Kenapa burung nuri boleh bercakap?


BURUNG kakak tua atau nuri disifatkan antara spesies burung yang paling bijak. Ia mampu meniru pelbagai bunyi dan berkata-kata seperti manusia. Tambah mengagumkan, spesies ini seolah-olah tahu bila masa yang sesuai menggunakan perkataan tertentu, sebelum mengucapkannya. Bagaimana agaknya ‘ia’ melakukan hal luar biasa itu?

Tanda tanya ini telah lama cuba dikaji oleh para saintis. Apa yang mengejutkan, jawapan yang ditemui kebanyakannya di luar kotak fikiran manusia. Bahkan, kajian yang dijalankan oleh Dr. Harvey J. Karten, pakar saraf dari Universiti California, San Diego, terhadap fisiologi burung nuri  menemui sesuatu yang menyimpang daripada kelaziman haiwan dalam keluarga burung.

Sebenarnya, burung kakak tua tidak mempunyai pita suara. Pita suara atau vocal fold adalah ‘mesin’ penghasil suara yang terletak di antara faring dan trakea. Untuk menghasilkan suara, pita suara harus bergetar ratusan hingga ribuan kali per saat. Getaran ini bergantung pada nada atau frekuensi perkataan yang dituturkan itu. Di sinilah sebenarnya sistem suara manusia dihasilkan. Soalnya, bagaimana burung yang berbulu berwarna-warni ini tidak memiliki pita suara, sedangkan ia boleh bertutur dengan begitu jelas?

Keupayaan haiwan ini berbicara seperti manusia sebenarnya didorong oleh syrinx, iaitu organ vokal burung. Syrinx terletak pada pangkal trakea burung dan fungsinya adalah mengawal aliran udara melalui tekak. Organ inilah sebetulnya yang membolehkan spesies burung kakak tua mencipta bunyi-bunyian dan perkataan seperti bahasa manusia.

Keupayaan burung Nuri tidak hanya dapat mengawal pergerakan otot pada bahagian tekak, satu hal menakjubkan yang ditemui mengenai burung ini ialah tentang keunikan lidahnya. Pakar percaya bahawa kemampuan lidah spesies ini didapati memiliki persamaan dengan lidah manusia.

Manusia secara saintifik menghasilkan bunyi dari larinks atau peti suara dan dapat diubah mengikut kesesuaian pergerakan lidah dalam mulut. Hal seperti inilah yang membantu kita mengucapkan huruf vokal dan konsonan dengan mudah, meskipun ada kalanya huruf tersebut rumit untuk diucapkan.

Gabriel Beckers dan rakan-rakannya dari Universiti Leiden, Belanda, kemudian tertarik untuk mengkaji apakah kemampuan lidah spesies kakak tua ini juga sama seperti manusia. Ternyata hasil daripada pengamatan mereka mendapati, burung nuri dapat menggerakkan lidah ke depan dan ke belakang ketika berbicara. Pergerakan ini diyakini berperanan menghasilkan kualiti vokal sehingga menjadikan burung berkenaan pintar meniru cakap manusia.

Lantaran keupayaan luar biasa itu, burung ini dihargai sebagai haiwan kesayangan sejak zaman purba hinggalah sekarang. Dalam teks tulisan Parsi kuno sekitar abad ke-13 menjelaskan bahawa, burung kakak tua adalah antara haiwan peliharaan kesayangan masyarakat Parsi pada ketika itu. Sebagai haiwan peliharaan, mereka cuba mengajar burung jinak ini bagaimana untuk bercakap.

Kaedah yang sering digunakan adalah dengan meletakkan cermin di antara jurulatih dan burung kakak tua. Jurulatih akan bercakap di sebalik cermin dan burung tadi diajar untuk mengajuk serta meniru kata-kata yang diucapkan. Burung yang melihat wajahnya di cermin dipercayai akan berasa yakin bahawa dirinya sedang melihat dan bercakap dengan burung lain. Proses pembelajaran ini dikatakan sangat berkesan kerana burung ini didapati mudah belajar berkomunikasi apabila bersama dengan spesies yang serupa dengannya.

Begitu pun, bukan semua spesies kakak tua boleh berbicara seperti manusia. Namun, spesies burung Nuri African Grey adalah baka burung kakak tua yang begitu popular dan paling diminati kerana sangat bijak berkata-kata. Berdasarkan kajian saintifik yang pernah dilakukan sebelum ini mendapati, spesies unik itu mempunyai memori yang sangat baik dan mengingati perbendaharaan kata lebih 700 patah perkataan.

Ia juga memiliki kemampuan meniru apa saja bunyi yang didengari dan dianggarkan boleh merekodkan sehingga 2,000 bunyi berbeza. Tidak hanya itu, burung jenis ini juga tahu membezakan warna, mengumpulkan barang di satu tempat mengikut jenis warna dan menyelesaikan teka-teki. Kebolehan ini dikatakan tidak dimiliki oleh burung jenis lain. Tapi  bagaimana ia boleh meniru apa yang didengari dan seolah-olah tahu apa yang diperkatakan, bahkan mengucapkan perkataan yang diketahui tepat pada situasi dan masa?

Kajian neuron sains ke atas sel saraf spesies ini sekali lagi menjumpai sesuatu di luar dugaan. Rupanya, otak burung nuri memiliki fungsi yang sama dengan otak manusia. Seperti manusia, haiwan ini juga mempunyai otak bahagian depan yang terlibat dalam pembelajaran dan kawalan vokal.

Kemampuan mentaliti haiwan ini turut didapati memiliki persamaan dengan pemikiran kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun. Sebab itu mengapa burung ini suka mengajuk percakapan, melihat dan mendengar dengan penuh minat, bahkan belajar membentuk perkataan dengan hanya mendengar. Malah ia memerlukan perhatian dan penjagaan mirip yang mirip seperti seorang kanak-kanak pada usia sebegitu.

Cuma diingatkan, seperti juga kanak-kanak, anda harus berhati-hati memperkatakan sesuatu di hadapan si kakak tua. Ucapan kurang enak dan tidak sopan perlu dielakkan kerana silap langkah burung ini akan mengajuk perkataan itu semula dengan nada yang kuat dan berulang-ulang. Ini kerana pemikiran burung yang menyerupai kanak-kanak ini tidak memahami apa yang diucapkannya. 

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit