Friday, July 29, 2011

Air yang menyembuhkan penyakit

Dalam Islam, air menjadi satu elemen yang digunakan untuk mengubati penyakit. Bukan sekadar penyakit rohaniah (jiwa raga), tetapi air juga digunakan untuk menjadi penawar kepada penyakit jasmaniah (tubuh badan).

Di kalangan masyarakat Melayu khususnya, penggunaan air jampi menjadi satu alternatif terapi merawat penyakit di samping mendapatkan rawatan doktor. Air putih akan dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran oleh seseorang yang berilmu atau alim, serta diniatkan untuk merawat penyakit tertentu. Kaedah rawatannya ialah sama ada minum, menyapu muka, renjis di tempat yang sakit atau dimandikan dengan air jampi tersebut.

Bagi memastikan proses pengubatan berjalan dengan lancar dan sempurna, ada sesetengah pihak menyarankan supaya menggunakan air yang diambil dari kolah masjid untuk dijampi. Dengan kata lain, ia adalah air lebihan wuduk dan dianggap mempunyai lebih keberkatan.

Di masjid Kampung Hulu, Melaka, masyarakat setempat mempunyai kepercayaan bahawa air kolah masjid ini mujarab untuk dijadikan sebagai penawar penyakit. Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas apabila setiap hari, berbondong-bondong orang mengunjungi masjid tersebut semata-mata untuk mengambil air kolahnya untuk dibuat penawar. Bukan sekadar anak tempatan Melaka, malah air kolah ini turut menjadi tumpuan orang-orang di seluruh pelosok semenanjung Malaysia serta Singapura.

Kebanyakan yang datang membawa beberapa botol kosong untuk diisi dengan air kolah tersebut. Malah, anak-anak kecil sering kali dilihat dimandikan terus oleh ibu bapa masing-masing di tepian kolah yang berukuran 15 meter persegi itu.

Keistimewaan air masjid yang dibina pada tahun 1720 ini juga dilihat telah menembusi sempadan antara agama apabila orang bukan Islam juga turut mengambil air ini untuk merawat penyakit.

Ustaz Ahyead Elias
Menurut Imam masjid tersebut, Ustaz Ahyead Elias, rawatan menggunakan air bukanlah sesuatu yang khurafat, sebaliknya ia adalah syariat yang telah diperturunkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Semasa hayat baginda, Rasulullah sering menggunakan air lebihan wuduk untuk merawat penyakit seperti sihir dan demam, sama ada kepada diri baginda sendiri ataupun sahabat-sahabatnya. Kaedah itulah yang menjadi ikutan oleh masyarakat Islam sehingga kini.

Jelas Ustaz Ahyead, dua per tiga daripada tubuh manusia terdiri daripada air. Malah, asal kehidupan manusia juga bermula dengan air. Perkara tersebut telah diterangkan oleh Allah dalam surah Al-Anbiya’, ayat 30. Disebabkan itulah unsur air juga diperlukan sebagai ubat yang mujarab untuk menyembuhkan penyakit yang melanda manusia.

Menurutnya lagi, air di masjid ini bukan saja diambil oleh golongan kebanyakan, tetapi juga oleh orang-orang profesional. Malah, ada ketikanya doktor sendiri juga mencari penawar dengan cara sebegini. Ini kerana, kata beliau, bukan semua penyakit boleh dirawat dengan menggunakan ubat, sebaliknya pada masa-masa tertentu kaedah seperti ini juga diperlukan untuk merawat sesuatu penyakit.

Persoalannya, apa pula pandangan sains mengenai perkara ini? 

Mohd Haniff Osman
Menurut pensyarah dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Haniff Osman, kaedah rawatan menggunakan air sebenarnya telah lama dipraktikkan oleh manusia. Bukan saja di kalangan umat Islam, malah kaedah yang sama juga turut digunakan oleh dukun atau tabib di kalangan bukan Islam.

Jelasnya, kajian sains moden terhadap air yang dijampi sedikit sebanyak telah menunjukkan bahawa air juga boleh dijadikan sebagai penawar untuk melegakan sesuatu penyakit.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Dr. Masaru Emoto, seorang saintis Jepun yang telah menulis jurnal bertajuk ‘The True Power of Water’, beliau menyatakan bahawa air boleh ‘mendengar’ kata-kata, ‘membaca’ tulisan serta ‘merekod’ ucapan seperti pita magnetik atau cakera padat.

Dalam kajian itu Dr. Emoto mendedahkan, apabila air didedahkan kepada bunyi-bunyian yang baik seperti bacaan doa, molekul air akan berubah bentuk menjadi cantik dan berseri. Molekul tersebut akan membentuk kristal bersegi enam dengan lima cabang dedaun yang berkilauan.

Bagaimanapun, jika air didedahkan kepada struktur bunyi yang bingit seperti muzik heavy metal, molekul air didapati tidak tersusun dan pecah. Molekul air tersebut seperti tidak mempunyai rantaian, malah bentuk molekulnya menjadi lebih teruk daripada sebelumnya.

Dr. Masaru Emoto
Dalam jurnal itu juga Dr. Emoto ada menyatakan bahawa, semakin kuat bunyi yang didedahkan, semakin jelas kondisi molekul air yang terbentuk.

Justeru, jelas Haniff, berdasarkan kajian tersebut, secara logiknya air yang mempunyai struktur molekul yang cantik sudah pasti akan memberi kesan kebaikan kepada si peminumnya. Begitulah juga sebaliknya.

Walaupun perkara ini tidak dapat dijelaskan secara nyata, tetapi berdasarkan testimonial beberapa pesakit yang mendapatkan khidmat rawatan seperti ini, ternyata kaedah sebegini juga mampu untuk menyembuhkan penyakit tertentu. 

No comments:

Post a Comment

Share it