Sindrom Kepala Meledak
Seorang
pemuda, Rashidi(bukan nama sebenar) dari Klang, Selangor, didapati telah
mengalami satu penyakit ganjil yang menyebabkannya sering kali diganggu bunyi
bising sewaktu tidur. Walaupun sebelum ini pernah cuba untuk melelapkan mata,
namun dia pasti terjaga sejurus mendengar bunyi bising yang seakan-akan bunyi
letupan. Keadaan itu berlaku secara automatik setiap kali pada waktu tengah
malam.
Bercerita
lanjut mengenai penyakit aneh yang dialaminya, kata Rashidi, keadaannya menjadi
begitu sejak di usia remaja lagi. Pada ketika itu, dia mengalami sakit kepala
yang serius. Malangnya, selepas pulih dari kesakitan itu dia tidak mampu tidur
dengan nyenyak pada setiap hari kerana diganggu oleh bunyi yang sangat kuat.
Bimbang
dengan perubahan aneh yang dihadapinya, Rashidi cuba mendapatkan khidmat daripada
pengamal perubatan. Malangnya, rata-rata daripada mereka yang ditemuinya tidak
berjaya mengesan punca penyakit pelik yang dialami pemuda itu. Pada masa yang
sama, kesemua pengamal perubatan yang merawatnya mengatakan tubuh badannya
dalam keadaan normal.
Setakat
ini, Rashidi hanya mengambil ubat penenang bagi menghilangkan gangguan bunyi
bising yang dialaminya. Meskipun tidak berasa sakit dengan situasi itu dan
keadaan dirinya normal, namun dia khuatir suatu hari nanti bakal berdepan
dengan masalah kesihatan. Soalnya, apakah punca sebenar penyakit yang dialami
Rashidi? Dan, dari manakah datangnya bunyi bising seperti yang didakwa pemuda
itu?
Melihat
situasi yang dialami Rashidi kemungkinan penyakit pelik yang dihidapinya berkait
rapat dengan satu sindrom yang dikenali sebagai Exploding Head Syndrome atau Sindrom Kepala Meledak. Ia merupakan
sejenis penyakit jarang jumpa yang menyerang seseorang individu ketika sedang
tidur.
Mengikut
sejarah perubatan, penyakit ini mula dikesan pada tahun 1920-an. Ia dikenal
pasti oleh seorang pakar psikiatri dari negara Wales yang bernama Robert Armstrong- Jones. Kemudian, pada tahun 1989 seorang pakar neurologi
British, John M. S. Pearce akhirnya menamakan penyakit ini sebagai Exploding
Head Syndrome.
Seseorang
individu yang mengalami penyakit ini sering kali diganggu dengan pelbagai bunyi
yang sangat kuat. Antara bunyi yang sering didengar adalah bunyi letupan,
ngauman, tembakan senjata dan suara orang sedang meraung. Lazimnya, penyakit
ini akan menyerang selama beberapa jam ketika seseorang individu sedang tidur.
Berdasarkan
penyelidikan perubatan yang dilakukan mendapati, kebarangkalian untuk seseorang
individu menghidapi penyakit ini tidaklah begitu membimbangkan. Ini kerana,
bilangan pesakit yang mengalami EHS
tidak menunjukkan angka yang tinggi berbanding penyakit –penyakit berisiko
lain.
Berdasarkan had umur pula, penyakit ini lebih cenderung menyerang golongan
yang berumur 15 tahun ke atas. Pada masa yang sama, golongan wanita dikatakan
lebih berisiko untuk menghidapi penyakit ini berbanding kaum lelaki.
Soalnya, apakah
kaedah rawatan yang sesuai untuk menghindari seseorang individu daripada menghidapi
penyakit ini? Setakat ini, belum ada kaedah rawatan sesuai untuk memulihkan
penyakit ini. Bagaimanapun,terdapat beberapa cara yang diguna pakai untuk
memberi kelegaan pada pesakit dalam tempoh waktu tertentu. Antaranya adalah
dengan menggunakan teknik urutan di kepala, mengambil ubat penenang, meletakkan
beg air batu atau tuala sejuk pada bahagian kepala dan menggunakan rawatan
alternatif seperti Kiropraktik atau Akupuntur.
Hari ini, punca sebenar atau etiologi bagi EHS belum diketahui dan masih di
peringkat kajian. Namun, kebanyakan pakar psikiatri di seluruh dunia
berpendapat sindrom ini kemungkinan berpunca akibat tekanan atau keletihan
melampau yang dialami oleh seseorang individu.
Comments
Post a Comment