Kemunculan zaman ais baru
Seorang
pakar fizik dari City College of New York, Amerika Syarikat, Dr. Michio Kaku, telah
mencetuskan kontroversi mengenai masa hadapan dunia. Mengikut teori yang dikemukakannya, beliau meramalkan dunia
bakal dilanda satu fenomena alam yang pernah lenyap kira-kira 600,000 tahun
yang lalu. Fenomena alam tersebut adalah kewujudan zaman ais baru.
Mengikut
laporan daripada Discovery News, Kaku mengemukakan andaian kemungkinan kejadian
gempa bumi yang berlaku di negara Jepun awal Mac lalu telah mengubah landskap
dan pergerakan bumi. Apabila situasi ini berlaku, ia akan mengakibatkan satu
perubahan cuaca yang luar biasa dan boleh mengakibatkan bumi sekali lagi menjadi
beku.
Jelas
beliau, impak gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter yang melanda Jepun
telah menyebabkan paksi bumi menyendeng
sebanyak 25 sentimeter, sekali gus mengakibatkan kadar putaran bumi
berubah pantas dalam tempoh lebih sejuta mikro sesaat. Selain itu, perubahan
lain turut berlaku termasuk pergerakan kerak bumi yang jatuh menjunam ke dalam
rekahan sepanjang 402 kilometer dan membuka jurang seluas 9.6 kilometer di
bawah Lautan Pasifik.
Apabila
situasi ini berlaku, jelas Kaku, peredaran masa dalam sehari akan menjadi lebih
singkat berbanding sebelumnya. Justeru, keadaan ini berkemungkinan akan
menyebabkan permukaan bumi kurang mendapat cahaya matahari sekali gus
mengakibatkan penurunan suhu yang jatuh mendadak.
Bagaimanapun,
teori Zaman Ais Baru yang dikemukakan
oleh pakar fizik tersebut disangkal sama sekali oleh beberapa saintis lain. Kebanyakan
mereka tidak bersetuju dengan teori tersebut dan menganggap kewujudan zaman itu
tidak mungkin akan berlaku.
Menurut
seorang saintis Britain, Bethan Harris, mengakui bahawa impak gempa bumi
sememangnya boleh mengakibatkan pergerakan bumi sejauh beratus-ratus kilometer.
Namun, keadaan itu tidaklah serius kerana impak tersebut hanyalah berada pada
tahap minimum sahaja.
Selain itu,
seorang pakar geofizik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas
Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Richard Goss, mengemukakan pendapat bahawa perubahan yang menyebabkan putaran bumi adalah
satu isu kekal yang perlu dihadapi manusia sejagat.
Hakikatnya,
ia bukanlah kejadian yang pertama disebabkan oleh kejadian gempa bumi besar
yang mengubah tempoh sehari di bumi. Malah, ia dilihat semakin pendek disebabkan gegaran kuat sebelum
ini. Buktinya, kejadian gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter yang
berlaku di negara Chile pada tahun 2010.
Berdasarkan
kajian yang dilakukan mendapati, impak gempa bumi tersebut turut meningkatkan kadar
putaran bumi dan memendekkan hari kepada 1.26 mikro sesaat. Perkara yang sama
turut berlaku ketika kejadian gempa bumi di Sumatera, Indonesia pada tahun
2004. Impak gempa bumi yang berukuran 9.1 pada skala Richter itu turut
memendekkan hari kepada 6.8 mikro sesaat.
Selain
teori Zaman Ais Baru yang kini menjadi perdebatan hangat di kalangan para
saintis di seluruh dunia, timbul pula dakwaan yang mengatakan impak gempa bumi
di Jepun mungkin belum lengkap sepenuhnya. Dilaporkan, sekurang-kurangnya
sebanyak 20 gegaran susulan berukuran 6.0 pada skala Richter telah di negara
tersebut. Difahamkan, gegaran susulan yang berlaku ini turut berkeupayaan mengubah
tempoh masa dalam sehari.
Zaman Ais
atau Pleistocene dikatakan mula terbentuk secara tidak tetap sejak lebih dua
bilion tahun lalu. Pada zaman ini, lapisan ais terbentuk sebahagian besar benua
di muka bumi. Setakat ini, punca sebenar perubahan zaman ini masih belum
diketahui namun para saintis mengaitkannya dengan perubahan putaran bumi.
Comments
Post a Comment