Tragedi Butterworth
Kira-kira
27 tahun lalu, satu peristiwa hitam telah menggemparkan seluruh rakyat di
Malaysia. Ia mengisahkan situasi cemas yang berlaku di sebuah terminal feri
yang dikenali Pangkalan Sultan Abdul Halim, Pulau Pinang. Ketika kejadian
berlaku, terminal tersebut dikatakan roboh akibat jumlah muatan yang berlebihan
hingga menyebabkan 32 orang mangsa terkorban manakala 1,543 lagi cedera.
Mengikut
kronologi tragedi berkenaan, ia berlaku pada 31 Julai 1988 iaitu pada pukul
4.40 petang. Terminal feri tersebut dilaporkan sesak sejak awal pagi akibat
kemasukan ribuan pengunjung yang ingin
menyeberang ke Pulau Pinang. Difahamkan, rata-rata pengunjung yang berada di
situ adalah puluhan ribu penduduk tempatan dan luar negara yang datang untuk
menyaksikan dua perayaan yang membabitkan kaum Cina iaitu, Pesta Dewi Kwan Yin
di Georgetown dan sambutan ulang tahun Gereja St Anne, di Bukit Mertajam.
Keadaan itu
menyebabkan Jambatan Pulau Pinang ditutup pada kenderaan awam untuk mengelakkan
kesesakan ketika perarakan itu berlangsung. Justeru, pengunjung yang ingin
menyertai perarakan tersebut terpaksa menggunakan feri. Malangnya, kehadiran
pengunjung yang mahu ke Pulau Pinang yang dianggarkan lebih 10,000 orang telah memaksa
pihak bertanggungjawab menutup pintu masuk ke kawasan pangkalan yang
satu-satunya menjadi pintu masuk ke Georgetown.
Di tingkat
satu iaitu laluan pejalan kaki pangkalan berkenaan turut ditutup tetapi jumlah
orang yang terlalu ramai menyebabkan anggota keselamatan yang berkawal ketika
itu tidak dapat menyekat kemasukan pengunjung yang datang berbondong-bondong.
Lebih teruk
lagi, situasi di kawasan itu mula menjadi kelam-kabut selepas sebuah feri yang
datang dari arah Pulau Pinang menghampiri jeti tersebut. Tanpa menghiraukan arahan
daripada pihak berkuasa, para pengunjung meluru dan berebut-rebut memasuki
ruang pintu utama untuk memasuki feri yang baru tiba.
Malang tidak
berbau, ketika para pengunjung di situ sedang berebut memasuki feri, mereka dikejutkan
dengan satu dentuman bunyi dan gegaran yang sangat kuat. Dalam sekelip mata,
pelantar jeti setinggi lima meter yang dibina pada tahun 1956 itu runtuh
dipercayai akibat terlalu berat untuk menampung beban kemasukan ribuan
pengunjung yang ingin menyeberang ke Pulau Pinang sejak pagi hari kejadian.
Justeru, ia
mengakibatkan pengunjung yang berada di situ menggelongsor dan terjatuh ke
dalam laut, manakala tiang dan kayu binaan berat turut menghempap mereka. Ekoran
kejadian itu, keadaan menjadi huru-hara apabila ribuan pengunjung yang berada
di kawasan itu cuba lari menyelamatkan
diri. Namun, hanya sebilangan kecil sahaja berjaya meloloskan diri dan
selebihnya terperangkap di dalam runtuhan itu.
Pelbagai
pemandangan ngeri dan menyayat hati kelihatan di tapak runtuhan itu. Seorang
pekerja jeti yang sebelum itu sibuk melarang orang ramai memasuki kawasan
berkenaan kerana sudah terlalu sesak, kelihatan tertiarap dihempap tiang
terminal sebesar pemeluk. Dada pekerja itu sudah menjadi leper dan tidak boleh
digerakkan sama sekali, cuma kepalanya saja tertoleh ke kiri ke kanan meminta
tolong.
Dari satu
sudut lain pula, seorang pelancong yang sebelum itu sibuk dengan kamera
videonya yang merakam pemandangan kesesakan pengunjung yang ingin memasuki
Pulau Pinang bagi menyertai keraian di sana, dilihat berlumuran darah di
bahagian kepalanya.
Sebuah stesen
bas berhampiran iaitu stesen bas Butterworth penuh dengan mangsa yang berjaya
diselamatkan. Mereka menenangkan diri di situ selepas berjaya keluar dari
lokasi tragedi. Suasana pada ketika itu hening dan ramai mangsa yang berkumpul
di stesen bas
memilih
untuk tidak mengeluarkan suara, sebaliknya terus termenung seolah-olah masih
tergamam dengan kejadian tidak disangka itu.
Akibat daripada kejadian itu, satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat
punca sebenar mengapa pangkalan tersebut runtuh. Diketuai oleh Tan Sri Chan
Ming Tat, Suruhanjaya Diraja berkenaan mula menemu ramah beberapa pihak
termasuk Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.
Selepas
siasatan rapi dijalankan, badan kerajaan tersebut mendapati sistem yang diguna
pakai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang tidak berkesan untuk mengawal jumlah
orang yang terlalu ramai sehingga mencetuskan kesesakan yang luar biasa di
dalam pangkalan terbabit.
Info
tragedi Butterworth
- · Pangkalan Sultan Abdul Halim dibina pada tahun 1956.
- · Tiangnya diperbuat daripada besi konkrit dan lantainya dari papan tebal.
- · Gelegar lantai, pagar dan dinding diperbuat daripada besi tumpat, melintasi ruang laluan kereta di sebelah bawah.
- · Pangkalan ini mempunyai dua tingkat. Tingkat bawah untuk laluan kenderaan keluar dan masuk. Tingkat atas pula untuk laluan penumpang dari stesen bas Butterworth.
Comments
Post a Comment