Ulu Sembah, Kampung tanpa penghuni

Terletak kira-kira lima kilometer(KM) dari bandar Bentong, Pahang, wujud sebuah kampung tradisional yang sejak sekian lama tidak berpenghuni. Ia seolah-olah begitu terasing dan tiada penduduk mendiaminya. Keadaan pelik ini kekal sehingga hari ini. Persoalannya, mengapa ia berkeadaan sedemikian?

Bukit Kutu yang tersergam indah
Mengikut legenda tempatan, kampung tersebut telah musnah akibat dilanda banjir yang amat dahsyat  pada tahun 1926. Mengikut cerita lisan, ketika peristiwa banjir itu berlaku dikatakan muncul seekor naga dari arah sebuah bukit berhampiran yang dikenali ‘Bukit Kutu’.  
 
Akibatnya, air daripada bukit tersebut telah menyebabkan sebatang sungai berhampiran yang  dikenali Sungai Sembah melimpah lalu menenggelamkan hampir 100 peratus keseluruhan kampung itu.

Kira-kira dua minggu selepas kawasan tersebut ditenggelami air, penduduk kampung di Ulu Sembah dilanda masalah kehilangan sumber makanan yang amat serius. Lebih menyedihkan, kesemua makanan dan hasil tanaman tidak dapat diselamatkan hingga menyebabkan penduduk mengambil keputusan berhijrah ke kawasan lain.

Terpesona dengan sejarah lisan lampau ini, Infiniti cuba menyelongkar kisah sebuah kampung yang terletak di kaki Banjaran Titiwangsa.  Seorang penduduk dari Janda Baik, Ahmad Jamali Mat Yunus, 34, mendakwa pernah ke kawasan tersebut.

Ahmad Jamali menunjukkan sebuah kawasan
dipercayai sebuah kandang kerbau milik penduduk
kampung Ulu Sembah.

Jelasnya, sewaktu sampai ke kawasan itu, tiada bukti penemuan penting dapat dijumpai. Apatah lagi bukti-bukti yang dapat menunjukkan sebuah penempatan manusia wujud di situ. Lebih menyukarkan,  seluruh kawasan berkenaan telah ditumbuhi hutan tebal dan semak-samun sekali gus membantutkan usaha Ahmad Jamali untuk mencari bukti-bukti seperti struktur binaan dan peninggalan lain yang didakwa milik sebuah masyarakat lama yang pernah menghuni kampung Ulu Sembah.

Kebanyakannya, kesan bukti yang penting telah musnah akibat dimamah usia. Hanya yang tinggal adalah bukti-bukti sampingan yang kelihatan seperti tapak-tapak penempatan, kawasan pertanian dan kandang haiwan peliharaan penduduk pada ketika itu.

Rahmah Mat Diah
Selepas mendapat maklumat serba sedikit daripada Ahmad Jamali yang pernah ke kawasan tersebut, Infiniti meneruskan lagi kisah pembongkaran khazanah lama sebuah kampung yang tidak berpenghuni di Ulu Sembah. Bagi mengetahui  lebih lanjut mengenai cerita kampung ini, Infiniti menemui seorang warga emas, Rahmah Mat Diah di lokasi berhampiran yang terletak di kampung Tambai. 

Menurut Rahmah, berdasarkan cerita daripada moyangnya, kawasan tersebut pada ketika itu  telah dibuka oleh seorang ketua kampung yang bernama ‘Tok Yek’ sekitar abad ke 17 hingga 18. Kebanyakan penduduk yang mendiami kawasan ini adalah terdiri daripada golongan petani.

Ahmad Jamali menunjukkan satu lokasi
dipercayai kawasan perkuburan
kampung tersebut.
Jelasnya lagi, sebelum pembukaan Bentong, kawasan tersebut begitu masyhur di kalangan penduduk setempat kerana hasil padi yang berkualiti. Malangnya, selepas berlakunya banjir besar pada tahun 1926, kampung berkenaan musnah dalam sekelip mata. Akibatnya, ia turut menenggelamkan  kesemua hasil padi  hingga penduduk pada ketika itu terputus bekalan makanan.

Ekoran itu, kesemua penduduk kampung mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan lain yang lebih selamat.  Setelah mengenal pasti lokasi yang sesuai, penduduk asal kampung berkenaan membuka dua kawasan baru yang kini dikenali Janda Baik dan Lebu. Selepas semua penduduk berhijrah di dua kawasan baru ini, mereka tidak lagi diancam oleh bencana banjir.
 
Kini, kampung Ulu Sembah hanya dikenali dengan nama sahaja. Walaupun ia sudah tidak berpenghuni, kampung ini masih menjadi kenangan buat generasi penduduk asal yang kini berada di Janda Baik dan Lebu.

Comments

  1. as salam..tuan admin..boleh sy tahu maklumat lanjut tentang tok yek..sy adalah generasi yang ke 6 keturunan beliau..tiada lagi dapat sy cari sumber tentang beliau kecuali dari website dark of mystery sahaja..terima kasih

    ReplyDelete
  2. As salam admin.Boleh ceritakan perihal " tok yet"..tq

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit