Penjinak Haiwan Liar

Lelaki yang berusia 34 tahun itu mempunyai kemahiran yang luar biasa apabila dia seolah-olah mampu berkomunikasi dengan haiwan yang berada di hadapannya. Richardson boleh mengenal pasti keperibadian haiwan liar sama ada sedang marah, suka, sedih atau jengkel – sama seperti seorang ibu memahami anaknya. Dia adalah satu-satunya manusia di dunia ini yang berkebolehan seperti itu selepas legenda Nabi Sulaiman atau King of Solomon yang mempunyai kemahiran memahami bahasa haiwan.

Richardson bukan sahaja mampu menjinakkan raja haiwan seperti singa, tetapi beliau juga berupaya membaca emosi haiwan liar lain seperti Cheetah, Dubuk, Jaguar dan Harimau Bintang. Pendek kata, Richardson boleh berkawan dengan kebanyakan spesies ‘kucing besar’ yang bersifat karnivor. Bagaimanapun, di antara spesies itu, dia lebih menganggap singa sebagai sahabat karibnya.

Hubungan uniknya dengan haiwan-haiwan itu sedikit sebanyak telah melenyapkan persepsi manusia terhadap keganasan haiwan pemangsa. Richardson telah membuktikan bahawa singa atau haiwan lain pada umumnya memiliki keperibadian, perasaan dan merupakan sejenis makhluk sosial. Dengan sifat saling menghormati, manusia dan haiwan boleh hidup berdampingan. Bagaimanapun, itu tidak bererti tiada sebarang risiko.

Menurut Richardson, singa dan haiwan buas lain akan menjadi jinak apabila rasa dilindungi. Sebaliknya ia akan menjadi ganas sekiranya merasakan keselamatan mereka terancam. Itulah teori yang digunakan oleh Richardson yang membolehkannya membina hubungan dengan haiwan liar.

Menurut Richardson, kebolehan yang ada padanya itu wujud secara semula jadi. Mungkin disebabkan dirinya terlalu obsesi dan banyak menghabiskan masa dengan haiwan sehingga membolehkannya memahami perilaku haiwan secara spontan.
Richardson telah menunjukkan minatnya yang ortodoks terhadap haiwan sejak berusia tiga tahun lagi. Ketika kecil, dia telah menjadikan ruang di bawah bahagian katilnya sebagai ‘ladang’ cengkerik dan membela seekor haiwan kesayangan iaitu seekor katak bernama ‘Paddajie’.

Kerana minatnya yang mendalam terhadap haiwan, Richardson telah menyambung pelajaran ke Universiti of Johannesburg dalam jurusan zoologi. Bagaimanapun, beliau tidak berjaya menghabiskan pengajiannya apabila gagal sebanyak dua kali dalam mata pelajaran biologi marin.
Kini, Richardson bekerja di Lion Park di Johannesburg, Afrika Selatan sebagai ahli zoologi. Kemampuan luar biasanya itu telah menarik minat seorang pengarah filem, Michael Rosenberg untuk menghasilkan dokumentari tentang hubungan di antara manusia dan haiwan.
Comments
Post a Comment