Puaka Alor Merah

Motosikal keluar dari ladang getah



Gambar sekadar hiasan
“Kalau nak lalu kawasan tu hati-hati sikit, tempat tu jarang orang lalu malam-malam,” kata Limah Lokman, 69, dari Kampung Mengketil, Machang, Kelantan sewaktu bercerita mengenai sebuah tempat berpuaka yang dikenali sebagai ‘Alor Merah’. Jelasnya, apabila sahaja masuk waktu senja, jarang orang yang berani melalui kawasan tersebut. Mereka lebih rela menggunakan jalan yang jauh untuk pergi ke kampung sebelah. Sekiranya lalu juga di kawasan itu, pasti diganggu jelmaan yang boleh menyerupai pelbagai bentuk.

Jelmaan apakah yang dimaksudkan oleh Limah? Mengapa ramai penduduk berhampiran takut untuk melalui kawasan itu? Apakah benar kawasan itu berpuaka? Mari kita ikuti cerita lanjut daripada Limah yang mendakwa pernah diganggu semasa melalui tempat itu.

Kejadian itu bermula kira-kira lima tahun yang lalu. Limah bersama suaminya Abdul Rani Abdul Rahman, 68, akan bingkas bangun pada pukul 3.00 pagi setiap hari untuk membuka gerainya di kampung sebelah. Selepas selesai semua, mereka berdua akan berjalan kaki sejauh dua kilometer sebelum sampai ke gerai mereka.

Namun, apa yang lebih menakutkan, mereka berdua terpaksa melalui kawasan Alor Merah. Hanya itulah sahaja laluan yang paling dekat untuk cepat sampai destinasi yang ditujui. Jika mengikut jalan lain, sekurang-kurangnya mereka berdua kena berjalan hampir 10 kilometer untuk sampai ke kampung sebelah. Memandangkan, mereka berdua tiada kenderaan, perasaan takut itu perlu dibuang. Jika tidak, perniagaan mereka akan rugi.

Kawasan Alor Merah
Lalu, mahu tidak mahu, Limah memimpin tangan suaminya yang cacat penglihatan itu, melalui kawasan itu. Jam menunjukkan waktu pukul 3.30 pagi. Suasana sejuk dan berkabus menyelubungi tempat itu, menyebabkan secara tiba-tiba bulu roma Limah meremang. Tiba-tiba! Kedengaran deruman enjin motor kapcai memecah kesunyian pada awal pagi itu.

Limah Lokman
Anehnya, Limah melihat sekeliling kawasan tersebut, tiada satu pun kelibat lampu motor muncul. Tapi bunyi motor semakin lama semakin dekat menghampiri mereka berdua. Ketakutan mula dirasai mereka berdua. Dari manakah bunyi motor muncul? Prangggggggg!!! Secara tiba-tiba sebuah motor berwarna hitam muncul dari sebuah ladang getah menerpa dan hampir melanggar mereka berdua.

Limah dan suaminya lari menyelamatkan diri dari dilanggar. Kemudian, motosikal hitam itu berpatah balik dan cuba untuk melanggar sekali lagi. Mulut Limah ketika itu terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Selang beberapa minit kemudian, motosikal hitam itu hilang dari pandangan. Bagaimanapun, timbul persoalan dalam hati Limah, bagaimana motor itu boleh melintasi ladang getah tersebut, padahal ia di pagar dengan dawai berduri. Tanpa berfikir panjang lagi, Limah dan suaminya bergegas meneruskan perjalanan ke gerainya. 

Muncul kereta dalam sawah

Seorang lagi penduduk di situ yang hanya mahu dikenali Hamid, 30, juga antara salah seorang yang menjadi mangsa di Alor Merah. Dia yang bekerja dalam sektor swasta sering kali menggunakan laluan itu untuk ke tempat kerjanya.

Gambar sekadar hiasan
Pengalaman ngeri itu berlaku kira-kira dua tahun yang lalu. Pada hari itu, dia terpaksa pulang lewat kerana menyelesaikan beberapa kerja yang masih lagi tidak siap. Terlalu asyik melakukan kerja, Hamid tidak sedar bahawa hari sudah larut malam.

Tiba-tiba, tepat pukul 12.00 malam, jam tangan miliknya berbunyi. Alangkah terkejutnya selepas melihat jamnya itu. Sepatutnya, dia harus pulang awal kerana berjanji akan makan bersama dengan isterinya. Dia mula risau dan cuba menghubungi isterinya untuk menerangkan keadaan sebenar. Malangnya, beberapa kali menelefon tiada siapa yang menjawabnya. Dia mula risau, mesti isterinya sudah merajuk.

Lalu, Hamid kemudian cepat-cepat mencapai topi keledar dan menunggang motosikal pulang ke rumahnya. Bimbang dan takut isterinya marah, dia tidak sedar telah melalui Alor Merah. Semasa melalui kawasan itu, bulu romanya tiba-tiba meremang secara tiba-tiba. Kepala pula terasa seakan-akan besar seperti sesuatu ada berhampirannya.

Bagaimanapun, dia tidak menghiraukan perasaannya itu dan terus menunggang motosikalnya. Sampai sahaja atas jambatan, enjin motosikalnya pula mati tanpa sebab. Perasaan Hamid pada ketika itu masih terkawal dan beranggapan mungkin ada kerosakan kecil yang berlaku pada motosikalnya.

Dia kemudiannya cuba menghidupkan enjin motosikalnya tetapi ia masih juga sama. Bingung dengan masalah yang dialaminya, dia pun menolak motosikalnya perlahan-lahan. Tiba-tiba! Terpancar satu kelibat cahaya yang sangat terang dan bunyi kereta muncul dari sawah. Melihat kejadian itu, dia terkejut dan hairan, apakah benar yang dilihatnya itu? Rupa-rupanya sebuah kereta dalam sawah padi.

Bulu romanya mula menegak kembali dan kepala terasa sebesar-besarnya. Dia tidak mampu berbuat apa-apa dan tercegat melihat kejadian pelik itu. Sambil memerhatikan kereta itu berpusing-pusing di tengah sawah, dia kemudiannya dikejutkan lagi apabila mendapati kereta itu tiada pemandu. Apa lagi, dia pun membuka langkah seribu dan terus cabut lari meninggalkan motosikalnya. Keesokan harinya, Hamid demam tiga hari. Sejak dari peristiwa itu, dia tidak lagi melalui kawasan itu pada waktu malam.





Comments

Popular posts from this blog

Air yang menyembuhkan penyakit

Manusia kembar dengan binatang

Kenapa burung nuri boleh bercakap?