Latah: Sindrom Masyarakat Melayukah?


“OPOCOT!” Itu antara perkataan yang kebiasaannya kita dengar apabila seseorang itu melatah akibat terkejut. Sesetengah individu berpendapat, tingkah laku itu merupakan satu bentuk hiburan kepada orang lain. Bagaimanapun reaksi individu yang melatah sebenarnya berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada yang melatah dengan mengeluarkan kata-kata dan tidak kurang pula yang menzahirkan tindakan spontan. Apa pun tindakan ini akan menarik perhatian orang lain terhadap pelatah.

Di Filipina, latah boleh menyebabkan seseorang itu mendapat sakit seperti demam, sakit perut dan juga penyakit kulit. Masyarakat di sana percaya, melatah merupakan satu sindrom yang boleh memudaratkan. Jadi ia dikenali sebagai lanti. Seseorang yang terkena lanti akan menunjukkan reaksi terkejut spontan secara tiba-tiba sebelum melatah.

Di Kutub Utara pula, masyarakatnya mengenali latah sebagai sindrom Pibloktoq. Seseorang yang terkena penyakit ini akan mudah terkejut dan mengeluarkan kata-kata spontan tanpa sedar. Kadang kala orang Eskimo yang terkena penyakit ini akan bertindak agresif hingga sampai ke tahap histeria. Bagaimanapun, ramai pengkaji percaya mereka berkeadaan begitu disebabkan oleh kemurungan akibat kesejukan yang amat sangat. Kebiasaannya, sindrom ini hanya menyerang golongan wanita dan jarang pada lelaki.

Ada beberapa pengkaji mengaitkan sindrom ini dengan tabiat makanan orang-orang Eskimo. Mereka percaya makanan yang mengandungi vitamin A bertoksik yang dimakan oleh orang-orang Eskimo boleh menyebabkan mereka menjadi latah. Bagaimanapun, belum ada ujian klinikal yang dibuat yang menunjukkan keadaan ini berpunca daripada makanan tersebut.

Bagi Penulis buku American Normal: Hypestartle Syndrome, Lawrene Osborne, penyakit latah memang terkenal dalam kelompok bangsa Melayu. Keadaan itu seakan sama dengan penyakit anoreksia yang popular di kalangan orang-orang Amerika Syarikat. Begitu juga dengan orang Nigeria yang mengalami masalah kepenatan minda.

Soalnya apakah benar latah muncul akibat sindrom bawaan budaya masyarakat dan berkembang dalam masyarakat Melayu?

Menurut Pengkaji Sosiolinguistik Bahasa Melayu dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Teo Kok Seong, sindrom ini boleh juga berlaku di kalangan masyarakat bukan Melayu. Cuma bilangannya tidak begitu ketara berbanding orang-orang Melayu. Misalnya, dalam komuniti Baba Nyonya serta Chetti. Latah dalam kedua-dua kelompok masyarakat ini begitu popular sekali. Mungkin faktor sejarah dan percampuran dan penyerapan budaya menyebabkan mereka sebati dengan perkara itu.

Profesor Dr. Teo Kok Seong
Ironinya, ramai menyangka sindrom latah sering berlaku di kalangan wanita Melayu berumur 50 tahun ke atas. Tetapi hakikatnya, latah juga boleh berlaku terhadap golongan muda tanpa mengira jantina dan peringkat usia.

Disebabkan itu juga, ada yang berpendapat sesebuah majlis perkahwinan bagaikan kurang serinya tanpa kehadiran si latah itu. Jika menghadiri sebarang majlis, pastinya golongan itu akan menjadi tumpuan dan bahan usikan kerana dapat memeriahkan suasana.

Kata Dr. Teo lagi, latah ini boleh diklasifikasikan kepada tiga jenis iaitu latah daripada segi bahasa, latah daripada segi tingkah laku dan latah daripada kedua-duanya sekali. Latah daripada segi bahasa biasanya berlaku melalui percakapan spontan atau menyebut sesuatu perkataan itu secara tanpa sedar. Manakala latah perbuatan pula berlaku apabila pelatah beraksi melakukan sesuatu perbuatan spontan mengikut arahan orang yang mengagahnya dan latah peringkat ketiga pula berlaku secara kedua-duanya sekali.

Dr. Teo menegaskan, orang ramai tidak mengganggu golongan yang melatah kerana berkemungkinan mereka berpotensi mendapat sindrom ini. Sebenarnya latah boleh berpindah daripada seseorang pelatah kepada orang baru. Ini akan berlaku apabila individu baru itu mula terikut-ikut tingkah laku pelatah. Caranya bermula melalui acahan dan lama kelamaan orang yang mengacah itu juga akan mendapat latah.

Walaupun kenyataan itu tidak dapat dibuktikan secara saintifik namun tabiat itu boleh berlaku tanpa alasan dan sebab yang munasabah. Sehingga hari ini, tidak ada pengkaji yang pernah menjumpai sebab musabab kenapa latah boleh berpindah-pindah dan apa kaitannya dengan orang-orang di Nusantara. Tapi apa yang pasti ia merupakan sebahagian unsur yang wujud dalam budaya kita.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit