Sains Di Sebalik Sejadah Berdiri
Foto sejadah berdiri yang berlaku di Pulau Wan Man Terengganu |
Di Pulau Wan Man, satu kejadian aneh sejadah berdiri dilaporkan berlaku di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam. Seorang wanita telah melihat dua helai sejadah yang bercantum tiba-tiba berdiri di sebelahnya.
Pada mulanya, wanita itu menyangka, di belakangnya ada seseorang sedang bersolat. Dia kebetulan sedang bersolat juga. Kemudian selepas memberikan salam, di dapatinya, sejadah itu tegak sendiri tanpa ada sesiapa pun di belakangnya.
Lima bulan selepas itu, fenomena yang sama juga berlaku di rumah seorang guru yang terletak di Taman Setia Kapar Selangor. Guru tersebut, Yusuf Palil, 47, berkata, sejadah itu baru dibelinya ketika menunaikan umrah di Madinah. Kejadian itu disedari oleh anak beliau, Kamarul Effendy, 17, yang kemudian mendokumentasikannya dengan merakam sejadah itu berdiri selama 32 jam. Rakaman itu kemudiannya di siarkan ke Internet. Mengikut rakaman itu, sejadah itu berdiri dari pukul tiga petang hingga pukul 10 malam keesokan harinya.
Foto sejadah berdiri yang berlaku di Merbau Kudung Tasek Gelugor, P. Pinang |
Pada 27 Mac lalu, di Merbau Kudung, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, sejadah sekali lagi berdiri. Kali ini, sewaktu azan Maghrib sedang berkumandang. Seorang suri rumah, Hanisah Abdullah, 41, tidak sangka dan terkejut melihat sejadah miliknya itu berdiri pada paras lutut dengan sendirinya. Sebelum kejadian itu berlaku, dia bersama dua orang anaknya masuk ke bilik untuk menunaikan solat. Setelah membuka lampu bilik, mereka terpegun dengan kejadian aneh itu.
Bagaimanapun, Hanisah yang ditemani dua orang anaknya cuba memberanikan diri untuk menyentuh sejadah itu. Katanya, sewaktu sejadah itu disentuh, dia merasakan seolah-olah sejadah itu keras seperti kertas surih. Namun, oleh kerana dibelenggu ketakutan, salah seorang daripada anaknya itu terus menekan sejadah itu dengan sekuatnya hinggalah jatuh semula ke lantai.
Kejadian itu sempat dirakam melalui kamera telefon bimbit. Selepas dilihat semula, terdapat satu objek aneh yang menyerupai muka manusia berada di tengah-tengah sejadah itu.
Foto sejadah berdiri yang berlaku di Kampung Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas, Kelantan |
Pada pertengahan September lalu, di Kampung Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas, seorang warga emas dan anaknya juga terkejut dengan fenomena ini. Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi itu disedari oleh Mohd. Faizal Mohd. Zin, 27, sewaktu sibuk membuka kedai runcitnya.
Melihat kejadian itu berlaku depan mata, dia segera memberitahu ibunya, Sharifah Nor Syed Agil, 61 yang ketika itu juga berada di dalam kedai. Menakjubkan! Dua sejadah milik Syarifah Nor itu berdiri seakan-akan seorang lelaki dan wanita kelihatan seperti duduk di antara dua sujud solat.
Terbaru, pada 2 Oktober lalu, apabila sepasang suami isteri di Taman Haji Mohd. Amin, Permatang Pauh terkejut sejadah milik mereka berdiri menyerupai seseorang yang sedang bersolat duduk di antara dua sujud.
Foto sejadah berdiri yang berlaku di Taman Haji Mohd Amin Permatang Pauh, P. Pinang |
Menurut Mohamad Suhaimi Md Ilias, 26, kira-kira pukul 8.10 malam selepas mendapat kepastian arah kiblat di masjid berhampiran rumahnya. Dia dan isterinya Zainab Ramli, 26, terkejut apabila melihat sejadah yang dibentangkan itu berdiri sendiri. Lebih memeranjatkan lagi, ia menyerupai seorang wanita yang sedang bersolat.
Profesor Dr. Mohd Maarof H.A Moksin |
Persoalannya, sejauh manakah kebenaran fenomena ini boleh dibuktikan melalui ilmu sains? Menyedari kejadian ini ada penjelasan sains, penulis bertemu Ketua Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Mohd. Maarof H.A Moksin yang sudi menjelaskan fenomena ini daripada sudut kajian fizik.
Jelas beliau, fenomena ini sukar untuk diperjelaskan dalam dunia akademik fizik kerana tiada bukti kukuh yang menunjukkan pergerakan awal sebelum sejadah itu berdiri. Ini kerana, untuk membuktikan secara saintifik, satu kajian terperinci perlu dilakukan bagi mencari punca daya kuasa yang membolehkan sejadah itu berdiri.
Punca daya kuasa yang boleh bergerak inilah yang akan mengungkai misteri sejadah berdiri. Jika begitu, apakah punca daya kuasa itu berlaku akibat entiti?, Jelas Maarof, susah untuk menjelaskan kaitan entiti dengan punca daya kuasa. Jika benar ia berpunca daripada entiti, mungkin boleh dijadikan andaian awal fenomena ini untuk mengesan punca tenaga.
Gambar rajah yang menunjukkan teori sains bagaimana fenomena sejadah berdiri berlaku |
Meskipun begitu, dalam kes ini, ia boleh juga dikaitkan dengan kehadiran elektrostatik yang terdapat di persekitaran tempat kejadian. Maarof menjelaskan, berkemungkinan di kawasan lantai dan juga persekitaran tempat sejadah itu dibentangkan terdapat ion-ion cas elektrik negatif.
Selepas itu, apabila entiti yang berkemungkinan membawa cas-cas positif ini secara tidak sengaja melalui kawasan kejadian, maka terjadilah satu tindak balas kutub medan magnet dan kemudiannya mengangkat sejadah itu berdiri.
Tapi bagaimana pula sejadah itu boleh jatuh apabila di sentuh oleh tangan manusia? Maaroof menjawab, tindak balas yang berlaku di antara cas positif daripada entiti dengan sejadah kembali menjadi neutral apabila disentuh manusia. Ini kerana badan manusia mempunyai cas-cas elektrostatik. Jadi apabila kita menyentuh atau memegang sejadah tadi, daya kuasa magnet badan akan meneutralkannya semula.
Walau bagaimanapun, teori ini hanyalah satu andaian awal kerana jelas Maarof, fenomena ini harus dikaji menggunakan beberapa peralatan moden termasuklah alat untuk mengukur cas elektrostatik di tempat kejadian. Dokumentasi dan ujian-ujian yang dilakukan boleh menemukan kita dengan satu punca kuasa.
Comments
Post a Comment