Letusan bintang Supernova
Mengikut rekod daripada penyelidikan astronomi, terdapat banyak letupan berlaku di luar angkasa. Fenomena ini yang digelar Supernova, akan berlaku apabila sesebuah bintang mencapai tahap kematangan yang paling maksima- bintang-bintang yang bersaiz Super Giant.
The Crab Nebula (SN 1054) |
Pada tahun 1054 Masihi, The Crab Nebula (SN 1054) adalah letupan Supernova yang pertama kali direkodkan dalam sejarah penyelidikan astronomi. Difahamkan, ketika letupan itu berlaku ia telah dicerap oleh ahli astronomi di negara China. Lebih menarik lagi, ketika letupan ini meletus ia tidak dicerap dengan menggunakan teleskop canggih, sebaliknya hanya melihat dengan mata kasar sahaja.
SN 1006 |
Kemudian pada tahun 1006 Masihi, satu lagi letupan Supernova berjaya dicerap. Kali ia dilakukan oleh seorang tokoh astronomi Islam yang bernama Ali Ibn Ridwan di Iraq. Ketika letupan berlaku, Supernova yang digelar SN 1006 ini turut dapat dilihat di beberapa buah tempat seperti China, Jepun, Mesir dan Switzerland.
Kira-kira 500 tahun selepas itu, letupan kali ketiga telah berjaya dicerap oleh seorang tokoh astronomi barat, Tyco Brahe. Mengikut rekod penyelidikan astronomi, letupan berlaku pada November 1572. Justeru dengan penemuan itu, Brahe telah menggelar Supernova ini sempena namanya iaitu Tyco’s Supernova. Seperti letupan yang berlaku sebelum ini, ia juga dicerap dengan menggunakan mata kasar.
Menurut Felo Kanan, Institut Sains Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Geri Gopir, secara saintifiknya letupan Supernova bermaksud bintang yang baru lahir. Namun, jika mengikut konsep asal fenomena ini, ia sebenarnya merujuk kepada satu proses kehancuran sesebuah bintang yang besar.
Dr. Geri Gopir |
Letupan Supernova merujuk kepada beberapa jenis letupan bintang yang menghasilkan cahaya cerah selama beberapa minggu atau bulan. Keadaan ini berlaku akibat satu proses tindak balas nuklear (proses lakuran) pada bahagian teras bintang. Apabila tindak balas ini berlaku, kandungan gas hidrogen dalam bahagian teras bintang akan melakukan proses pembakaran sehingga ke bahagian permukaan luar bintang, sebelum ia meletup.
Mengikut penyelidikan astronomi, wujud tiga peringkat letupan sebelum berlakunya letusan Supernova. Peringkat yang pertama, ia digelar sebagai letupan kerdil putih (White Dwarf). Jelas Dr. Geri, pada peringkat ini letupan yang dihasilkan hanyalah berskala kecil dan tiada cahaya yang menyinar.
Peringkat kedua pula digelar sebagai letupan sederhana (Neutron Star). Letupan ini biasanya berlaku pada sesuatu bintang yang mempunyai saiz yang sederhana. Bagaimanapun, pada peringkat ini letupan masih berskala rendah serta tidak cukup kuat untuk mengeluarkan cahaya yang maksimum. Akhir sekali, pada peringkat ketiga digelar sebagai Supernova. Merujuk pada tahap ini, letupan yang dihasilkan berlaku pada skala yang amat tinggi hingga mampu mengeluarkan cahaya yang sangat terang.
Ujar Dr. Geri, Supernova akan menghasilkan dua jenis bintang baru yang salah satunya adalah lohong hitam dan kedua, bintang Netron. Melalui catatan NASA, imej lohong hitam termuda yang direkodkan oleh satelit Chandra ini berasal daripada sisa ledakan bintang Supernova SN 1979.
Fenomena dahsyat di lohong hitam ini pernah disaksikan oleh ahli-ahli astronomi dari Max Planck Institute for Extraterrestrial Physics (MPE), Jerman. Dalam pemerhatian itu, mereka telan menyaksikan sebutir bintang mendekati lohong hitam tersebut, kemudian ia seperti ‘ditelan’ dan akhirnya lenyap. Pengamatan daripada teleskop sinar-X di ruang angkasa lebih dari satu dekad lalu juga telah menunjukkan kekuatan tarikan graviti lohong hitam yang menyebabkan banyak bintang hancur dan lenyap ditelannya.
Oleh sebab itu, penemuan lohong hitam berusia 30 tahun oleh satelit Chandra X-ray Observatory ini adalah sesuatu yang sangat unik bagi ahli-ahli astronomi dunia yang percaya ia akan membantu mereka untuk membuat kajian yang lebih mendalam mengenai apa sebenarnya lohong hitam. Ini kerana kebanyakan bintang yang dikaji di alam cakerawala hampir berusia berjuta tahun.
Namun persoalannya, mungkinkah jika matahari dan planet-planet yang mengelilinginya termasuk bumi turut akan ditelan oleh lohong hitam itu?
Hari ini, ahli-ahli astronomi masih terus mengkaji sehingga mereka berjaya mendapatkan jawapan yang pasti. Selagi manusia belum mampu menjelajah jauh ke luar angkasa, maka pelbagai jawapan serta teori yang diandaikan terus dikemukakan tanpa bukti yang kukuh.
Comments
Post a Comment