Kahwin selepas mati

Percaya atau tidak, masih ada segelintir masyarakat di dunia ini yang mengamalkan satu tradisi perkahwinan aneh yang diberi nama Spritual Wedding iaitu ritual perkahwinan selepas kematian. Ia dilakukan atas dasar ketenangan dan kebahagiaan bagi seseorang individu bujang yang mati sebelum berkahwin.

 Mungkin kedengaran agak aneh, namun bagi sesetengah masyarakat, ritual ini dianggap  penting kerana perkahwinan dipandang sebagai satu kelangsungan hidup seseorang. Justeru, sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia ketika belum berkahwin, ritual ini perlu dilakukan sebagai simbolik penyempurnaan hidup seseorang individu.

Antara kes yang melibatkan  perkahwinan unik ini adalah mendiang Jung Da Bin yang juga seorang aktres terkenal di Korea Selatan, yang meninggal dunia akibat membunuh diri pada 10 Februari 2007 lalu. Pelakon tersebut yang terkenal menerusi sebuah filem ‘The Legend of Gingko’  telah dikahwinkan dengan pasangannya, Moon Jae Sung, seorang lelaki yang  disahkan meninggal dunia pada tahun 2002.

Perkahwinan unik tersebut telah dijalankan di Kyungki-do, sebuah  wilayah di Korea Selatan selepas kedua-dua belah keluarga pasangan itu memutuskan untuk mengahwinkan mereka meskipun keduanya sudah meninggal dunia. Setelah selesai acara itu, kedua-dua jasad pasangan berkenaan akhirnya disemadikan bersama di tanah perkuburan Utopia Memorial, Ansung.

Jung Da Bin yang ditemui mati tergantung di apartmennya empat tahun lalu, pernah menulis pada halaman blognya mengaku telah mengalami kemurungan yang kronik. Dia mengaku seolah-olah kehilangan identiti dan menjadi seorang pemarah sehingga menyebabkan dia sering mengalami sakit yang luar biasa di bahagian kepalanya.

Di Malaysia, perkahwinan spiritual ini turut dijalankan oleh segelintir masyarakat. Mereka percaya kononnya kematian bukan penghalang  bagi seseorang individu yang telah mati untuk berkahwin.

Mengikut sebuah keratan akhbar berbahasa cina yang bertarikh 1 November 2006, perkahwinan tersebut  telah diadakan di Pontian, Johor. Difahamkan, kedua-dua  pasangan yang dikahwinkan merupakan warga tempatan di negeri itu.

Pengantin lelaki, merupakan seorang  Jurutera Kimia yang  mati akibat penyakit kanser ketika berumur 29 tahun. Manakala, pengantin perempuan pula ialah seorang  gadis sunti yang meninggal dunia akibat penyakit jantung pada umur 18 tahun.

Ketika masih hidup, kedua-duanya tidak mengenali antara satu sama lain, namun selepas upacara perkahwinan itu dijalankan mereka telah ditanam di dalam satu liang lahad  yang  sama.

Perkahwinan ini dilakukan atas dasar kepercayaan kedua-dua belah keluarga si mati yang kononnya mendapat satu mimpi. Mereka mendakwa, kedua-dua si mati menyatakan hasrat untuk berkahwin dan mengadakan satu majlis yang besar. 

Ketika berlangsungnya majlis perkahwinan itu, keluarga pihak lelaki menghantar pinangan berupa sebentuk cincin dan biskut perkahwinan kepada keluarga pihak perempuan. Selepas itu, kedua belah pihak keluarga si mati turut membakar rumah kertas, baju dan juga barang perkahwinan yang lain.

Soalnya kini, dari manakah tradisi ini muncul?  Dan, apakah yang mendorong upacara perkahwinan ini dilakukan?  Penulis cuba mendapatkan penjelasan daripada pakar yang berkaitan. Tetapi rata-rata mereka sukar untuk memastikan kesahihan tradisi perkahwinan ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa bangsa dan budaya tertentu di seluruh dunia yang mengamalkannya.  Selain suku terpencil di Sudan, ia juga dikaitkan dengan masyarakat Cina. Difahamkan, kepercayaan ini berkembang dari Tanah Besar di China dan berkembang hingga ke dalam komuniti Cina tempatan di negara-negara lain.


Comments

  1. sesuatu yang menarik..boleh saya bertanya?? dimnakah anda mendapatkan pakar untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkahwinan selepas mati ini?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit