Batu Nisan hidup di kg Manok

Kawasan perkuburan kampung Manok yang terletak dalam daerah di Machang, Kelantan telah mencetuskan satu fenomena misteri sejak 100 tahun lalu apabila sebuah batu nisan dikatakan membesar sehingga 100 kali ganda daripada saiz asal.

Inilah saiz batu nisan yang didakwa hidup di Kg. Manok
Fenomena itu kini menjadi persoalan di kalangan penduduk di situ yang menganggap ia sebagai keramat. Jauh daripada pemikiran tahyul sebegitu, bagaimana batu nisan ini boleh membesar sebegitu rupa? Apakah ia mempunyai rahsia seperti mana batu Megalith yang dikatakan boleh membesar dengan sendirinya.

Menurut sejarah, batu Megalith digunakan orang-orang dahulu kala sebagai penanda kuburan. Batu ini mampu membesar dan kekal lama tanpa mengalami proses luluhawa. Di 
kepulauan Sulawesi, Indonesia, batu Narik Punang mampu membesar dan membentuk susuk tubuh manusia dengan rupa paras sekali. Jika dilihat dari jauh, ia kelihatan seperti manusia tertanam separas pinggang. Ada pelbagai mitos mengenai batu Megalith ini, tetapi apa yang pasti, ia digunakan sebagai batu tanda kerana sifatnya tahan cuaca alam.

Menurut penduduk setempat, Abdullah Harun, 71, batu nisan itu memang semakin membesar. Katanya, sewaktu dia masih kanak-kanak, batu itu sebesar tiang rumah, kini ia sudah menjadi sebesar rumah. Malah sekarang ini, sudah agak sukar untuk menandakan sempadan kubur di bawahnya kerana batu itu semakin membesar.

Abdullah Harun
Cerita Abdullah, kubur itu milik seorang lelaki yang bernama Tok Ndo. Dia sudah meninggal dunia lama dahulu. Menurut kisahnya, sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia sempat berpesan supaya kuburnya ditandakan dengan batu biasa yang terdapat di sekitar kawasan itu sebagai nisannya.

Setelah beberapa generasi, batu itu membesar. Malah pernah beberapa kali ia dipecahkan bagi menandakan kuburan lain. Anehnya, serpihan batu yang dipecahkan itu tidak membesar pula.

Menurut pengkaji batu, Hisham Hashim, berkemungkinan berlaku proses penyerapan unsur galian pada batu itu. Tindakan campuran beberapa unsur yang terdapat pada batuan boleh bertambah melalui tindak balas alam semula jadi lalu menyebabkan batuan itu mengembang dan membesar.

Malah batuan jenis Calcite mampu mengalami proses transformasi. Meskipun begitu, terdapat beberapa unsur yang menjadi penambah kepada batuan seperti ini. Unsur-unsur tersebut adalah oksigen, silikon, aluminium, besi, kalium, natrium dan magnesium.

Hisham Hashim

Jelas Hisham, pada lapisan kerak bumi terdapat 100 unsur logam dan bukan logam yang membantu pembinaan tanah tanih. Unsur-unsur ini boleh bercantum dan membentuk jisim yang baru. Contohnya, pada keadaan tertentu, batu igneus dan batu enapan boleh bertukar menjadi unsur batuan baru yang berlainan daripada induknya. Kebiasaannya, batu jenis Calcite terdapat di kawasan gunung batu kapur kerana unsurnya kaya dengan Kalsium Karbonat (CA C03)


Proses pertambahan jisim batu ini juga turut dipengaruhi oleh kehadiran gas Celicix Oxide, dan gas Deudritic yang membantu proses pertumbuhan batu serta dibantu pula oleh proses tekanan dan mampatan bumi untuk mewujudkan lapisan baru batu.

Jelasnya, berkemungkinan batu nisan di kampung Manok itu tergolong daripada batu Calcite yang boleh membesar sehingga dua sentimeter atau lebih daripada itu.

Mengikut kajian yang dibuat oleh seorang pengkaji batu dari Jerman, Von Eldar Oberstein, batu yang tergolong dalam kategori ini dianggarkan boleh hidup dan membesar dengan saiz maksima meliputi masa kira-kira 10,000 tahun.

Pun begitu, itu hanyalah hipotesis kajian awal yang tidak dapat dibuktikan dan tidak mustahil tumbesaran sesebuah batu boleh mencapai masa yang lebih lama lagi. Mungkin 50,000 tahun, 100, 000 tahun ataupun berjuta-juta tahun lamanya.

Tegas Hisham, fenomena batu hidup tidak hanya  berlaku di kampung Manok saja, malah ia pernah dilaporkan  berlaku di Gunung  Keriang, Kedah dan juga di Gunung Guruh Sukabumi, Jawa Barat, Indonesia. Namun, persoalannya, fenomena ini jarang dilihat berlaku di kawasan tanah rendah seperti yang berlaku di kampung Manok. Kebanyakan kes batu hidup yang dilaporkan tertumpu di kawasan tanah tinggi saja dan mustahil boleh berlaku di kawasan tanah rendah.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit