Manusia paling pantas bertutur
Sekali pandang, tiada apa pun yang istimewa
mengenai lelaki ini. Tetapi, jika anda berpeluang berbual dengannya pasti akan
terpinga-pinga. Ini kerana setiap patah perkataan yang diungkap melalui mulutnya
terlalu pantas sehingga sukar untuk kita fahami.
Steve Woodmore, merupakan satu-satunya manusia paling
pantas bertutur dan dianggarkan empat kali lebih cepat berbanding manusia
biasa. Kedengaran seperti sesuatu yang agak mustahil, namun itulah keistimewaan
yang dimiliki oleh seorang lelaki dari Orpington, England ini.
Selain itu, kebolehan yang dimiliki oleh Woodmore
turut berjaya menempatkan dirinya di dalam Guiness World of Record. Jadi, tidak
hairanlah jika dia mendapat gelaran sebagai ‘World fastest talker’. Dengan
gelaran tersebut, dia berjaya mencipta rekodnya sendiri dengan kiraan
pertuturan 637 patah perkataan per minit sekali gus mendahului rekod yang
sebelum ini dilakukan oleh John Moschitta, Jr dengan kiraan 586 per minit.
Menurut Woodmore, kebolehan bertutur dengan pantas
mula disedari ketika dia berumur tujuh tahun lagi. Saat manis yang tidak boleh
dilupakan adalah ketika zaman persekolahannya. Kata lelaki itu, dia sering didenda
oleh gurunya kerana suka bercakap sewaktu berada di dalam kelas. Sebagai
hukuman atas kesalahan tersebut, dia terpaksa membaca banyak bahan bacaan dan
petikan-petikan ayat yang panjang.
Pernah satu ketika, ujar Woodmore, dia mendakwa berjaya
membaca satu karangan panjang dalam tempoh masa selama dua minit. Lantaran itu,
guru yang selalu mendendanya terkejut kerana belum pernah ada orang lain yang
mampu membaca karangan berkenaan sepantas itu. Kalau ada pun, rekod masa yang
berjaya dilakukan sebelum ini adalah selama lapan minit.
Disebabkan kelebihan yang dimilikinya, lelaki ini
sering kali dipanggil untuk membuat persembahan secara langsung di hadapan
penonton dan juga rakaman televisyen. Antaranya persembahan tersebut adalah di
BB’c 1Xtra Breakfast Show with Twin B, rancangan bual bicara Motor mouth dalam saluran British ITV
television, dan banyak lagi rancangan tempatan dan juga luar negara.
Pada bulan Jun 2011, manusia terpantas bertutur ini
pernah dijemput sebagai tetamu khas
dalam satu acara berprestij di Dublin, Ireland. Acara itu dianjurkan
sempena perasmian pakej talian telefon yang dinamakan sebagai 50/50 phone oleh salah sebuah syarikat telekomunikasi
tempatan.
Selain acara perasmian itu, semua orang awam yang
menghadiri di majlis tersebut turut ditawarkan menyertai satu pertandingan
khas. Mereka dicabar bertutur sepantas mungkin bersama Woodmore sekali gus
memecahkan rekod yang dilakukannya sebelum ini. Bagaimanapun, pertandingan itu
yang disiar secara langsung gagal mendapatkan rekod baru. Kesemua mereka yang
bertanding tewas kepada Woodmore.
Baru-baru ini, bakat luar biasa yang dimiliki
Woodmore turut disiarkan dalam sebuah siri filem dokumentari yang bertajuk Stan Lee’s Superhuman. Dalam paparan
filem itu, kebanyakannya lebih mengetengahkan pelbagai aksi manusia super termasuklah
kebolehan luar biasa yang dimiliki oleh lelaki ini.
Bagi membuktikan kepantasan pertuturan Woodmore, krew
filem dokumentari ini telah mengadakan satu ujian khas bagi lelaki ini. Ia
dilakukan dengan menggunakan sebuah mesin khas yang dipanggil Functional
magnetic resonance imaging (FMRI). Alat ini dikenal pasti boleh mengesan
sejauh mana tahap kepantasan seseorang ketika bertutur.
Melalui ujian yang dilakukan, Woodmore dikehendaki
membaca satu bahan bacaan dalam tempoh masa yang diperuntukkan. Apa yang
mengejutkan, lelaki tersebut tidak mengambil masa yang lama dan berjaya menghabiskan
bacaan berkenaan dalam beberapa saat sahaja. Berdasarkan keputusan itu, ternyata
tahap pertuturan bekas pekerja jurujual barangan elektronik sememangnya berbeza
daripada manusia normal lain.
Meskipun lebih 20 tahun memegang rekod sebagai
Manusia paling pantas bertutur, kata Woodmore, kadangkala ia boleh membawa
masalah kepadanya. Antara masalah yang sering kali dihadapinya pertuturan yang
terlalu cepat sehingga sukar difahami oleh orang lain. Ia berlaku secara
spontan terutamanya di majlis-majlis keramaian, rumah dan mana-mana acara besar
yang dihadirinya.
Selain Steve Woodmore, masih terdapat beberapa
lagi individu lain yang mempunyai kepantasan sewaktu bertutur. Antara daripada
mereka adalah, John Moschitta, Jr, bekas pemegang rekod dunia manusia paling
pantas bertutur dan pemegang rekod wanita paling pantas bertutur, Fran Capo.
Comments
Post a Comment