Pembunuh Berkapak New Orleans
Pada suatu pagi, 24 Mei, 1918, seorang lelaki tukang kasut berbangsa Itali, Jake Maggio terkejut apabila terdengar jeritan abangnya Joe yang sedang tidur bersama isterinya di bilik sebelah. Setibanya di situ, dia nampak, seorang wanita terbaring di atas lantai. Kepalanya hampir putus dari tubuhnya; Joe pula terbaring di atas katil sambil mengerang kesakitan. Tidak jauh darinya, terdapat sebilah kapak berlumuran darah dan sebilah pisau cukur yang digunakan penjenayah mengelar leher Joe. Tidak lama selepas itu Joe pun mati.
Sewaktu ketibaan Polis di tempat kejadian, Jake dengan adik keduanya, Andrew telah berjaya menemui cara bagaimana penceroboh itu masuk – melalui panel yang telah dipahat di pintu belakang. Kemudian, mereka berdua ditahan Polis kerana disyaki sebagai suspek kes ini. Bagaimanapun, dibebaskan kemudiannya.
Di satu kaki lima yang terletak di dua batang jalan yang tidak jauh dari situ, seseorang telah menulis dengan kapur seperti ini : “Puan Maggio akan dibangunkan malam ini, sama seperti Puan Toney”. Kenyataan itu mengingatkan pihak polis tentang sebuah kes jenayah tujuh tahun lalu. Ia melibatkan empat pembunuhan peruncit Itali dengan kapak. Siri pembunuhan ini termasuklah kes Puan Tony Schiambra. Bagaimanapun, mereka beranggapan, ia dilakukan oleh sebuah organisasi jenayah “The Black Hand”. Berita itu telah lama tersebar ke seluruh New Orleans.
Lima minggu selepas pembunuhan Maggio, seorang lelaki yang bertugas sebagai penghantar roti telah menemui belakang pintu sebuah rumah yang telah dipahat. Dia pun mengetuk pintu itu. Tiba-tiba seorang lelaki berlumuran darah membuka pintu itu. Dia seorang Poland yang bernama Bersumer dan di dalam rumah itu terbaring seorang wanita yang dipercayai isterinya. Wanita itu masih lagi hidup dan dia memberitahu telah diserang oleh seorang lelaki berkulit putih dengan sebilah kapak. Tidak lama kemudian, dia mati di tempat kejadian.
Bersumer telah dituduh sebagai pembunuh isterinya, namun pada malam itu, lelaki berkapak menyerang lagi – seorang lelaki muda yang baru berkahwin, Edward Schneider, pulang ke rumah dan mendapati isterinya yang sarat mengandung berlumuran darah. Wanita itu dikejarkan ke hospital dan diselamatkan sebelum melahirkan anak seminggu kemudian. Rupanya dia di serang dan penyerang telah masuk melalui tingkap.
Lima hari kemudian, seorang tukang gunting rambut bernama Romano, telah menjadi mangsa seterusnya. Anak saudara perempuan Romano telah mendengar bunyi bising di bilik Romano. Dia kemudiannya bergegas ke situ dan mendapati bapa saudaranya di serang seorang lelaki yang besar dan memakai topi hitam – dia terus menjerit ke arah lelaki itu tapi ia ghaib seperti mempunyai sayap. Hasil siasatan mendapati serpihan panel pintu yang terkopak.
Penduduk New Orleans menjadi panik dan terkenang-kenangkan kisah Jack the Ripper yang membuat angkara di London. Dalam keadaan itu, timbul beberapa amaran palsu kononnya lelaki berkapak telah ditemui dan belakang pintu rumahnya telah dipahat. Pada 30 Ogos 1918, seorang lelaki yang bernama Nick Asunto telah mendengar satu bunyi bising. Dia pun cuba menyiasat dan mendapati seorang lelaki bertubuh sasa bersama sebilah kapak. Lelaki itu kemudiannya melarikan diri selepas mendengar jeritan Asunto. Selepas itu, penduduk New Orleans pun mula bercakap tentang rancangan berjaga-jaga untuk menentang lelaki berkapak.
Masa demi masa, serangan orang berkapak lenyap. Kemudian selepas berakhir perang pada tahun 1918, penduduk kembali berfikir tentangnya. Pada bulan Mac 1919, seorang peruncit yang bernama Jordano telah mendengar jeritan daripada rumah di seberang jalan. Lelaki itu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang peruncit yang bernama Charles Cortimiglia, tidak sedarkan diri di atas lantai. Sementara isterinya pula memangku mayat seorang bayi – di lantai penuh darah yang keluar dari kepala wanita itu.
Menurut wanita ini, dia telah nampak seorang lelaki menyerang suaminya dengan kapak tetapi apabila dia hendak merampas kapak itu, bayinya telah dibunuh. Kemudian lelaki itu menyerangnya. Hasil siasatan, panel pintu telah di pahat. Selepas puan Cortimiglia pulih, dia menuduh Jordano sebagai pembunuh. Bagaimanapun, suaminya membantah dengan mengatakan perkara itu tidak benar. Jordano dan anak lelakinya di tahan Polis.
Tiga hari selepas serangan itu, akhbar tempatan mendapat sepucuk surat yang bertanda “The Axeman”, tarikhnya pula tertera “from hell”. Keadaan ini sama seperti kes surat Jack the Ripper. Kandungan surat itu mengisytiharkan penulis surat itu akan datang ke New Orleans pada hari Selasa depan pada pukul 12.15 tengah hari. Dia juga akan mencari rumah yang memasang lagu Jazz. Kemudian, pada hari tersebut, penduduk New Orleans memeriahkan pekan mereka dengan lagu Jazz dan lelaki berkapak gagal muncul.... seseorang telah menuliskan hal ini sebagai “Mysterious Axeman Jazz”.
Berikutan itu, Besumer yang di bawah jagaan pihak berkuasa sejak dia ditahan telah dibicarakan dan dibebaskan. Namun Jordanos pula didapati bersalah, walaupun berkali-kali Charles Cortimiglia mengatakan Jordanos tidak bersalah. Hal ini telah memeranjatkan orang ramai.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, berlaku satu lagi serangan. Pada 10 haribulan Ogos 1919, seorang peruncit yang bernama Steve Boca terbangun daripada tidur kerana ternampak bayang-bayang seseorang sedang memegang kapak di sebelah katilnya. Dia bingkas bangun dan mendapati kepalanya luka berdarah. Dia kemudiannya bergegas ke rumah rakannya, Frank Genusa, dan tidak lama selepas itu, pihak polis sampai dan menahan Genusa. Bagaimanapun selepas diterangkan kedudukan perkara itu, Genusa dibebaskan.
Pada 2 September, seorang ahli farmasi bernama Carlson mendengar bunyi cakaran dari pintu belakang lalu melepaskan satu tembakan. Penceroboh itu berjaya melarikan diri dan meninggalkan sebilah pahat. Hari berikutnya, jiran-jirannya menemui gadis 19 tahun yang bernama Sarah Lauman tidak sedarkan diri; dia telah diserang dengan kapak hingga tiga batang giginya tercabut. Dia tidak dapat mengingati apa yang berlaku selepas pulih daripada kecederaan.
Sementara itu, mangsa serangan terakhir adalah peruncit yang bernama Mike Pepitone. Ketika kejadian berlaku, dia dan isterinya tinggal di bilik berasingan. Isterinya telah mendengar bunyi pergelutan di bilik Mike. Dia pun bergegas ke sana dan mendapati suaminya mati dibunuh dengan kapak. Kejadian itu begitu kejam sekali sampai darah terpercik ke dinding bilik itu. Malangnya isteri Mike tidak dapat melihat pembunuh itu kerana dalam sekelip mata saja dia hilang.
Sekali lagi, pembunuh tidak diketahui. Namun begitu, Jordanos akhirnya dibebaskan selepas puan Cortimiglia membuat pengakuan berbohong. Dia mengaku berbuat begitu kerana tidak sukakan Jordanos.
Walaupun kisah pembunuh berkapak telah reda, tapi pada 7 Disember 1920, di Los Angeles, isteri Mike Pepitone telah di tembak oleh seorang lelaki yang bernama Joseph Mumfre. Kejadian itu telah melangkapkan sumpahan orang berkapak yang terus menjadi urban lagend di New Orleans.
Pelbagai persoalan timbul hingga ke hari ini dan salah satu yang masih segar adalah apakah Mumfre yang menjadi pembunuh berkapak itu? Kenapa mesti peruncit Itali saja yang menjadi mangsa? Dan kenapa pula dia hanya menyerang lelaki dan membunuh wanita?
Comments
Post a Comment