Lohong Hitam termuda ditemui

Satelit milik NASA, Chandra X-ray Observatory baru-baru ini telah berjaya merekod imej Lohong Hitam ataupun dikenali sebagai Black Hole yang paling muda di alam semesta, berusia 30 tahun. Penemuan ini menarik perhatian ahli-ahli astronomi di seluruh dunia kerana ia membuka ruang kepada pengkajian yang lebih mendalam tentang lohong hitam yang selama ini menimbulkan pelbagai tanda-tanya.

Tetapi apakah sebenarnya lohong hitam? Sehingga kini, para pengkaji astronomi hanya mampu membuat kajian mengenainya dari jarak jauh sahaja kerana kemampuan sains serta teknologi manusia di bumi masih belum mampu membawa mereka menghampiri lohong tersebut.

Dalam kajian astronomi, teori mengenai lohong hitam sebenarnya telah dikemukakan lebih dua ratus tahun lalu, iaitu pada tahun 1783 oleh  ahli geologi England, John Mitchell. Mitchell mengemukakan teori tersebut, iaitu tentang wujudnya sebuah lohong hitam di alam semesta ini setelah beliau meneliti dan mengkaji teori graviti Isaac Newton.

Mitchell percaya wujud planet-planet atau bintang lain yang memiliki graviti yang lebih besar daripada bumi. Beliau mengandaikan, jika terdapat objek yang dilemparkan secara menegak ke atas, maka ia akan terlepas daripada pengaruh graviti bumi dengan mencapai kelajuan 11 kilometer per saat.

Misteri mengenai lohong hitam ini kemudiannya terus dibahaskan oleh para pengkaji astronomi. Istilah tersebut telah diguna pertama kalinya oleh ahli fizik Amerika Syarikat, John Archibald Wheeler pada tahun 1968. Jelas Wheeler, lohong hitam tidak dapat dilihat kerana ia memerangkap cahaya ke dalamnya, dan cahaya yang terperangkap itu tidak dapat menembusi keluar, sehingga kawasan di sekelilingnya menjadi gelap.

Bagi memahami apa itu lohong hitam, kita perlu mengetahui tentang teori evolusi bintang. Menurut teori ini, lohong hitam terbentuk dari sejenis bintang biru yang mempunyai suhu permukaan lebih 25 ribu darjah Celcius. Ketika proses pembakaran hidrogen di bintang biru yang mengambil masa kira-kira 10 juta tahun ini, ia telah menjadi bintang biru raksasa.

Kemudiannya, bintang tersebut  lama-kelamaan kehilangan haba dan menjadi sangat dingin, lalu akhirnya menjadi bintang merah yang besar. Ketika fasa kejadian itu, graviti bintang berkenaan menjadi sangat kuat dan akhirnya bintang merah raksasa itu mengalami ledakan yang disebut sebagai Supernova.

Supernova ini pula menghasilkan dua jenis bintang baru yang salah satunya adalah lohong hitam dan kedua, bintang Netron. Melalui catatan NASA, imej lohong hitam termuda yang direkod oleh satelit Chandra ini berasal dari sisa ledakan bintang Supernova SN 1979.

Bagi memudahkan pemahaman, misteri lohong hitam sering kali dikaitkan dengan kejadian aneh Segitiga Bermuda. Perbezaannya ialah kawasan Segitiga Bermuda itu ‘menelan’ kapal-kapal laut dan pesawat yang melalui kawasan tersebut tanpa dapat dijejaki. Manakala, lohong hitam pula lebih dahsyat lagi kerana ia digambarkan mempunyai lubang graviti yang lebih luas berbanding matahari. Dengan kekuatan dan keluasan medan gravitinya, ia mampu menarik dan ‘menelan’ apa sahaja yang berdekatan dengannya.

Fenomena dahsyat di lohong hitam ini pernah disaksikan oleh ahli-ahli astronomi dari Max Planck Institute for Extraterrestrial Physics (MPE), Jerman. Dalam pemerhatian itu, mereka telan menyaksikan sebutir bintang mendekati lohong hitam tersebut, kemudian seperti ‘ditelan’ dan akhirnya lenyap. Pengamatan dari teleskop sinar-X di ruang angkasa lebih daripada satu dekad juga telah menunjukkan kekuatan tarikan graviti lohong hitam yang menyebabkan banyak bintang hancur dan lenyap ditelannya.

Oleh sebab itu, penemuan lohong hitam berusia 30 tahun oleh satelit Chandra X-ray Observatory ini adalah sesuatu yang sangat unik bagi ahli-ahli astronomi dunia yang percaya ia akan membantu mereka untuk membuat kajian yang lebih mendalam mengenai apa sebenarnya lohong hitam. Ini kerana kebanyakan bintang yang dikaji di alam cakerawala hampir berusia berjuta tahun.

Namun persoalannya, mungkinkah jika matahari dan planet-planet yang mengelilinginya termasuk bumi turut akan ditelan oleh lohong hitam itu?

Hari ini, ahli-ahli astronomi masih terus mengkaji sehingga mereka berjaya mendapatkan jawapan yang pasti. Selagi manusia belum mampu menjelajah jauh ke luar angkasa, maka pelbagai jawapan serta teori yang diandaikan terus dikemukakan tanpa bukti yang kukuh.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit