Rasukan lagu pembunuh
Dalam kehidupan manusia selalunya tidak lepas daripada mendengar muzik. Malahan, muzik merupakan sebahagian dari kehidupan manusia. Justeru, mustahil jika ada manusia yang tidak sukakan muzik. Tapi, adakah anda pernah mendengar muzik boleh merasuk manusia hingga sanggup membunuh diri?
Sebuah lagu, ciptaan seorang penulis lirik dari Hungry, Reszo Seress pada tahun 1933 telah menyebabkan ramai pendengarnya membunuh diri. Lagu yang dikenali ‘Gloomy Sunday’ diilhamkan oleh Seress sebagai tanda menyatakan kisahnya yang sering bergaduh dengan teman wanitanya. Anehnya, apabila lagu itu mula dipasarkan, berlaku beberapa siri kejadian bunuh diri yang sukar dijelaskan sehingga hari ini. Semenjak dari itu, lagu tersebut dikenali sebagai ‘Lagu Pembunuh Diri’.
Reszo Seress |
Reszo Seress bersama dengan kekasihnya. |
Antara orang yang pertama membunuh diri selepas mendengar lagu ini ialah kekasih Reszo sendiri. Kekasihnya itu telah ditemui mati selepas dikatakan membunuh diri sewaktu terjun daripada sebuah jambatan di Sungai Danube. Berdasarkan hasil siasatan, polis menemui secebis kertas yang bertulis dua perkataan ‘Szomoru Vasarnap’ iaitu nama lagu tersebut yang bermaksud ‘Gloomy Sunday’.
Gambar sekadar hiasan |
Selepas beberapa bulan lagu itu dilancarkan, satu lagi kejadian sama berlaku. Ia melibatkan seorang lelaki di Berlin, Jerman. Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas lelaki tersebut meminta sekumpulan pemuzik menyanyikan lagu itu. Lalu, sebaik saja lagu habis dimainkan, lelaki Jerman itu pulang ke rumah dan terus membunuh diri dengan menembak kepalanya menggunakan sepucuk pistol. Bagaimanapun, sebelum kejadian itu berlaku, lelaki ini sempat memberitahu jirannya bahawa dia tertekan selepas mendengar lagu misteri itu.
Seminggu kemudian, lagu misteri itu menyerang pula seorang pembantu kedai di New York. Mayat pembantu kedai itu dijumpai dalam keadaan tergantung dalam rumahnya. Polis juga turut menemui satu salinan lirik lagu itu dalam bilik mangsa. Pun begitu, tidak sampai dua hari kematian pembantu kedai, lagi satu kejadian bunuh diri dilaporkan. Kali ini melibatkan seorang setiausaha di sebuah pejabat ditemui mati terbakar. Punca kematian, wanita itu membakar dirinya sendiri selepas mendengar lagu Gloomy Sunday. Sama seperti kejadian yang sebelumnya, polis juga turut menemui sekeping nota yang tertulis “Sila mainkan lagu Gloomy Sunday sewaktu majlis pengebumian saya nanti”.
Beberapa minggu kemudian, berlaku dua siri kematian di lokasi berasingan. Di New York, seorang warga emas yang berumur 82 tahun ditemui mati akibat terjun dari sebuah rumah apartmen tingkat 7. Dipercayai warga emas ini bertindak sedemikian selepas memainkan lagu misteri itu dengan pianonya. Manakala, di Rom pula, seorang remaja tiba-tiba dilihat terjun daripada sebuah jambatan dan dijumpai mati selepas dirasuk oleh lagu itu.
Akhir sekali, seorang wanita juga ditemui mati dalam keadaan terduduk selepas memainkan 78 kali rakaman Gloomy Sunday. Akibat daripada itu, banyak kes kejadian bunuh diri dilaporkan berpunca dari lagu berpuaka itu. Pengarah sebuah stesen BBC akhirnya memutuskan mengharamkan lagu pembunuh diri tersebut dimainkan pada semua stesen radio utama.
Kemudian pada tahun 1968, Reszo juga membunuh diri dengan terjun melalui tingkap rumahnya. Difahamkan, Reszo membunuh diri kerana menyedari lagu ciptaannya itu telah meledak hampir seluruh dunia. Dia menyedari, tidak mungkin lagi dapat mencipta lagu sehebat lagu ‘Gloomy Sunday’.
Sejak lagu ini diterbitkan, ia telah diterjemahkan kepada beberapa buah bahasa seperti bahasa Inggeris, Perancis, Finland dan juga Sepanyol. Malah, lagu itu juga turut dinyanyikan sebanyak tujuh versi berlainan oleh 56 orang penyanyi yang berbeza antaranya Heater Nova, Bjork. Ray Charles, Sarah Brightman dan Sinead O’Connor.
Muzik boleh merasuk?
Dr. Chan Cheong |
Ketua Jabatan Muzik, Fakulti Ekologi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Chan Cheong menjelaskan bahawa muzik tidak boleh merasuk manusia kerana ia tidak bernyawa. Namun begitu, ia boleh dijadikan medium untuk tujuan tertentu seperti bersawai dan sebagainya.
Meskipun begitu, muzik sebenarnya merupakan satu bentuk komunikasi. Ia diucapkan secara berentak melalui irama melodi yang dibunyikan secara bernada – maksud seni kata jelas dan sesiapa pun memahaminya.
Profesor Madya Dr. Sidek Mohd Noah |
Sementara itu, Pakar Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Sidek Mohd Noah berkata, memang benar muzik boleh merasuk seseorang. Keadaan ini boleh dibuktikan melalui kajian psikoanalisis. Mengikut kajian ini, seseorang itu akan berubah personaliti dan cenderung mengikut ego dan super egonya. Maksudnya di sini, seseorang itu akan melakukan sesuatu perkara di luar batasan akal yang waras. Bak kata orang lama, ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Lantaran itu, dia memberitahu, minda manusia terdiri daripada dua bahagian iaitu Concious Mind (minda sedar) dan Unconcious Mind (minda bawah sedar). Pada ruang minda bawah sedar, muzik mampu mempengaruhi perlakuan yang berlaku secara automatik tanpa kawalan. Contohnya, apabila seseorang itu mendengar muzik alternatif genre Heavy Metal, secara automatik kepala serta badannya akan bergoyang mengikut irama tersebut.
Manakala, melalui teori tingkah laku pula, apabila seseorang mendengar muzik, akan berlaku satu tindak balas emosi . Sebagai contoh, alunan muzik sedih, rancak, dan keras selalunya akan mengubah perilaku seperti menangis, gembira dan juga aktif.
Sidek menjelaskan, terdapat dua kesan yang ketara apabila seseorang itu dirasuk oleh muzik. Pertama, ia akan menunjukkan perubahan emosi seperti ekspresi muka yang menzahirkan rasa marah, sedih, gembira, bosan atau tidak suka.
Bagi kesan yang kedua pula, ia akan menyebabkan ketagihan suka melampaui batas hinggakan menjadi fanatik. Di tahap ini, seseorang itu akan terdorong untuk mengagung-agungkan genre muzik yang diminatinya. Seseorang di tahap ini juga boleh berkelakuan ganas apabila merasakan keinginan dan kehendak emosinya pada muzik itu terganggu.
Comments
Post a Comment