepat pada setiap tahun. Pertambahan jumlah mamalia kecil dari spesies felis silvestris catus ini didorong atas rasa kepercayaan penduduk tempatan bahawa memberi makan kucing akan mendatangkan kekayaan dan membawa keuntungan berlipat ganda.
Kini, jumlah haiwan jinak itu dianggarkan jauh melebihi populasi manusia. Merujuk data perincian, penduduk di pulau yang terletak di bandar Ishinomaki, wilayah Miyagi, Jepun itu hanya sekitar 100 orang. Kebanyakan daripada mereka berusia lebih daripada 70 tahun, 50 peratus daripada populasi manusia di sana berumur lebih daripada 65 tahun dan direkodkan hanya seorang berusia 37 tahun.
Senario tidak memiliki cukup penghuni manusia ini begitu dibambangi – suatu hari nanti siapa yang akan meneruskan tradisi turun-temurun itu. Sekiranya keadaan itu tidak berubah, maka diramalkan tidak lama lagi binatang berkaki empat ini akan terus menjadi raja di pulau tersebut.
Oleh itu, bagi mereka yang geli atau takut pada haiwan comel ini, dinasihatkan anda menjauhi tempat berkenaan. Kerana setiap sisi pulau yang berkeluasan sekitar 13 kilometer persegi itu didiami oleh kucing-kucing liar. Tapi, sejak bila dan dari mana haiwan tersebut datang hingga memonopoli daratan yang dikelilingi air itu, masih menjadi tanda tanya.
Menurut sejarah, pada masa dulu, penduduk di Pulau Kucing giat menjalankan penternakan ulat sutra bagi menghasilkan sutra. Lantaran bimbang ternakan mereka dimakan tikus, maka kucing dipelihara untuk membasmi kehadiran haiwan pemusnah itu. Namun, untuk terus hidup, si comel ini tidak hanya memakan tikus, tetapi akan pergi ke rumah penginapan para nelayan untuk mendapatkan sisa makanan.
Bermula dari situ, penduduk pulau yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan mula menyukai kucing-kucing tersebut. Apatah lagi, mereka mula percaya bahawa binatang yang menjadi peliharaan ramai itu memiliki kelebihan dalam meramal pola cuaca dan hasil tangkapan ikan berdasarkan pergerakan dan tindak tanduk haiwan berkenaan. Sejak itu, hubungan nelayan dengan kucing menjadi akrab.
Oleh kerana perasaan sayang terhadap kucing begitu menebal, si comel yang telah mati akan diabadikan dengan membina kuburan khas untuk ‘mereka’.
Comments
Post a Comment